Monday, August 29, 2011

Salam Eidul Fitri

Saya Mie penulis blog skema ini, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri kepada semua pengunjung blog ini terutama yang sudi memberikan komen-komen. Maaf zahir dan batin.


Kepada yang pulang ke kampung halaman tu, berhati-hatilah bila memandu. Saya akan pulang ke kampung di Batu Pahat bersama keluarga pada Hari Raya pertama. Pada hari raya kedua sudah balik semula ke Lembah Klang kerana cik wife akan berlepas ke Korea pada Hari Raya ketiga.


Saya juga menerima satu eKad Hari Raya daripada Mr Larry yang tinggal di  Philadelphia, Pennsylvannia, US. Beliau merupakan seorang guru yang pernah mengajar di sekolah saya suatu ketika dahulu.

<><><>
<><><>
                                                            Selamat Hari Raya.


Kepada ***mi dan keluarga:

Selamat Hari Raya.

Maaf Zahir Batin.
From: Larry

Monday, August 15, 2011

Percutian ke Chiang Mai Pt 4

Kami selamat sampai di Chiang Mai setelah menempuh perjalanan hampir dua jam setengah dari Chiang Rai. Memang betul-betul penat. Tapi memandangkan itu adalah malam terakhir kami di sana dan night bazar masih lagi meriah, kami ambil keputusan meronda dulu dan mencari apa-apa yang patut. Di kawasan saya menginap ini senang sangat untuk mendapat makanan halal terutamanya di Anusarn Market. Ada banyak restoran halal di sini yang boleh dipilih.


Selain restoran, banyak juga gerai yang menjual barang-barang cenderamata, pakaian, makanan ringan dan lain-lain. Anusarn Market ini terletak bukan di jalan utama, jadi kita dapat bergerak dan membeli-belah dalam keadaan lebih selesa tanpa gangguan kenderaan. Kawasannya juga berbumbung. 


Di salah satu sudut di dalam kawasan ini ada satu gerai yang menjual makanan seakan-akan roti canai. Di sini ianya juga disebut sebagai roti. Tak berbeza dengan yang ada ditempat kita cuma ianya ditambah sedikit kreativiti. Seperti yang kami pesan, roti pisang dengan chocolate topping dan roti mentega dengan madu.  Ais blended juga mempunyai banyak pilihan dari buah segar dan bukan perasa serbuk atau jus seperti yang terdapat di pasar-pasar malam di tempat kita. Harga dari THB20 hingga THB40 bagi setiap satunya.


Kami pulang ke hotel pada jam hampir 12.00 malam. Walaupun amat letih, kami tak boleh tidur terus dan perlu berkemas barang-barang pada malam itu juga kerana penerbangan pulang ialah pada jam 9.10 pagi keesokan harinya. Kami berjanji dengan En Ahmad untuk membawa kami ke airport pada jam 7.30 pagi. Airport Chiang Mai agak dekat dengan bandar dan boleh dicapai dalam kurang dari 20 minit dari hotel dengan caj THB120 sahaja.   


Penumpang penerbangan Airasia biasanya memang ramai berbanding penerbangan lain.

Sebahagian foto bandar Chiang Mai yang diambil dari hotel penginapan kami. Bangunan berbumbung biru di dalam foto di atas ialah Anusarn Market.

Kepada sesiapa yang ingin menggunakan khidmat En Ahmad @ Jumrat Bainana jika bercuti di Chiang Mai bolehlah menghubungi beliau melalui nombor hp di atas.

Monday, August 8, 2011

Percutian ke Chiang Mai Pt 3

Kami mula bergerak meninggalkan Golden Triangle pada jam tiga setengah petang dan sampai ke bandar Chiang Rai sejam lebih kemudiannya.  Sampai saja di bandar Chiang Rai kami meminta En Ahmad untuk mencari masjid untuk menunaikan kewajipan. Ini disebabkan perjalanan ke Chiang Mai akan mengambil masa lebih dua jam dan kami risau akan terlepas semua waktu solat.


Setibanya di masjid, saya merasa kagum sangat, kerana senibinanya yang unik. Senibinanya adalah campuran di antara senibina Islam dan China. Tak hairanlah kerana masjid ini dibina oleh masyarakat China dari etnik Hui. Saiz masjidnya juga lebih besar jika dibandingkan dengan yang ada di Chiang Mai. Ianya baru dibuka pada tahun 2009 untuk menggantikan yang lama. Kos keseluruhan pembinaannya ialah THB20 juta. Masjid ini terletak di Jalan Isaraparb di tengah-tengah pusat bandar.  Syukur, ternyata Islam tetap subur di mana-mana.


Pengaruh senibina China jelas dapat dilihat pada menaranya. Masjid ini dinamakan Masjid Darunaman. Tetapi jika melihat kepada tulisan jawi yang digunakan ianya lebih kepada sebutan Darulaman. Mungkin ianya disesuaikan dengan bunyi sebutan bahasa Siam.


Kalau saya mengikut lawatan secara tour group, memanglah tiada peluang untuk ke sini. Terima kasih En Ahmad, pemandu teksi yang kami jumpa secara tidak sengaja di lapangan terbang.


Warna merah yang digunakan pada ruang solat memang sinonim dengan masyarakat China. Masjid ini dibuat secara melebar, mungkin kerana kawasan tanah yang terhad dan boleh memuatkan lebih daripada lima ratus jemaah pada satu-satu masa. 

Kami menghabiskan masa di sini hampir satu jam dan mula bertolak pulang ke Chiang Mai pada jam 5.30 petang kerana perjalanan masih lagi jauh.

Bersambung...

Monday, August 1, 2011

Percutian ke Chiang Mai Pt 2

Perjalanan ke Chiang Rai dan seterusnya ke Golden Triangle mengambil masa lebih kurang empat jam. Ini telah diberitahu lebih awal oleh En Ahmad supaya kami memikirkan sama ada hendak pergi atau tidak. Kami ambil keputusan untuk pergi juga. Kami keluar agak awal pagi untuk mengejar masa. Nasib baik sarapan yang disediakan oleh pihak hotel bermula pada jam 6.30 pagi. Di sini jam 6.30 pagi keadaan sekeliling sudah pun terang.


Apa yang bagusnya di Chiang Mai ini ialah tiada traffic jam dan motorsikal pun tak sebanyak seperti di HCM City. Perjalanan kami agak lancar dan destinasi pertama persinggahan kami ialah di Hot Spring Chiang Rai yang terletak di tepi jalan utama. Sebenarnya banyak kolam air panas yang terdapat wilayah Chiang Rai, tetapi tempat ini yang paling mudah untuk dilawati.


Belum ramai pelawat yang sampai ke sini pada hari tersebut. Kebanyakan pelancong yang pergi ke Chiang Rai dan Golden Traingle akan bermalam di sana jadi tak perlulah terkejar-kejar seperti kami. Kolam air panas di sini memang cukup panas. Kita boleh merebus telur burung puyuh dalam tiga minit dan telur ayam pula lima minit sahaja.  Kami mencuba untuk merebus telur puyuh  dengan harga THB20 untuk sepuluh biji. Kami berada di sini lebih kurang setengah jam.


Perjalanan diteruskan dalam cuaca yang amat baik. Kami singgah di satu komplek wat Siam yang dipanggil White Temple atau wat Rong Khun. Kalau melihat bentuk bangunannya dan warna yang digunakannya, ia adalah lebih kepada untuk tarikan pelancong semata-mata, kerana ianya baru dibina pada tahun 1997. Bangunan berwarna keemasan di tengah-tengah komplek tersebut ialah tandas awam.   Wat ini terletak kira-kira sepuluh minit perjalanan ke bandar Chiang Rai. Kami tak lama di sini kerana pada waktu itu jam sudah menunjukkan jam 12.00 tengahari, sedangkan perjalanan masih jauh lagi. Rasa macam tak berbaloi ke sini. Sepatutnya kami pilih untuk ke perkampungan masyarakat orang asli berleher panjang ataupun Karen long neck hilltribes village. Untuk ke sini masa lebih panjang diperlukan tapi memikirkan yang destinasi kami ialah Golden Triangle, kami skip tempat tersebut.


Perjalanan diteruskan dan saya meminta En Ahmad berhenti di restoran makanan Islam untuk makan tengah hari. Restoran ini terletak di pinggir bandar Chiang Rai. En Ahmad yang membuat pesanan makanan untuk kami kerana susahnya semasa saya cuba berkomunikasi dengan mereka. Pilihan lauk tidak banyak dan kami telah memilih untuk makan berlaukkan sup ekor, sup sayur dan ayam paprik. Tomyam tidak popular di Utara Thailand.


Selesai makan kami   meneruskan perjalanan ke Golden Triangle yang mengambil masa sejam setengah. Golden Triangle adalah merupakan satu kawasan sempadan tiga buah negara iaitu Thailand, Myanmar dan Laos yang dipisahkan oleh sungai. Suatu ketika dulu di sini adalah merupakan satu pusat pengedaran dadah dari bunga poppy yang utama.


Di bahagian utara Thailand belum terdapat lebuhraya yang menghubungkan bandar-bandar utamanya. Kami sampai di sini pada jam dua petang. Kami berhenti berhampiran batu tanda Golden Triangle di tepi Sungai Mekong. Di sini juga terdapat jeti di mana kita boleh membuat river cruise dan seterusnya menyeberang ke negara Laos tanpa perlu pasport. 


Arus sungai pada hari tersebut memang agak deras dengan lebarnya lebih dari seratus meter. Bot kosong yang bergerak menentang arus pun nampak macam semput, apa lagi kalau berpenumpang. Kami buat keputusan tak mahu ambil risiko walaupun bayarannya cuma THB1000 sekeluarga untuk tempoh hampir dua jam perjalanan dan berhenti sebentar di Laos. Lagipun dalam masa kami di situ tak ada pun pelancong yang mencubanya. Sebenarnya tak banyak bezanya pekan-pekan di sempadan yang biasanya wujud untuk menarik pelancong sebab saya dah tengok keadaannya di blog mereka yang pernah ke sana.

Diantara ketiga-tiga negara, Thailand dianggap lebih maju dan kaya berbanding Myanmar dan Laos. Untuk menarik pelancong dari Thailand, pemerintah Myanmar dan Laos telah membina kasino berhampiran sungai di sempadan negara masing-masing. Tapi yang datang ke kasino di sini, bukan saja rakyat Thailand. Menurut En Ahmad dia pernah terpaksa bermalam di tebing selama dua hari kerana menunggu pelanggannya dari Malaysia berjudi di sana.

Foto diatas ialah kasino di Laos dan di bawah pula ialah di Myanmar

Destinasi terakhir kami di sini ialah melawat muzium dadah yang di panggi Hall of Opium. Bayaran masuk THB200 seorang untuk warga asing. Penggunaan kamera adalah dilarang sama sekali di dalam kawasan muzium. Sebelum sampai ke bangunan pameran kita terpaksa melalui satu terowong yang agak panjang dengan cahaya suram.


Kami beredar keluar dari kawasan Golden Triangle pada jam 3.30 petang menuju ke bandar Chiang Rai untuk mencari masjid.

Bersambung...