Thursday, September 23, 2010

Di luar Kawasan Universal Studios

Jika ada kesempatan ambillah peluang untuk pergi menjelajah Pulau Sentosa. Di pulau ini ada di sediakan monorel yang bertolak dari Vivo City menuju ke stesyen Waterfront (Universal Studios), Imbiah dan Siloso Beach. Jika kita bertolak dari Vivo City bayaran adalah SGD3 iaitu perjalanan kemana-mana stesyen dalam Pulau Sentosa. Bayaran dikenakan dari stesyen itu sahaja. Oleh kerana Universal Studios terletak di stesyen Waterfront, jadi pergerakan ke stesyen yang lain dalam Pulau Sentosa adalah percuma. Gunakan kesempatan ini untuk melihat tempat-tempat menarik.


 Merlion

 Cable Car

 Menara berputar.

 Pantai Siloso.

Orang terbang.

Kapal-kapal dagang berhampiran pelabuhan.

Saturday, September 18, 2010

Universal Studios Singapore

Sudah lebih dua puluh tahun tidak menjejakkan kaki ke Singapura, setelah bermustautin di Lembah Klang. Keinginan untuk ke sana adalah kerana tarikan taman tema yang baru memulakan operasinya pada tahun ini, iaitu Universal Studios yang terletak di Pulau Sentosa. Saya sekeluarga mengambil kesempatan ke sana sempena cuti Hari Raya yang agak panjang.

Kami ke sana pada hari raya kelima iaitu setelah menghabiskan beberapa hari bertandang ke rumah saudara mara terdekat. Ada beberapa cara yang boleh diikuti untuk ke sana melalui jalan darat. Bagi mereka yang jarang atau tidak pernah ke sana dicadangkan untuk mengambil pakej perjalanan menggunakan van yang meliputi tambang pergi balik dan tiket untuk masuk ke Universal Studios. Pakej ini boleh didapati jika kita menginap di Tune Hotel, Danga Bay, Johor Bahru. Perjalanaan dengan van adalah lebih cepat kerana bilangan penumpang yang tidak ramai terutama untuk melepasi kawasan imigresen berbanding dengan bas.

Bas juga boleh didapati di sini dengan kadar tambang yang lebih murah. Hotel ini juga menyediakan kawasan letak kenderaan yang agak banyak secara percuma. Sebaiknya tempah sekali tiket masuk kerana tiket-tiket masuk untuk sesuatu hari boleh sold out lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Ini pernah terjadi kepada kawan yang main redah saja untuk ke sana. Cara lain ialah dengan mengambil bas awam yang bertolak terus ke Universal Studios dari Stesyen Kotaraya di bandar Johor Bahru.

Pintu gerbang di hadapan pintu masuk utama.
Lokasi wajib untuk bergambar

Dengan tiket masuk berharga SGD66 (MYR155) untuk setiap orang boleh dianggap berbaloi kerana taman tema ini menyediakan pelbagai tarikan untuk pengunjung-pengunjungnya. Diantaranya ialah Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World, Far Far Away dan Madagascar. Pengunjung-pengunjung boleh mencuba atau merasai sendiri semua kemudahan yang disediakan. Setengah kemudahan memerlukan had ketinggian minima untuk menggunakannya.

Tarikan bagi setiap tema :

* Hollywood - Pantages Hollywood Theatre
* New York - Lights, Camera, Action dan Stage 28
* Sci-Fi city - Battlestar Galactica CYCLON, HUMAN dan Accelerator
* Ancient Egypt - Revenge of The Mummy dan Treasure Hunters
*The Lost World - Jurassic Park Rapids Adventure, Canopy Flyer, Dino-Soarin, Amber Rock Climb dan Waterworld
* Far Far Away - Shrek 4-D Adventure, Donkey Live, Enchanted Airways dan Magic Potion Spin
* Madagascar - A Crate Adventure dan King Julien's Beach Party-Go-Round





Objek dan Karakter Jalanan

Terdapat beberapa objek asal yang diletakkan di tepi jalan untuk menggambarkan suasana  di tempat tersebut.




Terdapat juga beberapa karakter jalanan yang berlegar di dalam kawasan Universal Studios yang muncul mengikut masa. Jika bernasib baik dapatlah snap foto. Jika mahu bergambar secara pribadi terpaksalah berbaris panjang. Jadi ambil gambar secara curi adalah lebih mudah. Antara karakter tersebut ialah Marilyn Monroe, Charlie Chaplin, Frankenstein dan Panda Bear.

                     

                     

Bangunan ini terletak di dalam kawasan tema Far Far Away. Di dalam bangunan ini juga diadakan pertunjukan wayang 4D The Shrek. Bersedialah untuk mengalami adventure di kerusi-kerusi mekanikal mengikut jalan cerita yang ditayangkan. Jangan lupa untuk membawa tisu atau saputangan kerana Shrek dan kawan-kawannya selalu bersin ke muka kita!

Penonton hampir memenuhi tempat duduk pertunjukan Water World dalam kawasan tema The Lost World. Pertunjukan di sini diadakan mengikut masa tertentu kerana ia menyediakan lakonan secara langsung.

 Salah satu tarikan yang popular di Lost City iaitu Rapids Adventure. 

 Objek-objek besar melatari suasana di Madagascar.

Nama beberapa bintang terkenal diabadikan di jalanan.

Makan dan Solat di Universal Studio.

Walaupun berjalan dan makan angin, tentang halal haram mesti dijaga dan kewajipan mesti ditunaikan. Untuk pengetahuan, taman tema Universal Studios ada menyediakan banyak pilihan restoran halal bagi kemudahan pengunjung beragama Islam. Pilihlah salah satu yang ada dalam senarai brosur mengikut selera sendiri. Kami sekeluarga memilih untuk makan di Restoran Goldilocks yang terletak dalam kawasan Far Far Away. Restoran ini menyediakan makanan berasaskan burger dan kentang. Harga agak sederhana iaitu lebih kurang RM20 seorang. Ruang untuk pelanggan menjamu selera juga agak luas.


Dalam kawasan Universal Studios ini memang tiada disediakan surau untuk bersolat. Tetapi dalam kawasan ini terdapat banyak kawasan tersembunyi dan terlindung yang boleh dijadikan tempat untuk bersolat. Yang penting bawa penunjuk arah kiblat untuk kemudahan. Memang tidak sempat untuk bersolat di hotel penginapan kerana lawatan dalam kawasan ini mengambil masa sehari suntuk jika kita menyertai semua tarikan yang disediakan. Waktu menunggu untuk sampai giliran bagi tarikan yang popular boleh mencapai setengah jam.

Monday, August 2, 2010

Pantai Bagan Lalang

Pantai Bagan Lalang adalah sebuah pantai yang terletak berhampiran pekan Sungai Pelek, daerah Sepang, Selangor. Jalan-jalan ke sini kerana menghantar isteri yang berkursus di salah satu resort yang terdapat di sini. Ada tiga jalan yang boleh diikuti jika bertolak dari Shah Alam. Laluan pertama ialah mengikuti jalan Puchong ke Dengkil, Jenderam, Salak, Sepang dan ke Sungai Pelek. Laluan kedua pula ialah melalui Klang ke Banting, Morib dan ke Sungai Pelek. Laluan yang paling hampir sekali ialah melalui lebuhraya ELITE, masuk ke laluan ke LCCT dan ambil jalan di sebelah litar F1 yang akan membawa kita keluar di persimpangan selepas pekan Salak.


Di sinilah tempat kursus tu, iaitu di Hotel Seri Malaysia, Pantai Bagan Lalang. Hotel ini bertaraf dua bintang dan menjadi tempat popular bagi kakitangan kerajaan untuk menjalankan kursus. Mungkin kerana harganya yang sederhana dan kedudukannya yang berhampiran dengan pantai. Sebelum adanya Golden Palm Tree Resorts, hotel ini adalah hotel yang terbaik yang terdapat di sini.



Pantai Bagan Lalang mempunyai pantai yang agak landai dan apabila air surut terpaksalah pergi agak jauh ke tengah jika hendak mandi. 



Pantai ini seakan-akan terbahagi dua dengan siapnya resort yang terbaru ini. Kawasan pantai selepas resort ini agak lebih teratur keadaannya berbanding kawasan sebelumnya. Terdapat kemudahan seperti kedai makanan, kedai keperluan untuk perkelahan juga tempat bersalin pakaian. Ada juga dibina satu waterfront  untuk dijadikan tempat berehat. Sistem jalan sehala digunakan di kawasan pantai ini. Jika mahu ke kawasan yang terletak selepas resort ambillah jalan masuk ke Hotel Seri Malaysia, kira-kira setengan kilometer sampailah kita ke kawasan tersebut.




Golden Palm Tree Resort adalah resort bertaraf lima bintang dengan kadar sewaan tertingginya mencapai seribu ringgit semalam. Baru memulakan operasinya dalam bulan Julai 2010 dan ianya masih belum siap sepenuhnya terutama kerja-kerja untuk lanskap. Berbentuk seperti pokok palma jika dilihat dari udara. Hai.. nak ikut macam yang kat Dubai ke?


Di hujung kawasan pantai ini agak sesuai untuk aktiviti memancing kerana agak berbatu dan kawasannya tidak sesuai untuk mandi-manda. Batu-batu tersebut sengaja diletakkan di situ dan bertindak sebagai pemecah ombak untuk menghalang hakisan.


Selat Melaka adalah merupakan salah satu perairan yang paling sibuk di dunia. Banyak kapal-kapal dagang antarabangsa dapat dilihat dari pantai ini.

Monday, July 5, 2010

Taman Alam

Taman Alam Kuala Selangor adalah merupakan satu taman alam semulajadi yang dapat memberikan pengunjung pengalaman tentang flora dan fauna yang terdapat di kawasan tanah lembab. Antara hidupan yang banyak di sini ialah burung-burung tempatan dan juga burung penghijrah terutama apabila musim panas di hemisfera utara. 

Saya sekeluarga datang ke sini tanpa dirancang. Untuk ke sini adalah lebih baik berkasut sukan dan berlengan panjang kerana  nyamuk agak banyak terutama  pada peringkat pertama sebelum menghampiri kawasan menara tinjau. Kawasan yang seluas lebih 200 hektar ini mengambil masa yang agak panjang untuk mengelilinginya. Kami hanya sempat ke sebahagian kawasan sahaja. Jika ke sini jangan lupa untuk membawa teropong untuk melihat burung-burung daripada menara tinjau yang disediakan.

Caj yang dikenakan ialah RM4 untuk orang dewasa dan RM1 untuk pelajar dan kanak-kanak.





Thursday, May 20, 2010

Pulau Manukan

Rugi rasanya kalau ke Kota Kinabalu tidak singgah ke Pulau Manukan kerana jaraknya yang begitu hampir dengan  bandar. Saya bersama rakan sekerja menghabiskan masa selama setengah hari di sini.

Perjalanan ke sana hanya mengambil 15 minit dengan bot laju. Bot boleh di ambil di Terminal Ferry Kota Kinabalu bersebelahan dengan bangunan Jabatan Kastam Di Raja Malaysia. Setiap penumpang mestilah menetapkan waktu untuk balik supaya senang  pemandu bot mengambilnya. Alat kelengkapan untuk snorkeling boleh di sewa sekali semasa di jeti.

Jika mahu berada di sana hingga petang, sebaiknya bawa sekali bekalan makanan kerana sukar untuk mendapatkannya di sana. Jika ada pun, harganya agak mahal.

Pulau Manukan adalan merupakan salah satu daripada pulau-pulau yang terletak di dalam kawasan Tunku Abdul Rahman Marine Park. Pulau-pulau lain ialah Pulau Gaya. Pulau Mamutik, Pulau Sapi dan Pulau Sulug.