Wednesday, July 17, 2013

Berpuasa di Langkawi

Setelah di racun oleh seorang kawan yang ke Langkawi pada bulan puasa tahun lalu, kami pun terjebak sama. Katanya dalam bulan puasa ni sewa kereta murah dan tempat-tempat tarikan pun tak ramai orang. Lagipun kenapa tak ambil peluang sebab masa tu ada promosi zero fare AA.
 
Berlepas ke Langkawi agak awal sebab nak minta tolong orang hantarkan. Lepas sahur terus keluar ke airport. Walaupun bulan puasa, flight hari tu agak penuh. Kebanyakannya adalah pelancong asing. Sekarang ni dah banyak pilihan untuk ke Langkawi. Selain dari Airasia, MAS dan Firefly, perkhidmatan terbaru ialah Malindo Air dan Berjaya Air yang berlepas dari Subang Skypark.
 
Sampai di airport terus kami ke kaunter kereta sewa. Kami ambil Proton Saga FLX Auto dengan harga RM60 sehari. Agak murah tu berbanding hari biasa. Oleh kerana belum boleh check in hotel lagi, kami terus menuju ke Pekan Kuah. Tempat yang dituju ialah Kompleks Haji Ismail Group yang baru dibuka pada tahun ini. Kebanyakan barang yang di jual di dalam kompleks ini ialah barangan keperluan dapur serta pinggan mangkuk. Produk coklat pula mengambil hampir sepertiga bahagian pasar rayanya. Memang agak rambang mata dibuatnya. Banyak jugalah hasil tuaian kami pada hari tu. Selesai semua urusan kami bergerak menuju hotel pinginapan.
 
Kompleks HIG yang mengandungi pusat membeli-belah dan hotel.
 
Federal Villa yang terletak di Pantai Tengah menjadi tempat penginapan kami selama di Langkawi.
 
Hotel ini terletak di bawah pengurusan Holiday Villa.
 
Sempat kami membuta sekejap sementara menunggu untuk keluar semula kerana mengambil salah seorang ahli keluarga di jeti Kuah yang akan sampai petang itu dari Kangar. Kemudian singgah sebentar di bazar Ramadan untuk membeli  juadah berbuka puasa. Hari tu kami berbuka di bilik penginapan saja. Aktiviti seterusnya ialah pada keesokan harinya.
 
Kemeriahan di Bazar Ramadan Pekan Kuah.
 
Pagi esoknya kami keluar dan bercadang pergi ke tempat-tempat tertentu saja. Maklumlah bulan puasa. Destinasi pertama ialah ke Oriental Village. Dulu pernah kami naik cable car di sini semasa jambatan gantung masih belum ada. Hari itu nasib tidak menyebelahi kami kerana jambatan gantung ditutup untuk proses penyelenggaraan. Jadi kami batalkan saja niat untuk naik cable car.
 
Sekitar kawasan Oriental Village.
 
Di sini pun ada Nami Island versi Langkawi. 
 
Dari sini kami bergerak pula menuju ke Pantai Kok yang terletak berhampiran Telaga Harbour di mana terdapat banyak kapal persendirian berlabuh di sini.
 
Pantai Kok
 
Selepas itu kami bergerak ke kawasan utara Pulau Langkawi iaitu di Teluk Datai. Kami memang belum pernah meronda ke kawasan ini sebelumnya. Jadi cuba-cubalah meronda ke sini untuk melihat apa yang ada. Ada satu kawasan pantai yang agak cantik di sini iaitu Pantai Pasir Tengkorak tapi kami tak singgah pun. Jalan seterusnya menuju Teluk Datai agak berliku kerana di situ adalah kawasan berbukit. Rupanya jalan tu adalah jalan mati yang berakhir di pintu pagar sebuah resort paling mewah di Pulau Langkawi iaitu The Datai.
 
The Datai, hotel paling mewah di Langkawi. Kadar penginapan bermula dari lebih RM1000 hingga RM8000 semalam.
 
Dari Teluk Datai kami menuju pula ke kawasan Ulu Melaka untuk naik ke Gunung Raya. Tertarik untuk ke sini setelah terbaca pengalaman Zilla naik ke sana. Perjalanan tidaklah begitu mencabar, cuma terdapat banyak tanah runtuh di sepanjang jalan menuju puncak. Mungkin disebabkan hujan yang boleh dikatakan turun setiap hari semasa kami di Langkawi.
 
 
Air terjun mini di tepi jalan. Kalau tak puasa best juga kalau berendam ni.
 
Terdapat sebuah resort di sini. Menara tinjau juga dibuka kepada orang awam. Tapi kami tak naik pun sebab macam tinggi pulak nak sampai atas tu. Di sini juga terdapat stesyen telekomunikasi milik TM.
 
Pemandangan dari tepi jalan. Cuaca tidak begitu cerah. Suhu di sini tidak berapa sejuk kerana ketinggiannya cuma dua ribu kaki lebih saja dari aras laut.
 
Akhir sekali barulah kami ke Pantai Cenang yang terletak tidak begitu jauh dari hotel penginapan. Nampak terdapat banyak hotel baru yang sedang dalam pembinaan. Jalan Pantai Cenang pun nampak lebih meriah berbanding dulu.
 
Cenang Mall tarikan terbaru di kawasan ini.
 
Suasana petang di Pantai Cenang.
 
Malam itu kami berbuka di luar dan mencari serba sedikit barang-barang tambahan untuk dibawa pulang pada keesokan harinya. Daripada pemerhatian kami, harga pinggan mangkuk dan keperluan dapur serta coklat agak murah di sini. Untuk pakaian pulak harganya setara dengan di KL.
 
Keesokan harinya setelah menghantar ahli keluarga di jeti Kuah, kami terus ke airport untuk pulang.
 
Pantai Cenang dari udara. Selamat tinggal Langkawi.

Monday, July 1, 2013

Annyeonghaseyo Korea Pt 10 - Deoksugung dan balik

Hari ini (22/5/2013) adalah hari terakhir kami di bumi Korea. Penerbangan pulangnya ialah pada jam 5.25 petang. Jadi pagi  tu masih sempat lagi kami keluar ke Namdaemun market buat kali terakhir. Selepas itu kami bergerak ke Deoksugung yang terletak berhampiran stesyen subway City Hall. Kami ke sini sebab kawasannya lebih kecil berbanding Gyeongbokgung. Jadi dapatlah cover tempat ini. Kami pun dah cakap dengan guesthouse owner untuk check out lewat sikit. Dia kata ok sebab memang tak ada orang check in untuk hari itu. Tiket masuk ke Deoksugung ini cuma 1K won.

Bangunan di sekitar hostel penginapan.

Lokasinya sangat dekat dengan stesyen subway City Hall.

Deoksugung merupakan salah satu daripada Grand Palace yang dibina oleh raja Sejong pada era Dinasti Joseon. Istana-istana lainnya ialah Gyeongbukgung, Changdeokgung, Changgyeonggung dan Gyeonghuigung. Di Deoksugung ini juga merupakan salah satu tempat yang mempunyai upacara changing guard.

Gong besar di hadapan pintu masuk.

Daehanmun gate, pintu masuk Deoksugung.

Abang pengawal yang serius.

Bangunan-bangunan di dalam kawasan Deoksugung.


Selesai meronda kawasan ini kami membuka bekalan makanan terakhir yang dibawa untuk makan tengah hari. Udara pun nyaman dan dapat pulak  tempat duduk yang selesa. Mula-mula agak cuak juga nak makan di sini. Tapi setelah nampak orang tempatan pun makan, kami pun join juga. Masa dah nak habis makan kami ditegur oleh penjaga di situ. Mula-mula dia tanya asal dari mana. Setelah tahu kami orang luar dia pun cakap kat sini tak boleh makan, tapi taklah dia bebel sangat. Tapi orang Korea yang makan di situ dia marah kaw-kaw punya. Kesian kami tengok.

Pengacara majlis pertukaran pengawal sedang bersiap sedia.

Selesai makan terdengar pengumuman tentang upacara pertukaran pengawal di iringi dengan muzik tradisi. Berkejar-kejar kami ke sini. Kami sebenarnya tak tau pun yang di sini juga ada upacara ini kerana Deoksugung ni taklah besar sangat berbanding Gyeongbokgung. Berbaloi juga rasanya kami ke sini.





Selesai upacara pertukaran pengawal ini kami bergegas balik ke hostel. Sebelum keluar hostel kami nak selesaikan kewajipan dulu jadi taklah nanti susah payah bila di airport. Selesai semua urusan dan pada jam lebih kurang 1.00 tengah hari kami bergerak menuju ke airport.  Kami memilih cara yang sama seperti waktu datang dulu iaitu menggunakan kereta api dari stesyen Seoul. Sebelum tu terpaksa tambah top-up T-money kerana 30K won yang kami beli dulu tak cukup.

Mesin top-up yang sangat user friendly.

Selamat tinggal Seoul. Ada rezeki boleh datang lagi.

Laluan kereta api komuter yang berhenti di semua stesyen. Kalau ekspres agak cepat tapi tambangnya hampir tiga kali ganda.

 Sampai di airport terbaik dunia untuk lapan kali berturut-turut dengan selamat. Maka selesailah trip 6H5M kami di Korea.