Monday, January 9, 2012

Jalan-jalan ke Kota Singa 2

Dari stesyen MRT Raffles Place kami mengambil East West Line untuk ke stesyen Bugis yang terletak dua stesyen saja dari Raffles Place. Waktu sudah menghampiri jam dua petang, jadi kami bercadang terus ke kawasan Masjid Sultan untuk makan dulu.

Berhampiran Stesyen MTR Bugis

Di hadapan Masjid Sultan ini terdapat sebaris restoran. Pada mulanya kami bercadang nak makan di Restoran Zam Zam, tapi tak ada tempat duduk. Terus pergi ke Victory Restaurant, bahagian bawah penuh juga. Kami diarah naik ke bahagian atas kerana ada tempat kosong dan keadaannya lebih selesa kerana ada air-cond.

Sebaris kedai di hadapan Masjid yang menempatkan beberapa buah restoran

Hidangan utama di sini tentulah nasi beriani. Ramai juga pelancong asing makan di sini. Hidangan lauknya juga berbaloi. Nasi beriani ayam ini harganya SGD6, lebih kurang RM15 sahaja sepinggan. Memang di cadangkan makan di sini kepada sesiapa yang jalan-jalan ke Singapura.

Sangat menyelerakan, lebih-lebih lagi semuanya memang sudah kelaparan.

Selesai makan kami ke Masjid Sultan untuk menunaikan kewajipan. Walaupun Masjid ini adalah antara yang tertua di Singapura, tapi keadaan luaran dan dalamannya kelihatan sangat cantik dan terjaga. Masjid ini juga telah dijadikan salah satu tempat tarikan pelancong ke Singapura.

Bahagian dalam Masjid dengan kipas-kipas besar berbilah sepuluh.

Masjid Sultan dari pelbagai sudut.

Masjid Sultan adalah masjid yang bersejarah dan terletak di Kampong Glam. Nama kampong ini adalah berasal dari nama pokok yang banyak di Singapura pada waktu dulu iaitu pokok Gelam. Selain Masjid Sultan, di sini juga terdapat Istana Kampong Glam dan juga Taman Warisan Melayu.

Sempat menyambar sedikit buahtangan di sini

Di bahagian belakang Masjid terdapat banyak kedai-kedai menjual barangan cenderamata. Terdapat juga beberapa buah restoran daripada pelbagai negara. Kalau nak beli fridge magnet, key chain atau T-shirt cari saja di sini kerana harganya lebih murah berbanding di tempat lain.

Antara bangunan lama di sekeliling kawasan ini

Banyak bangunan lama di sekitar kawasan Masjid ini. Boleh dikatakan semua bangunan di sini dibina ketika zaman pemerintahan British. Semuanya sudah dibaikpulih dan diselenggara dengan baik dengan mengekalkan keadaan asalnya.

Sangat berdisiplin, tidak melintas walaupun tiada kenderaan

Kami keluar dari kawasan ini untuk ke Bugis Street yang terletak tidak jauh dari stesyen Bugis. Orang terlalu ramai pada waktu ini, maklumlah cuti panjang. Untuk melintas jalan pun perlu beberapa kali bertukar lampu baru dapat melintas.

Bas super panjang di Victoria Street

Kesibukan di hadapan Bugis Shopping Street 

Oleh kerana keadaan yang amat tidak selesa, kami masuk sekejap saja ke Bugis Shopping Street.  Di dalam tempat ini barang-barang yang dijual kebanyakannya adalah cenderamata dan pakaian. Nasib baik dah beli semasa di Masjid Sultan.  

Kami ambil keputusan beredar dari sini untuk ke Orchard Road yang terkenal dengan pusat membeli-belahnya. Bagaimana pula keadaan di sana?

Lagi sesak

Keadaan Di Orchard Road juga serupa, malah lebih sesak. Jalan utama di sini ditutup sempena perayaan Hari Krismas. Pusat membeli-belah dibuka seperti biasa, tapi juga dipenuhi oleh orang ramai. Kami tak lama di sini dan ambil keputusan pulang ke JB. Lagipun semua sudah keletihan sebab agak jauh menapak. Cuaca juga tidak begitu baik.

Nampaknya tidak banyak tempat yang dapat disinggahi untuk tempoh sehari. Rasanya macam kena mengulang lagi ke Singapura dilain masa.

Monday, January 2, 2012

Jalan-jalan ke Kota Singa 1

Hari kedua di JB, kami sekeluarga bercadang untuk ke seberang Tambak. Kami memilih untuk menaiki bas  ke stesyen MRT terdekat iaitu Kranji, Singapura. Memang sengaja kami memilih hotel yang hampir dengan Larkin Sentral. Jadi kenderaan boleh ditinggalkan di situ dan berjalan kaki sahaja ke stesyen bas.

Ada dua pilihan bas untuk ke stesyen Kranji dari sini, sama ada bas Causeway atau SBS Transit. Tambang bas Causeway lebih murah berbanding SBS Transit tapi kekerapannya agak kurang. Jadi kami memilih untuk naik SBS Transit. Tambang sehala ke stesyen MRT Kranji ialah RM1.90 tapi tambang balik ke Larkin Sentral pula ialah SGD1.90 (RM4.70). Sangat tidak adil, padahal jalan yang dilalui adalah sama.

Sampai di stesyen MRT Kranji hampir sejam kemudian. Nampak macam dekat tapi masa banyak dihabiskan di imigresen kerana terpaksa naik turun dua kali di kedua-dua sempadan, mengisi borang di imigresen Singapura dan menunggu bas berikutnya sampai.


Destinasi pertama kami ialah Marina Bay dan Merlion Park. Dari stesyen MTR Kranji ada dua pilihan untuk sampai ke sana. Cara pertama ialah mengambil North South Line dan berhenti di Raffle Place. Cara kedua melalui Jurong East dan bertukar ke East West Line untuk ke Raffles Place. Jurong East ialah stesyen terakhir bagi North South Line. Cara kedua adalah lebih dekat walaupun terpaksa menukar train. Raffles Place pula adalah stesyen terdekat untuk ke Merlion Park.

Sampai agak awal di sini dalam keadaan hujan gerimis tapi orang sudah pun ramai. Apa yang dapat diperhatikan, Singapura juga terdapat ramai pendatang asing terutama pembantu rumah dari Filifina dan pekerja dari negara-negara Asia Selatan. Cara pembawaan diri mereka dapat dibezakan dari pelancong-pelancong. Merekalah yang banyak memenuhi tempat-tempat awam di sini.

Setelah melalui celah-celah bangunan, lokasi pertama yang kami sampai ialah di Cavenagh Bridge yang merentangi Sungai Singapura dan berlatarbelakangkan Esplanade Theatre Building.

Sempat memberikan cenderamata kepada penjaga kawasan itu.

Taman Esplanade di seberang Sungai Singapura

Dari Taman Esplanade

Taman Merlion yang terletak tidak jauh dari Taman Esplanade

Lokasi tumpuan untuk mengambil gambar

Ikon utama di sini, Merlion


Lagi objek utama di sini, Marina Bay Sands Hotel

Singapore River Cruise

Kami berada di sini lebih kurang dua jam sebelum meneruskan ke destinasi berikutnya iaitu Bugis Street. Berhampiran stesyen MRT Bugis ini juga terdapatnya Masjid Sultan. Masjid ini telah digazetkan sebagai salah satu daripada national monument pada tahun 1975.