Biasanya apabila menghantar anak pulang ke UTM, tempat penginapan kami ialah di bandar Johor Bahru. Hotel yang paling kerap dikunjungi ialah Hotel New York. Bukan tiada rumah saudara mara di sekitar JB, tapi kami tak mahu menyusahkan mereka.
Harga yang sederhana, tempat meletak kenderaan yang luas dan berhampiran dengan banyak tempat makan antara faktor yang menyebabkan kami memilih hotel tersebut. Hotel ini juga terletak di jalan yang tidak sebuk. Tetapi kedudukannya agak jauh dari Skudai. Jadi, kami cuba mencari alternatif lain yang lebih berdekatan dengan UTM iaitu di kawasan Skudai atau Tampoi. Kami cuba meronda di sekitar Taman Bukit Indah kerana di situ khabarnya ada banyak tempat shopping. Kebetulan pula di situ ada sebuah hotel yang agak bagus.
Jadi untuk mengubah angin kami sekeluarga telah memilih untuk menginap di Hotel Pariss yang terletak di situ. Hotel ini dikelilingi oleh kawasan perumahan dan pusat membeli-belah seperti Kompleks AEON Jusco, Giant dan Tesco yang terletak berdekatan di antara satu sama lain. Boleh dikatakan kawasan yang agak meriah. Tempat untuk menjamu selera juga banyak terutama di medan selera yang terdapat dalam kompleks beli-belah tersebut.
Jadi jika anda ke Johor Bahru singgah-singgahlah di sini kerana semuanya ada. Cara ke sini dari utara ialah dengan mengambil susur persimpangan Taman Perling. Lepas membayar tol, kira-kira setengah kilometer, ambil susur keluar di sebelah kiri. Hotel Pariss terletak di sebelah pasar raya besar Giant.
Foto Pasar Raya Besar TESCO Bukit Indah dari tingkat sembilan Pariss Hotel