Thursday, May 31, 2012

Menuju ke Utara

Pada hujung minggu ini, kami sekeluarga akan bergerak ke Utara tanahair. Tujuannya ialah untuk pendaftaran anak di UniMAP pada 3/6 bagi sesi pengajian 2012/2013. Terlanjur cuti sekolah, kami pergi lebih awal untuk jalan-jalan sekali. Belum rancang lagi nak ke mana. Tengoklah keadaan nanti kat mana tempat-tempat yang patut disinggahi.

Pintu masuk utama kampus induk UniMAP Pauh Putra, Jalan Arau-Changlun, Arau, Perlis.

Tuesday, May 22, 2012

Oleh-oleh dari USA

Minggu kedua bulan Mei lalu Cik wife dan adiknya telah berlepas ke USA kerana menghadiri majlis konvokesyen salah seorang anak saudaranya di sana. Anak saudaranya belajar di Vanderbilt University, Nashville, Tennessee. Mereka berlepas ke USA dengan MAS melalui Los Angeles dan balik ke Malaysia dengan Emirates melalui New York. Trans-Amerika gayanya.

Transit di Denver, Colorado sebelum sampai di Nashville


Semasa berada di sana sempatlah juga merayau di Los Angeles, sekitar Nashville, Pittsburg, Buffalo, Niagara Falls, New Jersey dan kota New York. Kalau dah berjalan kenalah bawa balik sedikit oleh-oleh untuk orang-orang yang ada di rumah. Sebelum pergi memang dah pesan untuk beli T-Shirt, FM dan key chain sahaja.

Dapatlah seorang tiga helai T-Shirt...

...dan FM dari beberapa tempat di US

Friday, May 18, 2012

Trip to Medan Pt 6

DAY 4 - Berastagi ke Medan dan pulang ke Malaysia

Hari ini adalah hari terakhir kami berada di bumi Sumatera Utara. Untuk ke Medan, kami sudah pun bertanya petugas di kaunter hotel pada hari sebelumnya. Jika naik teksi tambangnya ialah Rp450K untuk perjalanan cuma 66 km yang mengambil masa kurang dari dua jam. Mahal gila. Masa di pasar buah pulak, kami pergi ke pusat penerangan pelancong di situ bertanyakan tentang teksi. Bayarannya Rp380K. Masih mahal juga.

Pilihan terakhir ialah menaiki bas awam. Mulanya agak risau juga, kerana nampak bas yang padat dan penuh barang-barang di bumbungnya. Rupanya situasi itu hanya pada cuti hujung minggu je, kalau hari biasa keadaannya sangat ok. Kebetulan kami ke Medan pada hari Isnin. Tambangnya pulak sangat-sangatlah murah, cuma Rp10K seorang. Jadi untuk tiga orang kosnya hanya lebih kurang RM10 berbanding dengan naik teksi yang mencecah RM150. Bas untuk ke Medan ini boleh diambil berhampiran tugu perjuangan iaitu di hadapan stesyen minyak Pertamina.

Kebanyakan bas awam di sini tidak menggunakan bas yang besar.

Keadaan di dalam bas juga agak selesa.

Perjalanan yang agak mencabar kerana melalui banyak jalan yang berliku.

Bas yang kami naiki berakhir di luar kota Medan. Dari sini kami ambil teksi dan terus menuju ke Pajak Ikan. Sebenarnya tak ada pun yang nak di beli, cuma nak melihat suasana di sana. Lagipun backpack yang kami bawa sudah padat. Sampai di sini sedang elok waktu lunch. Kami singgah makan di Restoran Garuda yang agak terkenal di sini. Di dalam restoran ini kami berjumpa dengan sekumpulan rombongan yang gagal untuk ke Berastagi. Dia orang cakap rugi betul tak ke sana.

Sedap makanan di restoran ini. Dan yang paling best tentulah air pelangi iaitu campuran buah markisa, buah kuini dan strawberi.

Sebahagian kedai di kawasan di Pajak Ikan


Sebelum ke airport, destinasi terakhir kami ialah ke kedai Zulaikha yang terletak di Jalan Mojopahit. Dari Pajak Ikan kami naik beca motor ke sini. Kedai ini adalah destinasi wajib jika ke Medan. Biasanya orang akan  ke sini pada hari terakhir sebelum penerbangan kerana dapat membeli barangan yang fresh untuk di bawa pulang. Ini kerana kueh seperti bika ambon tidak dapat bertahan lama.

Kedai Zulaikha lebih popular berbanding pesaingnya yang terletak berdekatan.

Kek Lapis Pandan dan Coklat, Bika Ambon, Bahulu Gulung serta Jus Terung Belanda dan Markisa.

Dari sini kami terus ke airport dengan beca motor yang setia menanti. Sebenarnya beca motor adalah di larang untuk ke airport. Jadi kami berhenti di hadapan stesyen minyak Petronas yang terletak berhadapan dengan airport.

Semasa melalui pemeriksaan kastam untuk masuk ke dewan berlepas, kotak kueh yang kami bawa dikesan mengandungi bahan cairan iaitu dua botol jus. Dia orang minta kotak dibuka, tapi kita orang buat-buat tak faham. Yang peliknya dia orang tak kesah pulak. Selamat, kalau tak, rugi hampir tujuh puluh ribu rupiah untuk dua botol tu. Tak tahulah apa rasionalnya melarang penumpang membawa bahan cairan ni, sedangkan di dalam kawasan berlepas biasanya banyak dijual minuman dan lain-lain yang boleh di bawa masuk ke kapalterbang.

Wednesday, May 16, 2012

Kem PLKN Segari, Bandar Lumut dan Marina Island

Minggu lepas ke Kem PLKN Segari lagi. Kali ini atas urusan untuk mengambil anak pulang kerana mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke IPTA. Kemasukannya ialah pada awal bulan Jun nanti. Kalau tunggu sehingga akhir bulan baru nak keluar, iaitu tempoh kira-kira sebulan di sana, dia pun masih perlu untuk mengulang semula di PLKN dan cuma dapat penangguhan sahaja. Jadi lebih baik keluar awal kerana banyak urusan berkenaan kemasukannya yang perlu diselesaikan. Dia hanya sempat berada di kem PLKN selama dua belas hari sahaja.



Selesai semua urusan, kami semua singgah lagi di kedai makan berhampiran jeti di bandar Lumut. Ingat nak mengulang makan di gerai mee udang yang pernah kami pergi sebelumnya. Nasib kurang baik kerana semua tempat duduk penuh kerana memang waktu makan tengah hari. Jadi  kami mencuba makan mee udang di gerai yang lain pula. Harga mee udang di gerai ini agak mahal dan rasanya juga kurang memuaskan. Tapi kami makan licin jugak.


Jeti untuk ke Pulau Pangkor


Selesai makan kami singgah sebentar di Masjid Lumut sebelum meneruskan perjalanan ke Marina Island.  Di sini terdapat jeti alternatif untuk ke Pulau Pangkor. Tempat ini menjadi tempat bersantai blogger kira bila balik kampung.

Marina Island Pangkor is one of Malaysia's premier man-made islands, which are being built on the coast of Teluk Muruh, opposite Pangkor Island and Pangkor Laut, in the state of Perak, Malaysia. The project which is being developed by Marina Sanctuary Resort Sdn Bhd, is reclaimed from the sea with total area of 316.9 acres, 400 meters from the mainland's shoreline.


Kewujudan tempat ini adalah semenjak 2009 lagi, tapi agak kurang publisiti yang menyebabkan keadaannya kurang meriah berbanding jeti Lumut.

Pulau Pangkor, dekat sangat...

Feri di sini agak berlainan dari yang ada di jeti Lumut.


Perjalanan dengan feri dari sini untuk ke Pulau Pangkor hanya mengambil masa lebih kurang sepuluh minit sahaja. Perjalanan dari sini, seawal jam 6.45 pagi dan berakhir jam 7.30 malam. Kadar bayaran letak kereta pula ialah percuma untuk dua jam pertama dan seringgit untuk jam-jam seterusnya.

Monday, May 14, 2012

Trip to Medan Pt 5

DAY 3 (2) - Pasar Buah dan Bukit Gundaling

Petang itu kami berjalan kaki ke Pasar Buah yang terletak cuma setengah kilometer dari hotel. Jalan agak menurun bukit, jadi tak terasa penatnya. Lagipun udara di sini agak dingin dan nyaman. Kepada sesiapa yang tak mahu jalan kaki, boleh naik perkhidmatan angkut yang melalui depan hotel ini dengan tambang cuma Rp2K.

 Mercu tanda Brastagi, Tugu Perjuangan 45

Kereta kuda untuk bersiar-siar di sekitar kawasan pasar buah.

Antara buah-buahan yang terdapat di sini tapi jarang ada di negara kita ialah buah terung belanda, avokado, buah salak, pisang kaki dan markisa. 

Di pasar buah ni, bukan hanya menjual buah-buahan dan sayuran, tapi ada juga kedai menjual pakaian dan segala macam barang cenderahati. Tapi pilihannya tidaklah sebanyak seperti di Tomok, Pulau Samosir. Jika berjalan di sini, kena berhati-hati sikit kerana banyak bahan buangan daripada kuda yang bersepah-sepah. Sayang sekali kerana di mana-mana tempat tarikan di sini, saya perhatikan tahap kebersihan persekitarannya kurang diberi perhatian.

Kami tidak membeli apa-apa kecuali sedikit buah-buahan untuk di makan di hotel. Dari sini kami terus ambil angkut untuk ke Bukit Gundaling yang melalui depan hotel penginapan kami. Caj yang dikenakan ialah Rp3K seorang. Tempat mengambil angkut Bintang Karo ini ialah berhampiran tugu perjuangan. Perkhidmatan angkut ini akan berakhir di puncak Bukit Gundaling setelah melalui kawasan perumahan. Jadi tak perlu risau nak berhenti di mana.


Gundaling adalah sebuah bukit di Berastagi, Kabupaten Karo, Sumatra Utara. Gundaling merupakan objek wisata di Berastagi. Gundaling terletak di ketinggian 1575 meter dari permukaan laut. Dari  Gundaling dapat terlihat Gunung Sibayak dan Gunung Sinabung.


Masa kami sampai di sini keadaan agak berkabus dan cuaca mendung. Tak nampak pun kedua-dua gunung tu. Bandar Berastagi yang terletak di bawah pun cuma nampak kelam-kelam. Nampaknya cuaca tak menyebelahi kami. Suhu di sini lebih sejuk kerana tempatnya agak berangin.

Seperti biasa kedai cenderahati juga ada di sini.

Turun dari Bukit Gundaling kami terus menuju ke Restoran Hj Ramli yang terletak betul-betul di hadapan hotel penginapan kami. Restorannya cantik dan bersih. Agak ramai pelanggannya. Masakannya pun sedap.


Rasa sangat puashati makan di sini. Lauk yang paling sedap sekali ialah ikan nila masak cikala. Pertama kali makan masakan cara ini. Rasanya unik kerana ada campuran bunga kantan. Tahu gorengnya jenis lembut dan dicicah dengan sambal kicap pun mabeles. Air yang kami minum ialah air martebe iaitu campuran antara buah markisa dan terung belanda.

Lepas makan kami balik ke hotel dan tak ke mana-mana malam tu kerana hujan.

Saturday, May 12, 2012

Trip to Medan Pt 4

DAY 3 (1) - Parapat ke Berastagi

Hotel yang kami sewa tidak menyediakan sarapan pagi, jadi cara yang senang sekali ialah makan mee segera saja yang menjadi bekalan tetap bila ke mana-mana. Ada restoran di hotel ini, tapi kami kurang yakin dengan status kehalalannya. Dapat bersarapan dengan mee segera pun sudah cukup nikmat sambil menghadap tasik dengan udara pagi yang nyaman.


Hari ini kami akan bertolak ke Berastagi. Kereta telah pun ditempah sebelumnya dan supir akan mengambil kami di hotel. Untuk perjalanan kali ini, kami tak dapat mengelak untuk menggunakan supir kerana hendak singgah di beberapa lokasi di sepanjang jalan menuju ke Berastagi. Hanya kami bertiga sahaja dalam MPV yang boleh memuatkan tujuh orang. Bertolak dari hotel pada jam 9.00 pagi dan dijangka mengambil antara 3 hingga 4 jam termasuk berhenti di beberapa tempat. Kosnya ialah Rp450K. Antara tempat yang kami nak singgah ialah di Bukit Simarjarunjung dan Air Terjun Sipisopiso.

Pemandangan dari atas bukit sebaik teksi meninggalkan pekan Parapat.


Kita hanya mampu merancang tetapi, segalanya telah ditentukan Allah. Di pertengahan jalan supir kami menerima isyarat dari pemandu dari arah bertentangan, memberitahu ada lori terbalik melintang di tengah jalan. Untuk mengalihkannya mungkin akan mengambil masa yang agak lama. Jadi, terpaksalah supir berpatah balik dan mengambil jalan Permatang Siantar yang akan mengambil masa lima jam untuk sampai ke Berastagi dan tidak melalui tempat yang kami nak singgah. Kecewa yang amat sangat, tapi apa nak buat. Yang penting kami kena juga ke Berastagi kerana hotel telahpun ditempah. Ada satu kumpulan rombongan dari Malaysia yang kami jumpa keesokan harinya di Pajak Ikan, Medan langsung tak dapat ke sana kerana supir tak mahu menghantar di sebabkan keadaan jalan yang terlalu teruk di antara Permatang Siantar ke Berastagi.

Bas ini juga terpaksa berpatah balik.

Tempat yang kami tak dapat singgahi. Pemandangan dari kawasan rehat atas bukit di Simarjarunjung.

Juga gagal disinggahi, Air Terjun Sipisopiso. Gambar ehsan uncle Google.

Keadaan jalan yang agak teruk. Bagi mereka yang tak pandai berdangdut, secara automatik akan berdangdut apabila melalui jalan ini... hehe

 Banyak tanaman pokok kopi yang tumbuh subur di sepanjang jalan ini. Mengikut kata supir pokok ini ialah pokok 'bayar hutang' kerana hanya mengambil masa dua setengah tahun sahaja untuk mengeluarkan hasil.

Setelah menempuh perjalanan hampir lima jam, kami selamat sampai pada jam dua petang di Sibayak International Hotel, Berastagi dalam cuaca yang agak mendung.


Lokasi hotel ini terletak di Jalan Merdeka. Sangat strategik kerana berdekatan dengan Pasar Buah dan Bukit Gundaling. Pemandangan sekelilingnya juga sangat cantik. Udara di sini juga lebih sejuk berbanding di Danau Toba.

Kami berehat sebentar sebelum keluar untuk ke Pasar Buah dan Bukit Gundaling.

Wednesday, May 9, 2012

Trip to Medan Pt 3

DAY 2 (2) - Ke Pulau Samosir

Selepas lunch dan berehat sebentar, kami ke Pulau Samosir melalui jeti di Tigaraja. Dari hotel kami naik angkut dengan caj Rp3K seorang. Di kawasan jeti ini agak berserabut kerana adanya pasar minggu yang diadakan setiap hari sabtu.

Feri dua tingkat ini yang membawa penumpang untuk ke jeti Tomok dengan caj cuma Rp5K untuk perjalanan lebih setengah jam. Sangat murah. Agak selesa walaupun nampak sudah sedikit uzur.

Ada juga perkhidmatan feri khas jika membawa kenderaan ke Pulau Samosir.


Banyak kedai-kedai cenderamata di sepanjang jalan menuju ke rumah adat Batak.

Antara tempat-tempat objek pelancungan yang sempat kami singgahi. 

Kalau nak membeli barangan cenderahati seperti FM dan T-Shirt, belilah di sini kerana harganya yang boleh di tawar gila-gila. Ini disebabkan kedai yang terlalu banyak dan menyebabkan persaingan di antara mereka. Di Berastagi agak kurang pilihan barangannya.

Sebenarnya banyak lagi tempat yang boleh dilawati di sekitar kawasan ini, tapi kami kurang berminat kerana pernah melawatnya suatu ketika dahulu. Lagipun masa agak terhad dan kami nak balik awal sedikit sebab nak meronda-ronda sekitar kawasan hotel penginapan.

Sekitar Kawasan Hotel

Pokok buah markisa yang terletak di hadapan hotel. Jus markisa adalah antara yang paling popular di sini. Jangan lupa untuk mencubanya jika ke sini.

Antara deretan hotel-hotel disekitar tasik bertentangan dengan hotel penginapan kami.


Satu-satunya Masjid yang terdapat di Parapat.

Masjid ini terletak di jalan utama berhampiran simpang sebelum memasuki kawasan Tigaraja. Di sepanjang jalan ini juga terdapat beberapa restoran masakan Padang. Jadi tidaklah begitu sukar untuk mendapatkan makanan halal di sini, cuma kenalah berjalan sikit.

Tuesday, May 8, 2012

Trip to Medan Pt 2

DAY 2 (1) - Medan ke Parapat

Bangun agak awal hari ini. Jam tujuh kami turun untuk bersarapan. Makanan yang disediakan agak banyak pilihannya. Jadi kami makan agak berat untuk persediaan perjalanan yang agak jauh nanti. Dari hotel kami mengambil beca motor untuk ke stesyen Teksi Bagus yang tidak begitu jauh dari hotel. Nak minta ambil di hotel kami tak ada nombor telefonnya dan petugas kaunter pun macam kurang membantu.

Inilah rupa beca motor yang banyak kami gunakan semasa di sana. Beca ini boleh memuatkan seramai tiga orang. Dua di tempat duduk sisi dan seorang duduk di belakang penunggang. Ada juga yang bersaiz lebih besar yang menyediakan ruang meletak beg dibelakangnya. Agak cepat bergerak dengan cara ini kerana beca motor ini boleh ikut jalan pintas melalui lorong-lorong kecil.

Kebanyakan teksi di Medan menggunakan kenderaan MPV yang boleh memuatkan seramai tujuh orang penumpang. Teksi hanya akan bergerak bila sudah cukup penumpang, jadi terpaksa menunggu sekejap. Turut serta dalam teksi yang kami tumpangi selain kami bertiga ialah seorang wanita Batak dan dua orang warga Peranchis yang menetap di KL. Pandai sikit-sikit BM. Tambang untuk seorang ialah Rp65K. Agak murah jika dibandingkan dengan menyewa sebuah kenderaan bersama supir yang boleh mencecah Rp600K hingga Rp700K. Lagipun perjalanan ini tak ada tempat menarik untuk disinggahi.

Di sini hari persekolahan adalah dari Isnin hingga Sabtu.

Gigih mereka mencari rezeki. Sebuah FWD dipenuhi dengan ubi kayu atau di sini dipanggil singkong.

Dalam perjalanan ke Parapat kami ternampak perempuan ini. Apa yang dia sedang lakukan? Lokasinya ialah di persimpangan lampu isyarat bersama penyauk ditangannya. Menurut supir teksi, perempuan ini sedang memungut derma untuk membiayai pembinaan masjid dan mengharapkan ehsan pemandu yang berhenti sebentar di lampu isyarat. Dia menutup muka buka untuk menyamar, tapi mengelakkan habuk. Kalau aku tahu lebih awal dan lalu disebelahnya tentu tak ada masalah untuk menghulur sekadar termampu. Usaha yang agak kreatif dan maksudnya sudah diketahui tanpa perlu membuka mulut. Moga usahanya mendapat keberkatan.

Yang ini apa hal pulak? Perkhidmatan untuk mengepam tayar banyak terdapat di sepanjang jalan menuju ke Parapat. Caj untuk setiap tayar ialah Rp1K. Tengok tu semuanya kena bayar. Teksi yang kami naiki berhenti sebentar di sini untuk mengisi angin dua tayar hadapan.


Kami sampai di Parapat setelah menempuh perjalanan hampir lima jam termasuk berhenti makan tengahari sebentar di pertengahan jalan. Keadaan jalan tidaklah teruk sangat. Kalau berbelok-belok dan gaung tu biasalah jika kita naik ke kawasan pergunungan. Kat tempat kita pun serupa cuma jalannya lebih lebar.

Kami dibawa terus ke stesyen bagus teksi yang terletak berhampiran jeti Tigaraja dan seterusnya menempah kenderaan untuk ke Berastagi keesokan harinya. Dari sini kami meminta dihantarkan ke hotel tanpa perlu bayaran tambahan. Kami menginap di Hotel Pandu Lakeside yang terletak betul-betul di tepi tasik. Udara di sini tidaklah sesejuk seperti di Cameron Highlands.


Hotel yang kami ambil terletak betul-betul di tepi tasik. Boleh juga kalau nak mandi di dalam kawasan yang telah dihadkan sebagai langkah keselamatan.

Di sebelah hotel ini juga terdapat jeti yang dikhaskan bagi bagi mereka yang datang secara rombongan dengan bas yang besar.  Jalan untuk  ke jeti di Tigaraja agak sempit. Penduduk tempatan dan pelancung yang bergerak secara persendirian akan menggunakan jeti ini untuk ke Pulau Samosir.