Kalau tidak ada penjadualan semula, bukan AirAsia namanya. Tiket asal ialah pada jam 2.40 petang kemudian di tunda lagi kepada jam 3.20 petang dan akhirnya pada jam 9.20 malam. Betul-betul menyusahkan kerana ada dua orang budak kecil dalam jemaah rombongan kami yang seramai sembilan orang. Cadangnya kalau dapat berlepas jam 2.40 petang, malam tu dapatlah makan-makan makanan laut di kawasan Todak Waterfront.
Tapi tak adanya berlepas jam 9.20 malam sebab pesawatnya lambat sampai. Akhirnya jam 10.00 malam lebih barulah dapat berlepas dan sampai di Kota Kinabalu pada jam hampir 12.30 pagi. Nasib baik pemilik kereta yang telah dipesan sanggup menunggu di kawasan ketibaan awal-awal pagi tu. Begitu begini kitaorang sampai di hotel penginapan menghampiri jam 2.00 pagi. Tidur lebih kurang tiga jam dah kena bangun sebab subuh di KK ialah pada jam lima pagi.
Pemandangan dari Dreamtel Hotel yang menghadap ke Pulau Gaya. Bagus lokasi hotel ini sebab banyak tempat parking dan bersebelahan dengan Padang Merdeka. Sarapan paginya pun banyak pilihan.
Terjumpa kawan studynya di hotel selepas lebih sepuluh tahun padahal di KL tak pernah terjumpa pun.
Lepas sarapan dan mendaftar keluar kami terus ke destinasi pertama iaitu Upside Down House sebab ada beberapa ahli jemaah yang belum pernah pergi. Malas nak review sebab biasa-biasa je tempat tu. Lagi pun dan beberapa kali singgah. Tempat yang kami teruja sangat nak pergi ialah Jambatan Kaca yang terletak di Bukit Bungalio, Tamparuli. Tempat ini baru beberapa bulan dibuka.
Walaupun lokasinya di atas bukit yang agak tinggi tapi panas yakamat masa kami sampai di sini.
Harga tiket masuknya agak mahal mungkin sebab kos pembinaan dan penyelenggaraannya yang tinggi. Setiap pemegang tiket akan diberikan welcome drink. Boleh ambil sama ada sebelum atau selepas melalui jambatan.
Mengikut kata pekerja di sini, waktu terbaik untuk datang ke sini ialah pada waktu petang. Selain kurang panas boleh juga menikmati suasana matahari terbenam yang katanya sangat cantik.
Panjang jambatan ini lebih kurang 150 meter.
Tidak terlalu tinggi, jadi agak kurang tahap kengeriannya. Laluan adalah sehala sahaja. Balik ke tempat permulaan melalui jalan di bawah.
Ada kasut khas untuk melalui jambatan ini.
Panas sesangat waktu ini dan cuaca agak berjerebu.
Sky mirror bukan hanya ada di laut.
Dari sini kami singgah di Pekan Tamparuli melalui jambatan satu lorong untuk mencuba jambatan gantung pula. Untuk menyeberang jambatan ini perlu mengikut giliran. Kedudukannya agak rendah dari paras air. Tahun lepas masa ke sini dengan group lain, jambatan ini ditutup. Nampak macam ada kesan-kesan lumpur. Mungkin dilanda banjir agaknya.
Melalui jambatan selorong Pekan Tamparuli. Jambatan gantung terletak selari di sebelahnya.
Kena berhati-hati bila memandu, kalau terbabas susah jadinya.
Jalan sampai ke tengah jambatan saja, tak sampai pun ke seberang sebelah sana. Ada satu rombongan dengan bas naik jambatan melalui sebelah sana. Bila ramai orang berjalan jambatan ini berayun agak kuat.
Perjalanan diteruskan untuk ke Kundasang. Singgah sekejap di Pekan Nabalu untuk melepaskan hajat. Bas-bas pelancung pun singgah di sini kerana terdapat banyak kedai-kedai menjual cenderamata. Kalau cuaca baik kita boleh nampak Gunung Kinabalu dengan jarak yang lebih dekat berbanding di Kundasang.
Sebelum mendaftar masuk ke tempat penginapan, sempat makan tengah hari dulu di restoran kepak ayam bakar yang terkenal di Kundasang.
Kundasang Guesthouse, tempat penginapan kami selama dua malam. Banyak kategori bilik di sini. Kami ambil satu rumah dengan tiga buah bilik. Kedudukannya agak dekat dengan Pekan Kundasang.
Pemandangan Gunung Kinabalu dari guesthouse.
Rumah-rumah penduduk kampung berhampiran guesthouse. Rasa damainya tinggal di sini.
Sebelah petang menghampiri maghrib.
Petangnya masing-masing pilih untuk berehat kerana kami ada masa sehari suntuk pada esoknya untuk jalan-jalan. Cuma dua tiga orang keluar ke Pekan Ranau untuk mencari kek. Kebetulan tiga orang Abduls tu harijadinya cuma selang seminggu dua. Jadi kita buat sekali lalu. Buat ringkas-ringkas saja kerana masing-masing masih kenyang sebab makan tengah harinya agak lewat.
Jadilah buat rasa-rasa. Itu pun tak terhabis makan.
Baju di taja oleh seseorang.
Pagi esoknya kami bersarapan di guesthouse saja. Destinasi pertama hari ini ialah ke Desa Dairy Farm. Tiket masuknya lima ringgit seorang. Tiket perlu di beli secara dalam talian dan mengikut sesi yang dipilih. QR code akan diberikan dan akan di imbas di kaunter masuk. Kami pilih sesi satu iaitu dari jam lapan hingga sebelas pagi. Bagi yang belum ada tiket masuk terpaksa letak kenderaan dulu dan buat belian tiket secara dalam talian. Seeloknya datang ke sini awal-awal kerana tempat letak kenderaan agak terhad.
Lokasi terbaik untuk pemandangan Gunung Kinabalu. Terpaksa tunggu giliran. Bila matahari dah agak tinggi awan akan mula masuk.
Terpaksa ikut kata pengarah.
Ada yang baru pertama kali sampai ke sini. Ada yang kali kedua dan ada yang kali ketiga.
Tahun lepas masa ke sini, ada banyak lembu-lembu hitam putih ala-ala lembu New Zealand berkeliaran di sekeliling kawasan ini. Tapi kali ini macam dah tak ada. Rasa macam kurang dah feeling luar negaranya. Ada yang di dalam kandang tapi tidak dibuka untuk lawatan. Itu pun tinggal sikit.
Ada dijual rumput dan susu botol untuk diberi makan kepada anak-anak lembu di sini. Itu sajalah aktiviti yang boleh dibuat di sini selain makan aiskrim produk ladang ini.
Sesi berkenal-kenalan.
Seterusnya kami bergerak ke Sosodikon Hill. Lokasinya menuju ke arah jalan keluar ke Kundasang, tidak jauh dari Desa Dairy Farm. Tiket masuk untuk ke sini ialah sepuluh ringgit seorang. Jika mahu dapatkan sijil sebagai tanda berjaya mendaki bukit ini, boleh didapati di sini dengan harga lapan ringgit sekeping.
Yang muda-muda saja naik ke atas. Warga emas tunggu saja di bawah sambil minum-minum di cafe di kaki bukit.
Di atas Sosodikon Hill, 1465 meter dari paras laut.
Kami ke Alpaca Club, tempat lawatan terakhir sebelum makan tengah hari. Lokasinya tak jauh dari Sosodikon Hill. Waktu ini terasa sangat panasnya. Tak terasa macam berada di Kundasang. Tiket masuknya sebanyak lima belas ringgit seorang. Kawasannya kecil saja dengan beberapa ekor alpaca. Buatlah pekiraan sendiri sama ada berbaloi masuk ke sini atau tidak. Tapi bukan senang nak tengok binatang ini di mana-mana. Masuk di sini mengikut masa yang diberikan iaitu selama dua puluh minit saja dan seramai dua puluh orang untuk satu-satu sesi. Mengikut kata penjaga di sini, alpaca sangat sensitif dengan bunyi bising.
Ada juga chalet terletak dalam kawasan ini.
Hanya ada beberapa ekor saja alpaca di sini. Alpaca berbeza dengan Llama kerana saiznya yang lebih kecil. Berasal dari Amerika Selatan dan haiwan ini boleh meludah jika rasa terancam.
Ada seekor yang dilepaskan di luar kandang untuk tujuan berfoto.
Makan tengah hari di Hooga Cafe.
Selepas makan tengah hari kami terus ke Bombon Fish Spa yang terletak di Kampung Marakau, Ranau. Ikan-ikannya lebih kurang sama dengan yang ada di tagal ikan Sungai Moroli. Tiket masuk cuma lima ringgit saja. Tiada had masa diberikan.
Ikan-ikan ini agak kuat menyedut. Kalau mahu kaki di sedut, letakkan makanan ikan di bawah tapak kaki. Daya hidu ikan ini amat kuat.
Selepas itu ingat nak singgah kampung arnab sebab masih sempat lagi sebab tutupnya jam lima petang tapi masing-masing dah kepenatan. Budak-budak pun dah tidur. Petang itu melepak saja kat guesthouse. Makan malam pun kami bungkus saja.
Esoknya kami check out jam lapan pagi dan terus bersarapan pagi di pekan Kundasang. Keluar awal sikit sebab ada permintaan untuk singgah di Polumpung, Melangkap di daerah Kota Belud. Tapi sebelum itu sempat singgah dulu di Pekan Nabalu untuk mencari sedikit buah tangan.
Selamat tinggal Kundasang Guesthouse.
Sayangnya cuaca agak berjerebu.
Ramai pelancung luar negara yang dibawa singgah di sini.
Polumpung berjarak lebih kurang tiga puluh kilometer saja dari Pekan Nabalu dan ambil masa setengah jam untuk sampai. Tempat ini terkenal untuk aktiviti berkhemah. Tiket masuk cuma tiga ringgit untuk setiap orang dewasa.
Mula-mula sampai agak keliru nak mencari tempat masuknya kerana signboardnya terletak macam nak masuk ke rumah orang. Tanya orang di situ rupanya itulah jalan masuknya. Laluan selorong tapi ada kawasan lapang selepas kaunter tiket untuk kita beri laluan jika ada kenderaan nak keluar.
Laluan masuk ke kawasan sungai Panataran tempat untuk mandi-mandi.
Laluan turunnya agak sempit dan curam tapi bila sampai di bawah kawasannya agak lapang.
Air sungai sangatlah jernih dan airnya kebiruan.
Melayan budak ni mandi. Dia memang pantang nampak air.
Jambatan menyeberangi sungai ini. Jika tiada awan, Gunung Kinabalu nampak jelas dari sini.
Kawasan di seberang sungai. Ada surau yang baru siap dibina untuk kemudahan pengunjung.
Warung lokan bakar di Jalan Sulaman jadi destinasi wajib untuk makan tengah hari selepas balik dari Kundasang. Ada banyak deretan warung di sepanjang jalan ini. Kami cari warung yang ada kipas sebab cuaca agak panas sebab warung pertama yang kami singgah tiada kipas. Jadi kami cari yang lain.
Kedudukannya agak dekat sangat dengan tepi jalan dan keadaannya agak kurang kemas. Mungkin jika datang lagi pada masa depan kawasannya lebih teratur sebab ada ternampak sederatan kedai di lokasi baru sedang dibina.
Ada tiga gred lokan di sini. Pilih saja sama ada yang kecil, sederhana atau besar dengan harga yang berlainan. Kami pilih tiga dulang yang bersaiz sederhana, tapi tak cukup dan menambah lagi sedulang yang bersaiz besar. Nasi goreng lokannya pun agak sedap.
Kali kedua makan tengah hari di sini.
Sampai di Kota Kinabalu hampir jam tiga petang jadi kami terus ke hotel untuk check in. Kami pilih satu unit yang ada tiga bilik. Yang bagusnya setiap bilik ada bilik airnya sendiri dan biliknya besar. Keadaan hotel pun nampak macam baru. Sangat puashati menginap di sini walaupun semalam saja. Sangat di rekomen untuk yang datang dengan keluarga.
Chaya Hotel yang terletak di kawasan Tanjung Aru. Tempat letak kenderaan pun luas di belakang hotel.
Petangnya keluar lagi untuk mencari makanan laut kering di kedai berhampiran pasar besar Kota Kinabalu. Keluar agak lewat sikit sebab nak terus makan malam sekali di kawasan Todak Waterfront. Agak ramai orang di sini walaupun bukan hujung minggu.
Di sini kami serahkan pada tiga Abduls untuk buat pilihan makanannya sebab diaorang boleh makan tanpa pantang tak macam bossnya. Tapi kena ada ikan. Jadi pilihannya sekilo udang, sekilo sotong dan dua ekor ikan disamping telur bungkus dan kailan iakn masin. Bila dah siap masak nampak macam banyak pula dan sampai tak terhabis makan.
Pusat penjaja Todak Waterfront. Tempat ini lebih bersih dan teratur berbanding dengan di kawasan berhampiran Pusat Kraftangan.
Esoknya check out hotel agak lewat sikit sebab penerbangan baliknya sebelah petang. Untuk makan tengah hari kami nak mencuba makan di Restoran Jollibee, iaitu francais dari Filifina. Entahlah rasanya macam biasa-biasa saja. Kepci lebih sedap kot. Tapi katanya di Filifina Kepci pun tak boleh lawan dengan restoran ini.
Restoran Jollibee Center Point Mall Kota Kinabalu.
Lepas makan tengah hari terus bergerak ke Masjid Negeri untuk tunaikan kewajipan. Jangkaan sampai di KLIA Terminal 2 menjelang maghrib. Serahkan dua buah kereta yang kami sewa kepada tuannya di airport dan terus check in penerbangan balik. Alhamdulillah sampai di KLIA T2 mengikut waktunya.
Mungkin lain kali datang ke KK lagi, boleh cuba Borenos Fried Chicken. Local cakap ini lebih sedap dari KFC. Buka oleh Sabahan sendiri
ReplyDeleteBaru tahu tentang restoran ini. Tq DDT..
DeleteLast pergi Sabah 2013 .. 10 tahun sudah :D
ReplyDeletenak kene repeat ni dulu seorang skrg dan berenam org hahaha
Memang dah patut kena pergi lagi.. bajet bertambah pun takpe.. sbb anak² tentu seronok nanti..
DeleteCepat la menyambung nya cerita nya hahahaa...
DeleteSatu posting je Afif.. malas nak memblog sebenarnya..
DeleteNext update please hahahah :D
Deletekesian kita peminat ni nak baca kisah perjalanan dia :D
Best best jalan2 dengan family. Cantik semua foto.
ReplyDeleteAlhamdulillah.. kebetulan masing² dapat cuti..
DeleteSentiasa teruja jika dapat makan angin ke Sabah.Tapi tiketnya mahallll
ReplyDeleteMass AA offer free seat bulan lepas harga agak berpatutan juga..
DeleteCantiknya pemandangan dari guesthouse tu 😍
ReplyDeleteMendamaikan. Teringin nak ke Kundasang sekali lagi, tapi entah bila ada rezeki.
Seram memandu di jambatan rendah tu, lebih kurang macam jambatan besi di Gua Musang. Jambatannya tenggelam kalau hujan lebat berterusan.
Guesthouse tu berdekatan pekan Kundasang.. kalau nak pemandangan yang lebih ohsem kena cari yang ke atas lagi.
DeleteMasa memandu kat jambatan tu memang kena beri tumpuan.. tapi belum pernah terdengar ada kejadian yang tidak diingini..