Kali terakhir ke sini kira-kira dua tahun yang lalu walaupun kedudukannya tidak begitu jauh dari rumah. Taman ini terletak di tepi jalan utama dari Puchong ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Mungkin ramai diantara kita yang pernah ke sini.
Terdapat dua kawasan meletak kenderaan untuk kemudahan pelawat. Yang pertama berhampiran batu tanda Taman bukit Jalil dan yang kedua berhampiran Kelab Golf. Saya cadangkan kepada sesiapa yang nak ke sana, letakkan kenderaan di kawasan yang pertama kerana kawasannya lebih luas dan berturap sepenuhnya.
Kawasan taman ini agak luas dan terdapat beberapa tasik buatan serta trek untuk berjogging. Oleh kerana kawasannya agak berbukit, jadi tempat ini memang sesuai sekali untuk menguji stamina. Bagi mereka yang hanya mahu bersiar-siar laluan bertangga disediakan untuk jalan pintas ke satu-satu tasik.
Keadaan taman yang dijaga dengan baik menjadikan kawasan ini sangat sesuai untuk aktiviti riadah bersama keluarga.
Jika ada yang suka melayan ikan-ikan di sini, bawalah roti sendiri. Antara ikan yang mendiami tasik ini ialah ikan keli Afrika dan ikan tilapia.
Laluan bertangga dan jambatan yang dibina merentasi taman ini bagi kemudahan mereka yang hanya mahu bersiar-siar saja.
Disediakan juga trek jogging yang luas dan panjang mengelilingi taman ini.