Monday, July 9, 2012

KL - Hat Yai - Krabi Pt 4

DAY 4

Hari ini kami tak ada apa-apa program kerana flight ialah pada jam 12 lebih. Jadi kami terpaksa bertolak ke airport pada jam 10 pagi. Sayang sekali kerana kalau ada masa kami nak pergi ke cable car yang merupakan tarikan terbaru di Hat Yai. Mungkin lain kali agaknya.

 Lokasinya di Hat Yai Municipal Public Park kira-kira enam kilometer dari bandar. Jarak laluannya lebih dari setengah kilometer.

Jadi masa yang ada pagi tu kami meronda-ronda sekitar bandar setelah bersarapan pagi. Ada juga di antara kami yang masih lagi mencari barangan untuk di bawa balik.

Islamic Bank of Thailand

Deretan bangunan lama yang dijaga dengan baik.

Bangunan stesyen kereta api Hat Yai.

Tuktuk bandar Hat Yai.

Bas zaman Tuk Kaduk pun masih ada.

Jam 10.30 pagi kami bertolak ke airport dengan tuk-tuk. Nasib baik muat sebuah tuk-tuk untuk kami yang seramai tujuh orang. Tambangnya THB300 sahaja. Tapi kena tambah THB100 lagi sebagai caj untuk setiap kenderaan yang masuk ke kawasan lapangan terbang.

Seorang personaliti hiburan sedang melalui pemeriksaan imigresen.

Kebetulan kami duduk di bangku belakang sekali berhampiran tempat pemeriksaan imigresen. Pastu kitaorang ajak si Zizan Raja Lawak ni berfoto. OK je dia ni. Katanya ada shooting kat Hat Yai. 

Flight hari itu agak penuh dengan sebahagian besarnya ialah orang Malaysia dan selamat kami sampai di LCCT sejam kemudiannya. Pada keseluruhannya trip kali ini agak meletihkan kerana banyak masa habis untuk perjalanan. Tempoh yang sebaiknya ialah 5H4M jika mahu ke Hat Yai dan Krabi dengan cara ini.

Monday, July 2, 2012

KL - Hat Yai - Krabi Pt 3

DAY 3

Hari ini kami semua akan bertolak semula ke Hat Yai. Penat pun belum hilang lagi. Van akan datang pada jam sepuluh pagi. Sebelum tu kami keluar mencari tempat untuk bersarapan pagi. Kali ini kami menyusur jalan arah ke Krabi. Memang rezeki kami pagi tu kerana berjumpa dengan warung seorang pak cik yang menjual nasi beriani. Dia boleh berbahasa Melayu dengan agak baik. Harga sepinggan nasi ialah THB50 sahaja.

Warung ini terletak di hadapan Bangkok Bank.

Sarapan berat kami pagi itu.

Meronda-ronda selepas kenyang.

Banyak cawangan CIMB di Thailand

Tuktuk di sini lebih cantik berbanding di HatYai.

Motorsikal untuk disewa, cuma THB250 untuk sehari.

Sempat mengepos poskad untuk sahabat

Awas! Kawasan ini juga terdedah kepada tsunami.

Selepas makan kami berpatah balik semula ke arah pantai kerana waktu untuk bertolak ke Hat Yai masih lama lagi. Cuaca hari itu sangat baik. Ombak datang berlapis-lapis menandakan angin yang agak kuat. Kami lepak sebentar di sini.

Pantai Ao Nang berhampiran hotel. Orang lebih memilih untuk ke pulau-pulau berbanding mandi di sini.

Kapal Star Cruises pun singgah di sini

Van sampai pada jam sepuluh pagi. Kali ini muatannya adalah maksimum iaitu seramai 16 orang termasuk pemandu. Tiada ruang langsung kerana semua tempat dipenuhi dengan beg. Dalam perjalanan kami ternampak masjid ini yang belum siap sepenuhnya walaupun nampak macam sudah beberapa tahun dibina. Saiz masjid menunjukkan agak ramai masyarakat Islam di sini.


Kami sampai di Hat Yai pada jam empat petang dan terus check in di hotel yang sama. Petang itu kami hanya sempat ke Kim Yong Market untuk mencari apa yang patut. Tempat ini ditutup agak awal iaitu pada jam enam petang. Keadaannya di dalam agak kurang selesa. Di bahagian atasnya terdapat kedai-kedai makan makanan halal.

Lebih selesa membeli-belah di kawasan ini yang terletak berhampiran Lee Garden Plaza.

Malam tu masing-masing sibuk menghabiskan wang hingga baht yang terakhir bagi membeli buah tangan untuk keluarga kerana esoknya kami akan balik. Cashew nut juga agak murah di sini.

Tuesday, June 26, 2012

KL - Hat Yai - Krabi Pt 2

DAY 2

Rancangan hari ini ialah ke Krabi. Van yang dah di booking akan mengambil kami di hotel pada jam sembilan pagi. Jadi sebelum itu kami perlu mengisi perut kenyang-kenyang kerana perjalanan yang akan kami tempuhi mengambil masa yang agak lama. Sebaris dengan hotel kami ada beberapa restoran muslim. Kami memilih untuk bersarapan di Restoran Maliam.

Selesai bersarapan kami balik ke hotel dan terus check out. Sementara menunggu van sampai kami lepak dulu di lobi. Kat lobi hotel ini ada disediakan beberapa buah komputer berinternet. Setiap pelanggan boleh mengakses selama 30 minit sahaja. Sempat saya dan beberapa rakan memohon cuti tambahan secara online kerana kami menjangkakan akan keletihan bila balik dari bercuti nanti. Alhamdulillah cepat saja diluluskan. Tepat jam 9.00 pagi van sampai di depan hotel. Van ini boleh memuatkan seramai 15 penumpang. Tapi hari itu cuma kami bertujuh dan seorang penumpang lain yang juga dari Malaysia. Van jenis Toyota Commuter yang kami naiki ini mungkin jarang terdapat di tempat kita dan boleh dikatakan agak selesa untuk perjalanan jarak jauh. 

Perjalanan adalah dijangkakan mengambil masa lima jam termasuk singgah di kawasan R & R di Trang. Kami diberikan masa 20 minit di sini. Majoriti peniaga di kawasan ini ialah orang Islam dan kebanyakannya boleh berbahasa Melayu. Selain gerai-gerai dan restoran, terdapat juga sebuah pasar raya yang banyak menjual produk makanan yang dihasilkan oleh pengusaha Muslim setempat.

Gerai-gerai di bahagian luar pasar raya.

Tempat bersolat juga disediakan.


Kami sampai di kawasan Ao Nang, Krabi pada jam hampir dua petang. Pada mulanya agak sukar bagi pemandu untuk mencari lokasi hotel yang kami tempah. Rupanya dekat saja dengan pantai. Hotel yang kami ambil ialah Hotel Guitar Residence yang dekat dengan banyak kemudahan.


Setelah selesai semua urusan, kami terus mencari pakej yang boleh diambil untuk petang itu kerana kami berada di sini hanya semalam saja. Untuk keselesaan sepatutnya kita berada di sini sekurang-kurangnya dua malam. Apa nak buat dah tersilap perancangan.  

Jarang ada pakej yang disediakan untuk sebelah petang kerana pada waktu itu kebanyakan bot baru pulang ke jeti. Nasib baiklah ada yang sanggup buat kerja overtime. Masa tu dah hampir jam tiga petang. Untuk pakej sebelah petang ini yang ada hanyalah menggunakan long boat. Kami dikenakan caj THB2500 untuk perjalanan pergi balik. Dari hotel kami naik tuk tuk yang disediakan untuk sampai di jeti long boat yang terletak di hujung pantai Nopparatthara.

Inilah rupa long boat yang kami naiki.

Destinasi yang kami tuju ialah Tup Island yang mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk sampai. Angin agak kuat pada petang itu dan ombak juga agak tinggi. Agak menyeramkan walaupun kami semua pakai life jacket.  Lebih-lebih lagi keadaan botnya yang agak uzur. Alhamdulillah, kami sampai dengan selamat.


Waktu kami sampai dah tak ramai orang di sini. Pantainya cantik berbanding pantai di Ao Nang. Di sini terdapat pantai di mana dua ombak dari berlainan arah bertemu. Kami hanya singgah di pulau ini untuk mandi dan tak ambil pakej untuk snorkling sekali kerana kesuntukan masa. Kami berada di sini lebih kurang sejam lebih dan perlu pulang lebih awal untuk mengelakkan kegelapan.

Chicken Island yang boleh dilihat dalam perjalanan ke Tup Island.

Waktu kami sampai di jeti, hari sudah pun mulai gelap. Tuk-tuk yang sepatutnya mengambil kami pula tak muncul-muncul. Terpaksalah kami naik kederaan lain untuk pulang. Tapi kami tak bayar pun kerana semua dah masuk dalam pakej dan suruh dia orang tuntut kat agen.

Malam tu kami keluar untuk mencari sedikit barangan untuk dibawa pulang sambil mencari tempat makan yang sesuai. Leka kami meronda-ronda sehingga jam sudah hampir jam sepuluh malam. Sedangkan kedai makan yang kami nak pergi ditutup jam sepuluh malam. Jadi terpaksalah bungkus saja dan makan di hotel. Kat sini ada banyak restoran yang kononnya halal tapi agak meragukan jika kita melihat persekitarannya.

Restoran Chaba Thai Kitchen ini terletak di seberang jalan di penghujung pantai Ao Nang.

 Nak makan kat sini pun boleh, tapi tak mengenyangkan.

Antara deretan kedai cenderamata yang terletak di sepanjang pantai Ao Nang.

Friday, June 22, 2012

KL - Hat Yai - Krabi Pt 1

DAY 1

Semasa ada tawaran tiket AA dulu, kawan-kawan sepejabat mencadangkan saya buat tempahan. Tak tau ke mana nak pergi sebab katanya tak payahlah jauh-jauh. Saya cadangkan pergi ke Bangkok. Tapi tak dapatlah pulak. Akhirnya yang dapat cuma ke Hat Yai... hehe. Tapi kalau ke Hat Yai sampai empat hari, rasanya terlalu lama. Jadi kami semua setuju untuk melanjutkan sekali perjalanan hingga ke Krabi.

 
Penerbangan dari LCCT pada Sabtu 16 Jun lalu, cuma mengambil masa kurang dari sejam untuk sampai di Hat Yai. Sampai di sana masih belum boleh check in di hotel lagi. Kami tinggalkan beg di hotel dan terus mencari tempat makan sebab dah hampir jam satu tengah hari. Tak susah mencari restoran makanan halal di Hat Yai sebab agak ramai komuniti Muslim di sini.

Restoran Nest Home berhampiran hotel. Sedap makanannya.

Selesai makan, kami ke agen pelancongan yang terletak sebaris dengan hotel penginapan kami untuk menempah tiket perjalanan ke Krabi pada keesokan harinya. Kami memilih untuk menaiki van kerana lebih cepat berbanding dengan bas.  Caj yang dikenakan ialah THB350 seorang untuk sehala. Untuk memudahkan, kami booking tiket pergi balik untuk rombongan kami seramai tujuh orang.


Selesai semua urusan, kami balik ke hotel untuk check in. Masuk je ke bilik... fullamak besar bilik Tune Hotel Hat Yai ni rupanya. Hotel Tune Hat Yai bukan bangunan baru yang di bina oleh pihak hotel tapi mengambilalih hotel sedia ada dan diubahsuai. Sebab tu biliknya tidak seperti hotel Tune di tempat lain. Siap dengan arah kiblat sekali.


Setelah berehat sebentar dan menunaikan kewajipan petang tu kami keluar untuk ke Klonghae floating market. Kami naik tuk tuk yang memang sedia menanti di depan hotel. Cukup-cukup muat untuk jemaah kami. Tambang yang dikenakan ialah THB300 pergi balik. Jika ke sana pastikan kita buat janji dengan pemandu tuk tuk untuk menunggu kita sepanjang berada di sana. Tempoh sehingga dua jam adalah mencukupi. Agak susah untuk mendapatkan pengangkutan awam untuk pulang dari sana.

Kawasan lama yang agak uzur dan kawasan baru yang masih belum dibuka di kiri kanan jambatan.

Perjalanan mengambil masa setengah jam untuk sampai di sini. Petang tu orang tidak begitu ramai. Sebahagian besar pengunjung adalah ahli rombongan dari Malaysia selain penduduk tempatan dan pelancong asing lainnya.

Antara makanan eksotik yang dijual di laluan sebelum sampai ke floating market. Ada berani?


Peniaga di sini kebanyakannya orang Islam Thai, jadi tak perlu bimbang untuk makan makanan yang dijual di sini. Makanan yang dijual juga pelik-pelik tapi kebanyakannya memang sedap. Cara mengambil pesanan dan membayar wang juga menarik iaitu dengan menggunakan bekas yang dilekatkan di hujung kayu pemegang. Jika membeli minuman, bekas tembikar yang digunakan boleh terus diambil. Ada pelbagai bentuk disediakan, pilih saja mana yang berkenan. Harga kebanyakanan makanan di sini bermula dari THB20 saja.


Selain jualan makanan terdapat juga kedai-kedai menjual baju dan barangan cenderamata berhampiran tebing sungai. Harga T shirt di sini tidak banyak bezanya dengan di bandar Hat Yai. Yang penting kena pandai menawar. Kami berada di sini hampir dua jam dan seterusnya pulang ke hotel semula kerana malamnya nak meronda pula ke pasar malam di sekitar Lee Garden Plaza.

Jalan ini ditutup pada malam hari Sabtu dan Ahad untuk memudahkan orang ramai membeli-belah

Keadaan di sekitar Lee Garden Plaza kembali meriah walaupun baru beberapa bulan lalu terjadinya kejadian letupan di sini yang menyebabkan beberapa orang terkorban..

Udang goreng berharga sehingga THB300 seekor begantung pada saiz.


Kami mengisi perut malam tu di kawasan ini. Ada beberapa gerai yang menjual makanan halal besebelahan Lee Garden Plaza.

Friday, June 8, 2012

Ke Perlis Pt 2

Pendaftaran di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Jam 7.30 pagi kami check out selepas sarapan pagi. Hotel ini full house, jadi agak ramai orang semasa bersarapan. Waktu pendaftaran di UniMAP pagi ini akan bermula jam 8.30 pagi. Kampus induknya terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari bandar Kangar. Seronok memandu di sini kerana tak ada traffic jam, jadi kita boleh sampai dalam jangka waktu yang ditetapkan. Rasa macam awal sampai di sini, tapi kami silap kerana tempat letak kereta dah pun penuh dan terpaksa letak di tepi jalan. Bilangan pelajar bagi pengambilan kali ini tidak begitu ramai iaitu lebih kurang 500 orang sahaja. Pelajar datang dari seluruh negara dan ada yang sejauh dari Tawau, Sabah.

Kampus induk UniMAP Pauh Putra, Arau, Perlis


Sementara menunggu proses pendaftaran selesai, ibu bapa dan penjaga yang menghantar pelajar di hiburkan dengan persembahan di khemah menunggu yang diselangselikan dengan info mengenai UniMAP.

Selesai pendaftaran diadakan pula taklimat untuk waris pelajar di dewan bersebelahan khemah menunggu.

Ruang pameran juga disediakan untuk kursus-kursus yang dijalankan. Apa yang menariknya semua staf akademik dan amnya memakai uniform yang sama.

Setelah selesai semua proses pendaftaran dan taklimat, kami semua bergerak ke Kolej Kediaman Tun Ghafar Baba yang terletak di Seberang Ramai, Kuala Perlis. Minggu suaikenal dan kuliah juga akan diadakan di sini. Setiap rumah boleh menempatkan seramai lapan orang pelajar.


Hampir jam tiga petang baru selesai semuanya dan kami mula bergerak meninggalkan negeri Perlis. Seperti dijangkakan kenderaan agak banyak di lebuhraya dan di beberapa tempat berlaku traffic jam. Untuk sampai ke Ipoh saja mengambil masa hampir lima jam. Kami ambil keputusan untuk menginap di rumah ipar di Batu Gajah. Jadi kami keluar di tol Jelapang dan mengambil laluan Ipoh Lumut untuk ke sana.

Rupanya di laluan itu ada komplek beli-belah Mydin Mall yang baru di buka di Meru Raya. Apa lagi kami pun singgahlah di sini untuk makan malam. Sedap makan nasi kandar kat sini.

Mydin Mall ini adalah yang terbesar di Malaysia.