Menonton puppet teater show ialah aktiviti terakhir kami di Hanoi. Sebelah petang membawa ke malam kami meronda sekitar kedai cenderamata mencari apa-apa buah tangan yang boleh dibawa pulang. Penerbangan pulang esoknya agak awal jadi kami perlu bersiap mengemaskan barang pada malamnya. Teksi kami tempah dari hotel dengan harga USD15. Macam murah kan. Kami check out hotel pada jam 6.30 pagi. Macam biasalah, komunikasi memang jadi masalah. Jadi sepanjang perjalanan sepatah perkataan pun tak keluar dari mulut pemandu. Tapi sebaik saja sampai di airport, pemandu menunjukkan sekeping kertas yang siap dilaminasikan kepada kami menyatakan yang penumpang perlu menampung harga tol bagi perjalanan pergi balik. Nasib baik kami masih ada baki wang Dong. Bayaran tolnya VND70K sehala. Jadi kalau ke sana jangan lupa simpan baki duit untuk perkara yang tidak dijangkakan.
Plaza tol sebelum lapangan terbang Noi Bai.
Ok sebelum catatan ke Hanoi ini selesai, dicatatkan serba sedikit beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan panduan bagi mereka yang bercadang ke sana.
Penginapan
Kalau nak senang berjalan-jalan cari saja hotel penginapan yang berhampiran dengan Tasik Hoan Kiem terutama di bahagian utaranya. Kawasan ini terletak di Old Quarter, Hanoi. Kebanyakan hotel yang tinggi sehingga lima tingkat tidak menyediakan lift. Jadi masa menempah kena beritahu untuk dapatkan bilik di tingkat yang lebih rendah. Bagi hotel yang besar mungkin tiada masalah. Pilih saja mana yang sesuai mengikut kemampuan poket sendiri. Kami menginap di Madam Moon Guesthouse di Jalan Hang Hanh yang menyediakan sekali sarapan pagi. Sarapan di sediakan di bahagian tingkat atas di hotel induk bersebelahannya. Sarapannya juga agak berat dan mengenyangkan.
Buah-buahan dan yoghurt disediakan untuk setiap meja. Cuma perlu buat pesanan untuk bahagian makanan dan minuman saja.
Membeli-belah
Untuk membeli-belah terutamanya yang suka ke pasar malam ianya hanya dibuka pada hari Jumaat hingga Ahad sahaja. Boleh juga ke pasar Dong Xuan pada hari-hari biasa. Tapi keadaan nya tidak begitu selesa kerana terlalu sesak. Kedai-kedai cenderamata pula kebanyakkannya terletak berhampiran tasik Hoan Kiem kerana di situ merupakan tempat tumpuan pelancung. Jika membeli barangan cenderamata pastikan kita menawar harga barangan sehingga kurang lima puluh peratus. Jika bernasib baik memang boleh dapat.
Kedai cenderamata di kawasan Old Quarter
Kedai Shop & Go ialah kedai 24 jam seperti seven eleven di tempat kita tapi barangannya tidak begitu banyak. Di kedai ini kita boleh beli biskut yang diimport dari Malaysia dan Indonesia. Minuman juga lebih baik beli di kedai ini kerana harganya standard berbanding di gerai yang harganya lebih tinggi. Tapi kedai ini tidak banyak terdapat di sekitar Old Quarter. Secara kebetulan hotel yang kami duduki tidak jauh dari kedai ini, jadi mudah sikit untuk mengulang.
Makanan
Makanan halal memang agak susah untuk didapati di Hanoi. Satu-satunya Restoran yang boleh dipercayai seratus peratus halal ialah Restoran Nisa. Tapi kalau nak makan di situ sepanjang masa, pastikan dompet kita tebal sebab harganya memang agak tinggi. Jika pergi secara individu memang boleh layan, tapi kalau berkeluarga boleh kopak dibuatnya. Tentang makanan halal yang susah didapati, janganlah jadi alasan untuk tidak ke sana. Kalau fikir susah lebih baik duduk rumah saja. Sebenarnya kita juga boleh membawa bekalan sampingan sebagai persediaan. Sekarang ni dah ada bermacam jenis nasi segera dan lauk yang siap di pek.
Makanan yang dibeli di Restoran Nisa di samping lauk yang dibawa.
Berfoto
Jangan sesuka hati mengambil foto terutama aktiviti penduduk tempatan. Kalau nak ambil juga, ambillah secara curi-curi. Kalau kita berurusan dengan mereka atau membeli barangan mereka tiada masalah untuk berfoto. Juga jangan sampai terperangkap seperti aksi di bawah. Mula-mula penjual tu mendekati kami dan memberikan pengandarnya untuk dipikul bagi tujuan berfoto. Lepas tu dia suruh kita beli buah yang dijualnya. Ada ke logik buah nanas yang seciput tu berharga hampir sepuluh ringgit sebiji. Kami tak belipun nanas tu sebab mahal sangat dan terus belah. Tapi penjual tu menunjukkan reaksi yang seakan marah.
Kenderaan Awam
Jika menggunakan kenderaan awan seperti teksi atau cyclo, pastikan kita menetapkan harga terlebih dulu. Dari pengalaman saya, penggunaan meter teksi tidak boleh diharapkan sangat. Juga mereka boleh menipu laluan untuk mendapat bayaran yang lebih tinggi.