Wednesday, November 30, 2011

Shenzhen, Hong Kong dan Macau Pt 7

Hong Kong ke Shenzhen

Pagi ini kami keluar pagi sedikit kerana hendak ke Shenzhen semula selepas tiga hari berada di Hong Kong. Seperti biasa, ambil MTR dari Tsim Sha Tsui, tukar train di Yau Ma Tei dan tukar lagi untuk ke Kowloon Tong dan seterusnya ke Lo Wu di sempadan Hong Kong dan China.

Semasa perjalanan ke Lo Wu, train yang kami naiki berhenti di satu stesyen. kerana train tersebut akan berpatah balik ke town. Kami yang tak dengar sangat pengumuman yang dibuat, selamba je duduk kerana semasa pergi ke HK tiga hari sebelumnya tak perlu tukar train pun. Nasib baik ada sorang Amoi di situ yang tolong beritahu. Kalau tak, tentu buang masa saja berulang-alik kat atas landasan.

Keluar dari stesyen Lo Wu untuk menuju ke imigresen China di Luo Hu.

Urusan di kaunter imigresen agak lancar dan tiada apa-apa masalah. Dari sini kami bercadang untuk ke hotel dahulu walaupun masih agak pagi untuk check in. Mungkin hari itu hari yang baik buat kami kerana dibenarkan untuk check in walaupun baru jam sebelas pagi. Kami menginap di Shenzhen Muslim Hotel yang kedudukannya tidak begitu jauh dari stesyen Luo Hu. Kami berehat seketika sebelum ke destinasi seterusnya. Tak boleh nak berehat lama kerana kami di sini cuma satu malam saja.


Hotel setinggi lapan tingkat ini menyediakan ruang solat di tingkat paling atas yang juga berfungsi sebagai masjid. Di bahagian bawahnya terdapat beberapa buah restoran makanan halal China dan Timur Tengah. Ada juga kedai menjual daging halal untuk kemudahan penduduk setempat.

Kami makan di restoran yang ada di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Windows of The World.  Sedap dan sesuai dengan selera orang kita.

Windows of The World

Selesai makan kami terus bergerak ke Windows of The World (WOW). Ada beberapa cara untuk ke sini. Jika nak naik Shenzhen Metro boleh ke stesyen yang terdekat iaitu di Lao Jie dengan teksi. Kita juga boleh ambil teksi terus ke sana. Tambang teksi di Shenzhen agak murah berbanding di Hong Kong. Lokasi WOW terletak berhampiran stesyen Shi Jie Zhi Chuang dengan pintu keluar masuknya yang berbentuk piramid berada betul-betul  di hadapan taman ini.

Di luar kawasan WOW

Kawasan WOW ini agak luas. Kita boleh memilih cara untuk melawat keseluruhan kawasan ini sama ada menyewa basikal, naik tram atau monorail. Kami memilih untuk jalan kaki saja.

Antara foto model bangunan dan binaan yang sempat diambil..
Kawasan Asia

Kawasan Eropah

Dalam kawasan WOW terdapat juga permainan yang boleh di sertai seperti yang terdapat di mana-mana taman tema.  Cuaca hari itu agak panas berbeza dengan di Hong Kong. Ada tempat yang terpaksa dilangkau kerana kurang menarik. Bagi sesiapa yang berminat dengan fridge magnet, beli saja di sini kerana agak sukar untuk mendapatkannya di luar.

Agak berbaloi masuk ke WOW, cuma sayangnya tiada satu model pun dari negara kita. Mungkin semasa taman ini dibina menara berkembar Petronas belum siap lagi.

Monday, November 28, 2011

Shenzhen, Hong Kong dan Macau Pt 6

Senado Square dan Ruins of Saint Paul Cathedral

Dari Venetian kami bergerak menuju ke jeti feri di Macau dengan bas shuttle. Orang tidak begitu ramai beratur, jadi cepat dapat naik bas. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 20 minit saja. Dari jeti kami mengambil teksi  untuk ke Senado Square yang tidaklah begitu jauh. Negara kepulauan ini memang kecil, tapi penduduknya lebih setengah juta.

Teksi kat sini Toyota Altis, besar dan selesa.

Senado Square adalah tempat yang menjadi kemestian  untuk dilawati jika ke Macau. Walaupun pada hari itu adalah hari Khamis dan waktu menunjukkan jam dua tetapi agak ramai pelancong berada di situ.

Banyak terdapat bangunan bersenibina kolonial di sekeliling Senado Square ini dan semuanya dijaga dengan baik. Warna-warna terang yang digunakan pada bangunan tersebut menyerlahkan lagi rekabentuknya.

Jalan menuju ke Ruins of St Paul Cathedral dipenuhi dengan kedai-kedai yang menjual barang berjenama. Lokasinya terletak kira-kira 100 meter dari Senado Square.

The Ruins of St. Paul's (Portuguese: Ruínas de São Paulo, Chinese: pinyin: Dàsānbā Páifāng) refers to the ruins of a 16th century complex in Macau including of what was originally St. Paul's College and the Cathedral of St. Paul also known as "Mater Dei", a 17th century Portuguese cathedral dedicated to Saint Paul the Apostle. Today, the ruins are one of Macau's most famous landmarks. In 2005, they were officially enlisted as part of the UNESCO World Heritage Site Historic Centre of Macau.

Kami berada di Senado Square lebih kurang dua jam. Malas nak fikir banyak soal pengangkutan, kami ambil teksi saja dan pergi semula ke jeti feri Macau untuk mengambil bas ke Venetian. Sesampai di Venetian orang sudah agak ramai beratur menunggu bas untuk ke jeti feri Taipa. Nasib baik bas banyak disediakan, jadi tak perlu menungu lama.


Hotel Grand Lisboa setinggi 58 tingkat dengan rekabentuknya yang unik adalah bangunan yang tertinggi di Macau.


Sampai di jeti jam 4.45 petang dan terus ke kaunter untuk menukar baucer bagi perjalanan balik. Terpaksa bergegas kerana trip seterusnya adalah jam lima petang. Jeti agak panjang, tapi alhamdulillah sempat juga kami sampai.

Feri yang kami naiki berlabuh di jeti Hong Kong bukan di Kowloon seperti perjalanan pergi. Mula-mula agak keliru sebab keadaan sudah gelap. Ia terletak berhampiran stesyen Sheung Wan. Dari sini ambil MTR ke Central dan tukar train untuk ke hotel di Tsim Sha Tsui.

Wednesday, November 23, 2011

Shenzhen, Hong Kong dan Macau Pt 5

Macau - The Venetian

Hari berikutnya kami bercadang untuk pergi ke Macau, satu negara yang pernah di jajah oleh Portugal. Kini merupakan SAR kepada negara China. Tidak perlu visa untuk ke sana. Negara Macau terdiri dari Macau Peninsula di utara dan Pulau Taipa di bahagian selatan. Kedua-duanya dihubungkan dengan banyak jambatan yang panjang. Lapangan terbang Macau juga terletak di Taipa.


Kami bertolak agak pagi kerana hendak balik pada sebelah petangnya.  Pada waktu inilah kita dapat lihat betapa ramainya orang yang berpusu-pusu ke tempat kerja. Kedudukan jeti untuk ke Macau terletak lebih kurang setengah km dari hotel penginapan kami. Jadi kami pilih untuk menapak saja ke sana.


Keadaan suhu pagi tu agak nyaman iaitu 26 darjah Celcius, jadi jalan kaki tak ada masalah. Kaunter tiket terletak di tingkat tiga bangunan di jeti tersebut. Kami mengambil tiket untuk perjalanan pergi dan balik, kerana harganya lebih murah iaitu HKD360 (RM144) seorang. Untuk tiket balik baucer diberikan dan ditukar di jeti Macau masa nak balik ke HK.

Harga yang dicetak tak sama seperti yang kami bayar, mungkin termasuk cukai. Sebelah kiri baucer yang perlu di tukar di Macau waktu balik.

Perjalanan ini adalah dengan menggunakan feri laju, Cotaijet Express dan mengambil masa satu jam untuk sampai. Feri ini boleh memuatkan seramai hampir dua ratus penumpang. Jeti feri Cotaijet Express adalah di Pulau Taipa. Ada juga perkhdmatan feri yang terus ke Macau.


Kami terlepas beberapa minit saja untuk menaiki feri yang bergerak pada jam 9.00 pagi. Jadi terpaksa menunggu agak lama di sini untuk mengambil perjalanan seterusnya.

 
Bahasa Portugis masih digunakan secara meluas di Macau terutama di papan tanda.

Di jeti ini ada disediakan bas-bas percuma yang akan membawa kita ke destinasi yang kita hajati. Contohnya jika kita nak ke Venetian, naiklah bas milik hotel/resorts tersebut yang berwarna biru yang bertulis perkataan Venetian di bas tersebut. Begitu juga jika mahu ke tempat-tempat lain. Kami memilih untuk pergi ke sini.


Bas akan menurunkan penumpang di pintu masuk utama kompleks. Untuk mengambil bas waktu balik terpaksa pergi ke tempat meletak bas di bahagian belakang kompleks tersebut. Kompleks Venetian ini sebenarnya merangkumi kasino di bahagian bawah, tempat shopping dan gondola di aras tiga dan juga hotel di bahagian atasnya.

Kompleks resorts/hotel The Venetian

Pemandangan bahagian dalam kompleks iaitu di aras kawasan membeli-belah. Awan yang kelihatan sebenarnya adalah bumbung kompleks yang dibuat sebegitu rupa menyamai keadaan di luar.

Kami berada di sini lebih kurang dua jam sahaja kerana nak ke destinasi seterusnya iaitu Dataran Senado yang terletak di Semenanjung Macau. Oleh kerana jeti pendaratan feri Cotaijet Express ada di kedua-dua pulau, jadi perkhidmatan bas percuma juga ada disediakan ke sana dari sini. Jadi naik saja bas resorts untuk ke  jeti di Macau. Dari jeti Macau, ambil teksi untuk ke Dataran Senado. 

bersambung...

Monday, November 21, 2011

Shenzhen, Hong Kong dan Macau Pt 4

The Peak

Petangnya selepas ke Disneyland, kami bergerak ke Pulau Hong Kong untuk ke lokasi  tertinggi di sini iaitu The Peak. Untuk menyeberang ke sana tak perlu naik feri kerana ada subway yang melalui bawah laut selat Hong Kong. Kami berhenti di station Central untuk ke lower peak tram station. Mula-mulanya bercadang nak bas saja, tapi memandangkan kami berempat, kalau naik teksi adalah lebih ekonomik.

Perkhidmatan tram di jalanraya hanya terdapat di pulau ini.

Masa menahan teksi salah seorang dari ahli kumpulan kami telah  beritahu nak ke lower  peak tram station. Maka dengan yakinnya kami pun naiklah. Tapi rasanya macam tak sampai-sampai stesyen yang hendak dituju sebaliknya rasa macam dah sampai ke jalan yang banyak selekoh tajam dan mula mendaki. Sebenarnya kami dah beritahu nak ke lower peak tram station, cuma driver teksi tu silap dengar agaknya. Malas nak bertengkar, kami pun teruskan saja perjalanan.  Nasib baik tambangnya cuma HKD60 saja.

Sepatutnya kami menaiki tram ini untuk sampai ke puncak dari lower peak tram station.

The Peak Tower. Dari puncak menara ini kita dapat melihat pemandangan yang lebih cantik dengan dikenakan bayaran masuk untuk ke aras paling atas. Di dalam bangunan ini juga terdapat muzium Madame Tussauds.

Pemandangan dari dalam Peak Tower.

Pemandangan bandaraya Hong Kong dari The Peak.

Waktu nak balik semula ke stesyen Central pada mulanya kami bercadang nak naik tram, tetapi memandangkan orang yang agak ramai menunggu giliran, kami memilih untu naik bas saja. Ada bas mini dan bas dua tingkat. Kami ambil bas mini saja, kerana tak perlu tunggu lama.  Tambangnya agak murah cuma HKD8 saja seorang. Tapi dia punya pecut masa turun bukit tu macam F1 lajunya, sampai ada yang terjatuh dari tempat duduk semasa dia lipat kat selekoh.

Mengikut kata mereka yang pernah naik tram ini, ianya agak berbeza dengan tram di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Kalau di PP tram dan tempat duduknya dibentuk mengikut kecuraman bukit, di sini ianya seperti tram biasa. Jadi semasa mendaki bukit kedudukan penumpangnya agak mendongak.

Ladies Market Mong Kok

Pada sebelah malamnya, kami keluar semula. Kali ini destinasinya ialah Mong Kok night market yang juga dikenali sebagai ladies market kerana banyak kedai yang menjual pakaian, beg tangan dan lain-lain aksesori keperluan wanita. Barangan cenderamata juga banyak dijual di sini.

Cara nak ke sini agak mudah dari Tsim Sha Tsui. Naik train dan turun di stesyen Mong Kok. Ikut tanda arah yang disediakan apabila nak keluar dari stesyen. Night market ini bermula dari pintu keluar tersebut.


Jika hendak membeli barang di sini pastikan kita menawar barangan tersebut lebih setengah dari harga asal, terutama barang-barang yang tiada tanda harga. Biasanya memang dapat, kerana persaingan yang hebat di sini. Begitu juga dengan barangan cenderamata dan T-shirt ianya jauh lebih murah jika kita membelinya di sini.

Tuesday, November 15, 2011

Shenzhen, Hong Kong dan Macau Pt 3

Hong Kong Disneyland

Hari kedua pada sebelah pagi kami bercadang nak pergi  meninjau ke Disneyland Resorts. Kami tak bercadang untuk masuk kerana bukan nak main-main apa-apa games pun kat dalam tu. Lainlah kalau anak-anak ikut sama. Lagipun suatu ketika dulu pernah masuk ke Disneyland Tokyo, jadi taklah  teruja sangat. 

Kompleks Disneyland Resorts ini terletak di Pulau Lantau iaitu pulau yang sama terletaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong di Chek Lap Kok.


Dari Tsim Sha Tsui kami mengambil train hingga ke Lai King, kemudian tukar line ke Sunny Bay. Dari Sunny Bay train khusus untuk ke Disneyland ada disediakan yang hanya mempunyai satu stesyen. Waktu ini masih agak awal. Train hanya dipenuhi oleh pekerja-pekerja Disneyland dan beberapa orang pelawat termasuk kami. Resorts ini hanya dibuka pada jam 9.30 pagi.


Train ke Disneyland yang menarik dengan tingkapnya di bentuk seperti kepala Mickey Mouse. Susunan dan bentuk bangku di dalamnya juga tidak seperti train biasa di mana ianya di buat seakan sofa berbanding train biasa yang dibuat dari keluli atau plastik.


Pintu gerbang yang menyambut kedatangan pelawat-pelawat ke Disneyland. Jarak antara pintu gerbang ini dengan pintu masuk utama kira-kira tiga ratus meter.

Pancuran air berhampiran pintu masuk utama

Taman di sepanjang laluan menuju ke jeti


Jeti ini terletak berhampiran resorts. Ianya kelihatan baru dan seakan masih belum digunakan. Di jeti ini ramai pemancing mengambil kesempatan untuk memancing kerana airnya yang agak dalam.


Karakter-karakter popular Disney di abadikan di tiang-tiang lampu di sepanjang jalan menuju ke pintu utama dan ke arah jeti. Sementara patung Mickey Mouse dan Donald Duck menjadi hiasan di dalam train.

Hotel yang terdapat di dalam kawasan resorts

Pemandangan di dalam kawasan resorts iaitu selepas pintu masuk utama.

Kami menghabiskan masa di sini hampir dua jam sebelum pulang semula ke Tsim Sha Tsui dan seterusnya bercadang untuk ke The Peak di Pulau Hong Kong pada sebelah petangnya.

Monday, November 14, 2011

Shenzhen, Hong Kong dan Macau Pt 2

Lo Wu ke Kowloon

Perjalanan dari sempadan China ke Hong Kong agak lancar walaupun orang tersangatlah ramai dan bersesak semasa di stesyen Lo Wu. Padahal waktu bukan hari cuti atau waktu orang balik kerja.  Dari Lo Wu ada dua pilihan untuk sampai di Tsim Sha Tsui dengan MTR. Rujuk peta di sini.

Laluan 1: Lo Wu ke Hung Hom tukar train dan sambung ke East Tsim Sha Tsui.
Laluan 2: Lo Wu ke Kowloon Tong tukar train ke Yau Ma Tei  dan tukar train lagi ke Tsim Sha Tsui.

Laluan pertama agak meletihkan kerana kita perlu berjalan dari stesyen East Tsim Sha Tsui ke stesyen Tsim Sha Tsui melalui jalan bawah tanah lebih setengah km. Kami sampai di Tsim Sha Tsui, Kowloon pada jam tiga petang dan terus check in. Hotel penginapan kami terletak di Cameron Road, tidak jauh dari Masjid Kowloon di Nathan Road. 


Kami berehat sebentar dan membuka bekalan makanan kerana hari dah agak lewat. Hanya bersarapan pagi di dalam kapalterbang pada awal paginya. Oleh kerana di sini agak susah untuk mendapatkan makanan halal, kami membawa beberapa makanan siap yang hanya perlu dipanaskan saja peknya dengan air panas seperti nasi goreng, nasi beriani dan tidak lupa mee segera. Di sini bukan tidak ada restoran makanan halal, tapi harganya agak tinggi. Restoran halal ada terdapat dikawasan Chung King Mansion yang menjadi tumpuan pengunjung dari Asia Selatan.

Avenue of Stars

Selesai menunaikan kewajipan dan melegakan otot-otot kami keluar semula untuk bersiar-siar. Destinasi kami ialah Avenue of Stars yang terletak menghadap Pulau Hong Kong tidak jauh tempat penginapan kami. Di waktu ini jam enam petang keadaan sudah mulai gelap. 


Dari kejauhan sudah terlihat bangunan-bangunan pencakar langit di Hong Kong Central Finance District yang menjadi ikon utama di sini. Pemandangan di sini pada waktu malam amat menarik setanding pemandangan di Marina Bay, Singapura.


Kawasan Avenue of Stars ini di bina di atas air. Beberapa patung artis terkenal Hong Kong dan China di abadikan di sini. Terdapat juga nama-nama artis lain yang di letakkan dalam bentuk bintang di atas laluan tersebut.

Pemandangan ke arah Pulau Hong Kong

Kami lepak di sini lebih kurang sejam lebih sahaja. Orang agak ramai dan cuaca juga baik. Suhu waktu ini masih dalam lingkungan 24 darjah Celcius dan masih belum perlukan baju sejuk. Kami balik semula ke hotel kerana hari ini agak meletihkan. Sempat singgah sebentar di kedai cenderamata yang terdapat di tepi Jalan Nathan iaitu jalan utama di kawasan Tsim Sha Tsui.

Thursday, November 10, 2011

Shenzhen, Hong Kong dan Macau Pt 1

Dari Shenzhen Ke Hong Kong

Tempahan tiket ke China untuk percutian kali ini telah dibuat beberapa bulan terdahulu. Masa buat tempahan, semua main booking sahaja tanpa merujuk kepada kalendar. Nasib baiklah tarikh baliknya sehari sebelum Hari Raya Eidul Adha. Kalau tidak terpaksalah beraya di luar negara. Kami tak ada masalah, tapi kasihanlah dengan anak-anak.

Pada mulanya cuma nak ke Shenzhen, China saja. Tapi kedudukannya yang telah hampir sangat dengan Hong Kong dan Macau maka kami ambil keputusan akan pergi ke sana juga. Percutian kali ini hanya disertai empat orang ahli. Oleh kerana kami akan ke Hong Kong dan Macau, maka visa double entry terpaksa disediakan untuk masuk, keluar dan masuk semula ke China.


Penerbangan berlepas jam 6.25 pagi dan sampai di Shenzhen Bao An International Airport hampir empat jam kemudian.  Pada hari pertama kami bercadang untuk terus ke Hong Kong. Ada beberapa pilihan perjalanan untuk sampai ke sempadan China dan Hong Kong.  Cara yang paling mudah mungkin dengan subway, tapi kita tak dapat melihat pemandangan di sepanjang perjalanan. Boleh juga menaiki teksi tapi tambangnya mungkin lebih mahal. Alternatif lain ialah dengan menggunakan bas. Selain dapat melihat pemandangan tambangnya juga sederhana. Jika mahu menaiki bas, ambil bas bernombor 330 dengan tambang CNY20 (RM10 sahaja). Kaunternya terdapat di luar kawasan ketibaan. Perjalanan ke Luo Hu (pos imigresen China)  mengambil masa lebih kurang 45 minit.

Bas bernombor 330 ke Luo Hu

Untuk melepasi sempadan perlu banyak berjalan kerana menyelesaikan urusan kastam dan imigresen. Bagi yang berumur beg beroda sesuai digunakan. Di bahagian China kebanyakan eskalator adalah untuk naik sahaja. Bagi orang muda cara backpack mungkin tiada masalah.

Bandar Shenzhen yang pesat membangun.

Selepas melepasi imigresen Hong Kong, kami membeli Octopus Card iaitu satu kad integrasi yang boleh digunakan untuk subway, MTR, bas dan membayar untuk belian di sesetengah kedai. Kad ini boleh ditambah nilai seperti kad Touch n Go di Malaysia. Masing-masing membeli satu kad dengan harga HK150 di mana HK50 sebagai deposit dan nilai prabayar HK100. Deposit boleh dituntut balik sebelum keluar dari Hong Kong di mana-mana kaunter khidmat pelanggan yang terdapat di semua stesyen.

Contoh Kad Octopus

Tuesday, November 8, 2011

Eidul Adha di A'Famosa Resorts

Hari Raya Eidul Adha yang jatuh pada hari Ahad dan bersambung cuti pada hari Isnin serta cuti sekolah hingga hari Selasa telah mencetuskan idea untuk bercuti  di luar kawasan. Kami sekeluarga bersama ipar telah memilih untuk bercuti di A'Famosa Resorts, Melaka. Sebuah banglo empat bilik dengan kemudahan kolam renang menjadi lokasi penginapan kami. Kawasan banglo ini agak tenang kerana jauh dari kawasan Water Park. Kami bertolak ke sini pada jam 12 tengah hari iaitu selepas berehat sebentar setelah menunaikan solat sunat Eidul Adha.


Sampai di sini pada jam dua setengah petang dan terus mendaftar masuk. Banglo ini milik persendirian, tapi semua penyelenggaraan diuruskan oleh pihak resorts. Disebabkan di sini sudah disediakan kolam renang, kami semua tidak masuk ke taman tema air yang ada di resorts ini.


Pada malamnya kami ambil kesempatan keluar ke bandar Melaka yang mengambil masa lebih kurang 45 minit. Sesampai di bandar Melaka nasib agak kurang baik kerana hujan mula turun. Itu belum masuk lagi masalah kesesakan jalannya. Destinasi pertama kami ialah Pulau Melaka untuk melihat masjid yang banyak ditulis dalam blog antara masjid yang tercantik. Nasib tidak menyebelahi kami kerana pagar masjid sudah pun dikunci kerana jam sudah menunjukkan hampir sepuluh malam. Lagipun kawasan Pulau Melaka ini lebih kepada kawasan komersil berbanding kawasan kediaman. Hanya dapat ambil gambar dari luar pagar.


Destinasi seterusnya ialah Dataran Pahlawan. Agak susah meletak kenderaan di sini terutama pada musim cuti. Setelah berpusing banyak kali akhirnya dapat satu lot parkir berhampiran Pahlawan Walk Market. Di sini banyak terdapat kedai menjual cenderamata. Di sebelahnya pula terdapat pasar malam. Tapi hujan semakin lebat, dan kami terperangkap dalam kedai hampir sejam.

Masalah di kawasan Bandar Hilir ini ialah sistem jalannya kebanyakannya adalah jalan sehala. Jika sudah terlepas tempat yang kita nak berhenti, kita terpaksa berpusing agak jauh. Bagi yang tidak biasa mungkin tak jumpa tempat asal, lebih-lebih lagi bila berjalan pada waktu malam.

Hampir jam dua belas malam baru kami beredar dari dari kawasan Dataran Pahlawan. Masing-masing agak kecewa kerana tak dapat apa yang dihajati. Sampai di resorts agak lewat, tapi tiada masalah kerana resorts ini di buka 24 jam.


Dalam perjalanan pulang keesokan harinya, kami sengaja memilih untuk mengikuti jalan lama menuju ke Seremban. Tujuannya ialah untuk singgah di gerai cendol yang sangat tersohor iaitu gerai cendol Leman Dawi. Saya memang dah lama tak melalui jalan ini terutamanya untuk balik kampung semenjak lebuhraya siap. Inilah kali pertama singgah di sini.

Komen saya secara jujur ialah cendolnya tidaklah sesedap mana. Banyak lagi cendol yang jauh lebih sedap boleh didapati di sekitar Shah Alam. Bahan utamanya iaitu cendol terasa seperti kuih kasui. Orang tertarik untuk ke sini mungkin kerana harganya yang murah dan boleh tambah secara percuma. Gerai ini juga pernah mendapat liputan TV kerana keramahan dan kepetahan pemiliknya dalam mengingati fakta-fakta mengenai negeri-negeri di Malaysia sambil melayan pelanggannya.