Saturday, December 25, 2010

Dari Utara ke Selatan

Sebagai penutup percutian tahun 2010, saya sekeluarga akan ke Langkawi selama 4 hari mulai 27hb Disember. Walaupun boleh dikatakan agak kerap ke sana, tapi inilah kali pertama kami pergi menaiki kapal terbang. Biasanya kalau memandu, tempat perhentian untuk ke Langkawi adalah sama ada melalui jeti Kuala Kedah atau Kuala Perlis. Masa yang diambil untuk sampai ke hotel penginapan mungkin mencapai 7 - 8 jam jika dari Shah Alam. Itu pun bergantung kepada giliran menaiki feri. Jika waktu cuti, tempoh menunggu mungkin agak lama sedikit. Untungnya jika naik kapal terbang, kurang dari dua jam kita sudah sampai di hotel.

Balik saja dari Langkawi, keesokan harinya terpaksa pula berkejar ke Johor Bahru kerana menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki abang di sana sambil menghantar anak pulang ke UTM.

Friday, December 24, 2010

Makan-makan di Tawau


Jika ke Tawau jangan lupa untuk mencuba makan di restoran makanan lautnya. Kami berkesempatan untuk pergi ke restoran makanan laut terbuka di kawasan Sabindo. Tidak banyak perbezaan makanan lautnya, cuma di sini mungkin lebih segar kerana kedudukannya berhampiran laut. Udang dan sotong yang akan dimasak sudah siap disiang semasa kita membuat pesanan, jadi kita boleh anggarkan berapa banyak yang kita mahu. Harganya juga berpatutan kecuali ikan agak mahal. Kami memilih ikan untuk dimasak tiga rasa, udang goreng mentega, sotong goreng tepung dan anak sawi masak bawang putih dengan sos tiram.


Jangan lupa juga untuk singgah di Medan Seleranya yang terletak berhampiran jeti bersebelahan dengan Pasar Tanjung. Cubalah makan Nasi Gondrong atau Nasi Lalap untuk mendapatkan kelainan. ABC buahnya juga sungguh sedap. Gerai ini terletak di hujung sekali.


Antara makanan ringan yang popular di sini ialan pelang-pelang atau ampelang. Ianya seakan-akan keropok lekor yang dipotong-potong, tapi  rangup dan ringan. Walaupun ianya ringan, untuk membawanya balik sebagai buah tangan agak bermasalah kerana mengambil banyak ruang. Siapa-siapa yang ingin merasainya pergilah saja ke sana :-)

Wednesday, December 22, 2010

Ke Tawau akhirnya

Tawau merupakan salah satu bandar di Sabah yang mempunyai penerbangan terus dengan Semenanjung (KL) selain Kota Kinabalu dan Sandakan. Sebelumnya Tawau pernah juga dihubungkan secara terus ke Johor Bahru tetapi perkhidmatan itu telah dihentikan mungkin disebabkan kapasiti penumpang yang kurang memuaskan. Walaupun kami mendarat di Tawau, tetapi ia menjadi destinasi terakhir percutian kami.


Masjid baru Tawau yang terletak berhampiran dengan laut di Sabindo dan masjid lama di tengah bandar. Masjid baru Tawau adalah masjid yang terbesar di Sabah.



Kompleks Pasar Tanjung di mana bahagian bawahnya banyak terdapat kedai yang menjual makanan tradisi. Tingkat atas pula digunakan untuk menjual hasil laut yang dikeringkan.



Kawasan jeti penumpang untuk ke pulau-pulau berhampiran antaranya Pulau Sebatik yang terbahagi dua antara Malaysia dan Indonesia. Tawau juga mempunyai tepian laut yang dijaga agak baik untuk dijadikan tempat berehat.

  


Di bandar Tawau terdapat banyak hotel dan kedudukannya berdekatan di antara satu sama lain. Kami memilih Hotel Heritage sebagai tempat penginapan kerana biliknya yang agak besar.

Monday, December 20, 2010

Melencong ke Lahad Datu

Sebenarnya Lahad Datu tidak termasuk dalam destinasi percutian kami sekeluarga. Oleh kerana kedudukannya yang tidak begitu jauh, kami mengambil kesempatan untuk ke sana. Lagipun bukan selalu dapat bercuti di Sabah.

 Perjalanan dengan menaiki van dari Semporna mengambil masa lebih kurang dua jam setengah. Tambang yang dikenakan ialah RM22 seorang. Jalanrayanya agak baik setanding dengan yang ada di Semenanjung. Masalah di sini ialah terdapat banyak lori yang membawa muatan kelapa dan minyak sawit. Lahad Datu merupakan antara  kawasan pengeluar kelapa sawit yang terbesar di Sabah. Antara pekan-pekan kecil yang dilalui ialah Kunak, Madai dan Silam sebelum sampai ke Lahad Datu.

Van yang kami naiki mengalami kerosakan dipertengahan jalan. Pemandu mengambil masa hampir setengah jam untuk memperbaikinya. Yang bagusnya tiada seorang pun yang merungut. Mungkin sudah terbiasa dengan keadaan sedemikian. Memang diakui van yang dinaiki agak sudah sesuai dibuat besi buruk tetapi kerana mengejar masa terpaksalah naik juga.

 Setibanya di persimpangan jalan antara Tawau dan Lahad Datu dari arah Kunak kami terpaksa bertukar van kerana pemandu tidak yakin van yang kami naiki boleh sampai ke destinasi. Kalau kami sabar menunggu trip yang berikutnya tentu lebih selesa kerana van yang digunakan ialah van Mercedes yang agak baru. Masalahnya, di sini van hanya akan bergerak jika van tersebut sudah dipenuhi. Untuk penuh mungkin mengambil masa yang agak lama.

Tidak terdapat banyak tarikan di bandar Lahad Datu. Mungkin ada tempat menarik lain yang kami tidak tahu kerana kami hanya sempat meronda sekitar bandar sahaja.

Tetapi Lahad Datu terkenal dengan Lembah Danumnya. Kawasan tadahan yang luas ini merupakan tempat tinggal bagi badak sumbu Sumatera, orang utan, ungka, kancil, serta harimau bintang. Terdapat sebanyak 270 spesis burung telah direkodkan di kawasan ini. Pusat Kajiselidik Danum terletak di dalam kawasan hutan simpan seluas 440 km persegi ini.

Masjid Bandar Lahad Datu

Saturday, December 18, 2010

Semporna

Bandar Semporna adalah salah sebuah bandar yang terletak di dalam daerah Tawau. Majoriti penduduk di bandar ini adalah berketurunan Bajau. Bandar ini menjadi tempat persinggahan popular kerana terdapat beberapa buah pulau yang menarik yang menjadi tempat paling digemari oleh penyelam skuba. Salah satu daripadanya ialah Pulau Sipadan yang diiktiraf antara pulau yang mempunyai pemandangan dasar laut yang tercantik di dunia.


Jeti utama di bandar Semporna terletak berhampian dengan pasar besar. Jeti ini merupakan pangkalan untuk membawa penumpang ke pulau-pulau berhampiran terutamanya ke Pulau Bum Bum yang didiami ramai penduduk. Pada masa akan datang jeti ini mungkin menjadi kurang sebuk kerana kerajaan telah merancang untuk membina jambatan menghubungkan Semporna dan Pulau Bum Bum.



Sebahagian kawasan pembangunan baru bandar Semporna di mana terdapat banyak hotel-hotel bajet dan syarikat yang menjalankan aktiviti skuba diving. Pelancong-pelancong asing lebih suka menginap di sini.



Masjid Bandar Semporna terletak tidak begitu jauh daripada jeti dan dapat dilihat dengan jelas dari Dragon Inn. Di Semporna juga terdapat satu-satunya hotel yang bertaraf tiga bintang yang kedudukannya berhampiran dengan Dragon Inn.