Petangnya selepas ke Disneyland, kami bergerak ke Pulau Hong Kong untuk ke lokasi tertinggi di sini iaitu The Peak. Untuk menyeberang ke sana tak perlu naik feri kerana ada subway yang melalui bawah laut selat Hong Kong. Kami berhenti di station Central untuk ke lower peak tram station. Mula-mulanya bercadang nak bas saja, tapi memandangkan kami berempat, kalau naik teksi adalah lebih ekonomik.
Perkhidmatan tram di jalanraya hanya terdapat di pulau ini.
Masa menahan teksi salah seorang dari ahli kumpulan kami telah beritahu nak ke lower peak tram station. Maka dengan yakinnya kami pun naiklah. Tapi rasanya macam tak sampai-sampai stesyen yang hendak dituju sebaliknya rasa macam dah sampai ke jalan yang banyak selekoh tajam dan mula mendaki. Sebenarnya kami dah beritahu nak ke lower peak tram station, cuma driver teksi tu silap dengar agaknya. Malas nak bertengkar, kami pun teruskan saja perjalanan. Nasib baik tambangnya cuma HKD60 saja.
Sepatutnya kami menaiki tram ini untuk sampai ke puncak dari lower peak tram station.
The Peak Tower. Dari puncak menara ini kita dapat melihat pemandangan yang lebih cantik dengan dikenakan bayaran masuk untuk ke aras paling atas. Di dalam bangunan ini juga terdapat muzium Madame Tussauds.
Pemandangan dari dalam Peak Tower.
Pemandangan bandaraya Hong Kong dari The Peak.
Waktu nak balik semula ke stesyen Central pada mulanya kami bercadang nak naik tram, tetapi memandangkan orang yang agak ramai menunggu giliran, kami memilih untu naik bas saja. Ada bas mini dan bas dua tingkat. Kami ambil bas mini saja, kerana tak perlu tunggu lama. Tambangnya agak murah cuma HKD8 saja seorang. Tapi dia punya pecut masa turun bukit tu macam F1 lajunya, sampai ada yang terjatuh dari tempat duduk semasa dia lipat kat selekoh.
Mengikut kata mereka yang pernah naik tram ini, ianya agak berbeza dengan tram di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Kalau di PP tram dan tempat duduknya dibentuk mengikut kecuraman bukit, di sini ianya seperti tram biasa. Jadi semasa mendaki bukit kedudukan penumpangnya agak mendongak.
Ladies Market Mong Kok
Pada sebelah malamnya, kami keluar semula. Kali ini destinasinya ialah Mong Kok night market yang juga dikenali sebagai ladies market kerana banyak kedai yang menjual pakaian, beg tangan dan lain-lain aksesori keperluan wanita. Barangan cenderamata juga banyak dijual di sini.
Cara nak ke sini agak mudah dari Tsim Sha Tsui. Naik train dan turun di stesyen Mong Kok. Ikut tanda arah yang disediakan apabila nak keluar dari stesyen. Night market ini bermula dari pintu keluar tersebut.
Jika hendak membeli barang di sini pastikan kita menawar barangan tersebut lebih setengah dari harga asal, terutama barang-barang yang tiada tanda harga. Biasanya memang dapat, kerana persaingan yang hebat di sini. Begitu juga dengan barangan cenderamata dan T-shirt ianya jauh lebih murah jika kita membelinya di sini.