Wednesday, December 15, 2010

Pulau Mabul

Tujuan utama kami ke Semporna ialah hendak pergi ke pulau peranginan yang berhampiran. Terdapat banyak pulau yang boleh dilawati di sini seperti Pulau Mataking, Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Sipadan.

Keadaan cuaca pada hari kami hendak ke pulau agak kurang baik. Hujan semenjak awal pagi. Kami meminta pandangan pekerja resorts sama ada sesuai untuk kami pergi atau tidak. Jawapan yang diterima, ada yang kata okey dan tidak. Kami mengambil keputusan untuk pergi juga kerana tempoh percutian yang terhad. Oleh kerana cuaca tidak begitu baik kami memilih untuk ke Pulau Mabul sahaja.

Hujan sepanjang perjalanan  dan semakin lebat membuatkan debaran kami bertambah. Oleh kerana pemandu bot berada di belakang, jadi kamilah yang menjadi penampan angin. Nasib baik ada kain kanvas yang boleh dijadikan selimut.  Keadaan laut pula agak tenang dan tidak berangin. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Kami disinggahkah di satu resorts milik sahabat pemandu bot sementara menunggu hujan berhenti.



Bertolak ke Pulau Mabul dengan sebuah bot yang boleh memuatkan sepuluh penumpang. Tapi kami pergi dengan empat penumpang sahaja. Harga tetap sama. Usah bimbang jaket keselamatan ada disediakan.



Diantara chalet yang terdapat di Pulau Mabul. Ada  pelbagai kategori dari yang berkonsep backpakers hingga yang bertaraf mewah.


Terdapat rumah-rumah di kawasan cetek di tengah-tengah laut. Penghuni di sini merupakan penanam rumpai laut. Sabah merupakan pengeluar rumpai laut yang terbesar di Malaysia. Antara produk yang boleh dihasilkan dari rumpai laut ialah agar-agar.





Tapak Sulaiman (Starfish) paling banyak terdapat di sini. Terdapat pelbagai warna dan saiz. Ada yang berbentuk bintang empat dan juga enam. Nasib kami kurang baik kerana tidak terdapat banyak ikan pada waktu itu. Pada mulanya kami agak curiga untuk memegang starfish. Mana tahu ianya mungkin beracun atau boleh menyengat. Selepas diyakinkan oleh pemandu bot barulah kami berani memegangnya. Tapak Sulaiman ini sebenarnya keras seperti batu, tiada respon apabila dipegang dan mempunyai jaluran halus di bahagian bawahnya yang digunakan untuk menyerap makanan.

Jika ke sini jangan lupa untuk memakai kasut kerana terdapat banyak serpihan batu karang yang boleh menyebabkan kaki kita luka. Kasut crocs adalah paling sesuai kerana ianya ringan.



Pulau Mabul merupakan sebuah pulau yang mempunyai ramai penduduk jika dibandingkan pulau-pulau lain disekitarnya. Di sini terdapat sebuah sekolah rendah kebangsaan dan juga sebuah masjid bagi kemudahan penduduknya.



Rumah-rumah yang ada di Pulau Mabul kebanyakannya didirikan di atas air kerana kawasan daratan yang agak terhad. Gambar menunjukkan kanak-kanak Pulau Mabul dengan hasil tangkapan ikan tenggiri yang beratnya lebih dari sepuluh kilogram.

Sunday, December 12, 2010

Dragon Inn Semporna

Penerbangan yang kami ambil agak lewat dan sampai di Lapangan Terbang Tawau pada jam 9.10 malam. Untuk sampai ke tempat penginapan di Semporna perlu menaiki teksi yang mengambil masa lebih sejam. Sampai di Dragon Inn hampir jam 11.00 malam, check in dan terus tidur.


Keseluruhan resorts ini terletak di atas air di dalam kawasan selat di antara bandar Semporna dan Pulau Bum Bum. Pada waktu air pasang, air hampir menjejaki kawasan lantai. Air lautnya sungguh jernih, cuma sayang terdapat banyak sampah terapung yang kurang diberi perhatian oleh pihak resorts mahupun majlis daerah yang dipertanggungjawabkan untuk kawasan itu.


Keseluruhan resorts ini diperbuat daripada kayu termasuk tiangnya sekali. Keadaan biliknya bersih dan cantik serta kelihatan eksklusif. Tetapi jangan cakap dengan volume tinggi kerana boleh didengari dari bilik bersebelahan. Semua kelengkapan tersedia termasuk penghawa dingin dan air panas. Caj yang dikenakan juga berpatutan. Kedudukannya juga tidak begitu jauh dari pusat bandar.

Panorama sekitar Dragon Inn Floating Resorts Semporna



Ikan-ikan yang terdapat di kawasan berpagar di dalam resorts ini.

Monday, November 22, 2010

Pulau Burung Port Dickson


Walaupun boleh dikatakan kerap pergi ke Port Dickson tetapi inilah kali pertama dapat singgah di sini sempena cuti Hari Raya Eidul Adha. Jalan masuk yang tidak begitu jelas menyebabkan tidak ramai orang yang datang ke sini.


Panjang jambatan ini dari daratan untuk sampai ke Pulau Burung adalah lebih kurang lima ratus meter. Sebenarnya jika air surut kita boleh berjalan kaki sahaja untuk sampai ke pulau ini.


Hairan juga mengapa pulau ini di panggil Pulau Burung kerana tidak nampak banyak burung pun di pulau ini.



Terdapat beberapa jenis spesis ketam yang terdapat di sini selain daripada pokok-pokok bakau yang tumbuh meliar. Berhampiran pulau ini terdapat sebuah pantai yang berpasir putih iaitu Pantai Cahaya.


Cara untuk sampai ke sini, jika kita datang dari lebuhraya Seremban Port Dickson. Ambil jalan arah ke bandar PD hingga berjumpa Bayu Beach Resort. Jalan masuk terletak kira-kira lima puluh meter selepas resort tersebut.

Thursday, September 23, 2010

Di luar Kawasan Universal Studios

Jika ada kesempatan ambillah peluang untuk pergi menjelajah Pulau Sentosa. Di pulau ini ada di sediakan monorel yang bertolak dari Vivo City menuju ke stesyen Waterfront (Universal Studios), Imbiah dan Siloso Beach. Jika kita bertolak dari Vivo City bayaran adalah SGD3 iaitu perjalanan kemana-mana stesyen dalam Pulau Sentosa. Bayaran dikenakan dari stesyen itu sahaja. Oleh kerana Universal Studios terletak di stesyen Waterfront, jadi pergerakan ke stesyen yang lain dalam Pulau Sentosa adalah percuma. Gunakan kesempatan ini untuk melihat tempat-tempat menarik.


 Merlion

 Cable Car

 Menara berputar.

 Pantai Siloso.

Orang terbang.

Kapal-kapal dagang berhampiran pelabuhan.

Saturday, September 18, 2010

Universal Studios Singapore

Sudah lebih dua puluh tahun tidak menjejakkan kaki ke Singapura, setelah bermustautin di Lembah Klang. Keinginan untuk ke sana adalah kerana tarikan taman tema yang baru memulakan operasinya pada tahun ini, iaitu Universal Studios yang terletak di Pulau Sentosa. Saya sekeluarga mengambil kesempatan ke sana sempena cuti Hari Raya yang agak panjang.

Kami ke sana pada hari raya kelima iaitu setelah menghabiskan beberapa hari bertandang ke rumah saudara mara terdekat. Ada beberapa cara yang boleh diikuti untuk ke sana melalui jalan darat. Bagi mereka yang jarang atau tidak pernah ke sana dicadangkan untuk mengambil pakej perjalanan menggunakan van yang meliputi tambang pergi balik dan tiket untuk masuk ke Universal Studios. Pakej ini boleh didapati jika kita menginap di Tune Hotel, Danga Bay, Johor Bahru. Perjalanaan dengan van adalah lebih cepat kerana bilangan penumpang yang tidak ramai terutama untuk melepasi kawasan imigresen berbanding dengan bas.

Bas juga boleh didapati di sini dengan kadar tambang yang lebih murah. Hotel ini juga menyediakan kawasan letak kenderaan yang agak banyak secara percuma. Sebaiknya tempah sekali tiket masuk kerana tiket-tiket masuk untuk sesuatu hari boleh sold out lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Ini pernah terjadi kepada kawan yang main redah saja untuk ke sana. Cara lain ialah dengan mengambil bas awam yang bertolak terus ke Universal Studios dari Stesyen Kotaraya di bandar Johor Bahru.

Pintu gerbang di hadapan pintu masuk utama.
Lokasi wajib untuk bergambar

Dengan tiket masuk berharga SGD66 (MYR155) untuk setiap orang boleh dianggap berbaloi kerana taman tema ini menyediakan pelbagai tarikan untuk pengunjung-pengunjungnya. Diantaranya ialah Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World, Far Far Away dan Madagascar. Pengunjung-pengunjung boleh mencuba atau merasai sendiri semua kemudahan yang disediakan. Setengah kemudahan memerlukan had ketinggian minima untuk menggunakannya.

Tarikan bagi setiap tema :

* Hollywood - Pantages Hollywood Theatre
* New York - Lights, Camera, Action dan Stage 28
* Sci-Fi city - Battlestar Galactica CYCLON, HUMAN dan Accelerator
* Ancient Egypt - Revenge of The Mummy dan Treasure Hunters
*The Lost World - Jurassic Park Rapids Adventure, Canopy Flyer, Dino-Soarin, Amber Rock Climb dan Waterworld
* Far Far Away - Shrek 4-D Adventure, Donkey Live, Enchanted Airways dan Magic Potion Spin
* Madagascar - A Crate Adventure dan King Julien's Beach Party-Go-Round





Objek dan Karakter Jalanan

Terdapat beberapa objek asal yang diletakkan di tepi jalan untuk menggambarkan suasana  di tempat tersebut.




Terdapat juga beberapa karakter jalanan yang berlegar di dalam kawasan Universal Studios yang muncul mengikut masa. Jika bernasib baik dapatlah snap foto. Jika mahu bergambar secara pribadi terpaksalah berbaris panjang. Jadi ambil gambar secara curi adalah lebih mudah. Antara karakter tersebut ialah Marilyn Monroe, Charlie Chaplin, Frankenstein dan Panda Bear.

                     

                     

Bangunan ini terletak di dalam kawasan tema Far Far Away. Di dalam bangunan ini juga diadakan pertunjukan wayang 4D The Shrek. Bersedialah untuk mengalami adventure di kerusi-kerusi mekanikal mengikut jalan cerita yang ditayangkan. Jangan lupa untuk membawa tisu atau saputangan kerana Shrek dan kawan-kawannya selalu bersin ke muka kita!

Penonton hampir memenuhi tempat duduk pertunjukan Water World dalam kawasan tema The Lost World. Pertunjukan di sini diadakan mengikut masa tertentu kerana ia menyediakan lakonan secara langsung.

 Salah satu tarikan yang popular di Lost City iaitu Rapids Adventure. 

 Objek-objek besar melatari suasana di Madagascar.

Nama beberapa bintang terkenal diabadikan di jalanan.

Makan dan Solat di Universal Studio.

Walaupun berjalan dan makan angin, tentang halal haram mesti dijaga dan kewajipan mesti ditunaikan. Untuk pengetahuan, taman tema Universal Studios ada menyediakan banyak pilihan restoran halal bagi kemudahan pengunjung beragama Islam. Pilihlah salah satu yang ada dalam senarai brosur mengikut selera sendiri. Kami sekeluarga memilih untuk makan di Restoran Goldilocks yang terletak dalam kawasan Far Far Away. Restoran ini menyediakan makanan berasaskan burger dan kentang. Harga agak sederhana iaitu lebih kurang RM20 seorang. Ruang untuk pelanggan menjamu selera juga agak luas.


Dalam kawasan Universal Studios ini memang tiada disediakan surau untuk bersolat. Tetapi dalam kawasan ini terdapat banyak kawasan tersembunyi dan terlindung yang boleh dijadikan tempat untuk bersolat. Yang penting bawa penunjuk arah kiblat untuk kemudahan. Memang tidak sempat untuk bersolat di hotel penginapan kerana lawatan dalam kawasan ini mengambil masa sehari suntuk jika kita menyertai semua tarikan yang disediakan. Waktu menunggu untuk sampai giliran bagi tarikan yang popular boleh mencapai setengah jam.