Monday, November 26, 2012

Hanoi - Sedikit catatan

Menonton puppet teater show ialah aktiviti terakhir kami di Hanoi. Sebelah petang membawa ke malam kami meronda sekitar kedai cenderamata mencari apa-apa buah tangan yang boleh dibawa pulang. Penerbangan pulang esoknya agak awal jadi kami perlu bersiap mengemaskan barang pada malamnya. Teksi kami tempah dari hotel dengan harga USD15. Macam murah kan. Kami check out hotel pada jam 6.30 pagi. Macam biasalah, komunikasi memang jadi masalah. Jadi sepanjang perjalanan sepatah perkataan pun tak keluar dari mulut pemandu. Tapi sebaik saja sampai di airport, pemandu menunjukkan sekeping kertas yang siap dilaminasikan kepada kami menyatakan yang penumpang perlu menampung harga tol bagi perjalanan pergi balik. Nasib baik kami masih ada baki wang Dong. Bayaran tolnya VND70K sehala. Jadi kalau ke sana jangan lupa simpan baki duit untuk perkara yang tidak dijangkakan.
 
Plaza tol sebelum lapangan terbang Noi Bai.

Ok sebelum catatan ke Hanoi ini selesai, dicatatkan serba sedikit beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan panduan bagi mereka yang bercadang ke sana.

Penginapan

Kalau nak senang berjalan-jalan cari saja hotel penginapan yang berhampiran dengan Tasik Hoan Kiem terutama di bahagian utaranya. Kawasan ini terletak di Old Quarter, Hanoi. Kebanyakan hotel yang tinggi sehingga lima tingkat tidak menyediakan lift. Jadi masa menempah kena beritahu untuk dapatkan bilik di tingkat yang lebih rendah. Bagi hotel yang besar mungkin tiada masalah. Pilih saja mana yang sesuai mengikut   kemampuan poket sendiri. Kami menginap di Madam Moon Guesthouse di Jalan Hang Hanh yang menyediakan sekali sarapan pagi. Sarapan di sediakan di bahagian tingkat atas di hotel induk bersebelahannya. Sarapannya juga agak berat dan mengenyangkan.

 Buah-buahan dan yoghurt disediakan untuk setiap meja. Cuma perlu buat pesanan untuk bahagian makanan dan minuman saja.

Membeli-belah

Untuk membeli-belah terutamanya yang suka ke pasar malam ianya hanya dibuka pada hari Jumaat hingga Ahad sahaja. Boleh juga ke pasar Dong Xuan pada hari-hari biasa.  Tapi keadaan nya tidak begitu selesa kerana terlalu sesak. Kedai-kedai cenderamata pula kebanyakkannya terletak berhampiran tasik Hoan Kiem kerana di situ merupakan tempat tumpuan pelancung. Jika membeli barangan cenderamata pastikan kita menawar harga barangan sehingga kurang lima puluh peratus. Jika bernasib baik memang boleh dapat.

Kedai cenderamata di kawasan Old Quarter

Kedai Shop & Go ialah kedai 24 jam seperti seven eleven di tempat kita tapi barangannya tidak begitu banyak. Di kedai ini kita boleh beli biskut yang diimport dari Malaysia dan Indonesia. Minuman juga lebih baik beli di kedai ini kerana harganya standard berbanding di gerai yang harganya lebih tinggi. Tapi kedai ini tidak banyak terdapat di sekitar Old Quarter. Secara kebetulan hotel yang kami duduki tidak jauh dari kedai ini, jadi mudah sikit untuk mengulang.


Makanan

Makanan halal memang agak susah untuk didapati di Hanoi. Satu-satunya Restoran yang boleh dipercayai seratus peratus halal ialah Restoran Nisa. Tapi kalau nak makan di situ sepanjang masa, pastikan dompet kita tebal sebab harganya memang agak tinggi. Jika pergi secara individu memang boleh layan, tapi kalau berkeluarga boleh kopak dibuatnya. Tentang makanan halal yang susah didapati, janganlah jadi alasan untuk tidak ke sana. Kalau fikir susah lebih baik duduk rumah saja. Sebenarnya kita juga boleh membawa bekalan sampingan sebagai persediaan. Sekarang ni dah ada bermacam jenis nasi segera dan lauk yang siap di pek.


Makanan yang dibeli di Restoran Nisa di samping lauk yang dibawa.

Berfoto

Jangan sesuka hati mengambil foto terutama aktiviti penduduk tempatan. Kalau nak ambil juga, ambillah secara curi-curi. Kalau kita berurusan dengan mereka atau membeli barangan mereka tiada masalah untuk berfoto. Juga jangan sampai terperangkap seperti aksi di bawah. Mula-mula penjual tu mendekati kami dan memberikan pengandarnya  untuk dipikul bagi tujuan berfoto. Lepas tu dia suruh kita beli buah yang dijualnya. Ada ke logik buah nanas yang seciput tu berharga hampir sepuluh ringgit sebiji. Kami tak belipun nanas tu sebab mahal sangat dan terus belah. Tapi penjual tu menunjukkan reaksi yang seakan marah.


Kenderaan Awam

Jika menggunakan kenderaan awan seperti teksi atau cyclo, pastikan kita menetapkan harga terlebih dulu. Dari pengalaman saya, penggunaan meter teksi tidak boleh diharapkan sangat. Juga mereka boleh menipu laluan untuk mendapat bayaran yang lebih tinggi.

Thursday, November 22, 2012

Hanoi - Water Puppet Show

Selepas bertekak dengan pemandu teksi dan sampai di hotel kami berehat sebentar. Malamnya kami bercadang untuk menonton water puppet show. Tapi tiket untuk malam itu kehabisan dan kami hanya dapat tiket untuk keesokan harinya.

Bangunan panggung water puppet theatre show yang terletak di tepi Tasik Hoan Kiem, tidak jauh dari hotel penginapan.
 
 
Terdapat lima atau enam show bagi setiap hari. Kebanyakan tiket untuk waktu malam habis dijual sebab sudah diborong oleh agen-agen pelancongan. Kami dapat tiket untuk jam 2.15 petang yang ditempah awal sehari. Harga tiket ialah VND100K seorang. Caj dikenakan VND20K untuk kamera kompak dan VND40K untuk DSLR.
 
Persembahan teater ini dijalankan di dalam kolam air separas pinggang. Sebatang rod digunakan untuk meletakkan patung-patung di atasnya dan digerakkan oleh petugas yang berlindung di sebalik tirai. Jadi patung nampak seakan bergerak di atas air. Persembahan teater ini diiringi oleh orkestra tradisi Vietnam sebagai muzik latarbelakang.
 
Penerangan diberikan sebelum pertunjukan dimulakan dalam bahasa Vietnam dengan terjemahannya disediakan di monitor di kiri dan kanan panggung.
 
Diakhir pertunjukan, semua yang menjayakan teater akan keluar dari belakang tabir.
 
Pertunjukan selesai dalam tempoh hampir sejam. Boleh dikatakan tiada penduduk tempatan yang menonton teater ini.

Monday, November 19, 2012

Hanoi - Temple of Literature

Dari Ba Dinh Square kami meneruskan perjalanan ke satu lagi kawasan tarikan di Hanoi ini. Tempat ini dikenali sebagai Temple of Literature yang terletak di Jalan Van Mieu kira-kira satu kilometer jaraknya dari sini. Kawasan dalaman temple ini dibahagikan kepada beberapa bahagian. Temple ini juga merupakan universiti yang pertama bagi Vietnam. Bayaran masuknya ialah VND40K.

Pintu masuk utama
 

Halaman pertama
 
Halaman kedua
 
Halaman ketiga
 
Halaman keempat
 
Halaman kelima
 

 Laluan keluar
 
Dari sini kami balik ke hotel dengan teksi. Dengan konfidennya kami terus naik sebuah teksi yang memang sedia menunggu di hadapan pintu keluar sebab teksi tu menggunakan meter. Apa yang mengejutkan, meter teksi tu bergerak sepanjang masa. Dalam hati berkata tak apalah sebab duit Dong ni nilainya memang kecil. Anak saya yang duduk di hadapan cakap, macam mana ni ayah, dah hampir sejuta Dong, sebaik kami menghampiri kawasan hotel. Saya terus minta pemandu teksi tu berhenti di situ juga. Apabila kami mempertikaikan tambangnya, dia mula meninggikan suara dengan bahasa yang kami tak faham. Akhirnya kami bayar saja dua ratus ribu Dong dan terus belah, dan terpaksa menapak lagi untuk sampai ke hotel. Kalau difikir balik, lebih balik kita tawar menawar dulu untuk menetapkan tambang sebelum setuju untuk ambil teksi di kota Hanoi ini.

Thursday, November 15, 2012

Hanoi - Ba Dinh Square

Salah satu tempat mesti dikunjungi oleh pelawat jika ke Hanoi ialah Ba Dinh Square. Di sini terletaknya tempat tinggal Uncle Ho sekarang ni. Berdekatan dengan kawasan ini juga terdapat Muzium Ho Chi Minh dan One Pillar Pagoda. Jarak tempat ini dari hotel penginapan kami kira-kira empat kilometer. Mengikut kata penjaga kaunter hotel, jika naik teksi menggunakan meter tambangnya cuma VND70K saja. Tapi kebanyakannya tak mahu guna meter dan kalau guna meter pun tambangnya jauh lebih mahal kerana meter bergerak sepanjang masa tanpa henti. Ini kami terkena waktu nak balik ke hotel. Boleh juga naik cyclo (macam beca) tapi cuma muat dua orang saja dan tambangnya sama dengan teksi. Akhirnya kami mengambil sebuah teksi dengan tambang VND100K tanpa meter.

Kawasan dalaman ditutup untuk lawatan kerana dalam proses penyelenggaraan untuk tempoh dua bulan. Hanya boleh berlegar di luar kawasan garisan kuning yang disediakan.

Kawasan sekitar Ba Dinh Square. Jika kita berjalan lebih kurang satu kilometer melalui jalan ini, kita akan sampai di tasik yang terbesar di Hanoi iaitu West Lake.

Kami bernasib baik kerana pada pagi itu ada acara pertukaran pengawal dijalankan tidak lama selepas kami sampai. Acaranya agak ringkas.

Jalan menuju ke Muzium HCM.

Muzium Ho Chi Minh terletak di sisi belakang Ba Dinh Square.

The Ho Chi Minh Museum in Hanoi is a dedicated museum. It was built in memory of a great man whose name is written in golden alphabets in the history of Vietnam. The special person was a great revolutionary and statesman and went on to become the first Prime Minister in 1946.

Di sebelah muzium ini pula terdapat sebuah pagoda yang di panggil One Pillar Pagoda. Ia merupakan salah satu bangunan yang menjadi ikon utama di Vietnam.



Dari kawasan ini kami menapak pula kira-kira dua kilometer untuk menuju ke satu lagi kawasan tarikan di Hanoi ini, iaitu Temple of Literature.

Jalan menuju ke Temple of Literature yang terletak di Jalan Van Mieu.

Friday, November 9, 2012

Hanoi - Halong Bay

Hari ini kami akan pergi melawat Halong Bay yang terletak kira-kira 170 km ke timur Hanoi. Kawasan tarikan pelancongan Halong Bay ini telah mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia dari UNESCO bagi kategori alam semulajadi. Pakej sehari suntuk ini boleh didapati dari hotel penginapan. Caj yang dikenakan ialah USD35 seorang termasuk makan tengah hari. Bas mengambil kami di hotel pada jam lapan pagi. Seterusnya bas akan berhenti di beberapa hotel lagi untuk mengambil penumpang sehingga penuh. Sangat antarabangsa penumpangnya kerana bas kecil yang kami naiki dipenuhi oleh warga negara dari berbagai negara. Perjalanan dari Hanoi ke Halong Bay akan mengambil masa lebih kurang empat jam termasuk berhenti rehat.

Bas yang kami naiki, kecil tapi selesa.

Ladang jagung yang luas terbentang dapat dilihat disepanjang perjalanan.

Kompleks kedai yang menjual pelbagai kraftangan menjadi destinasi rehat yang wajib bila kita melawat ke luar kawasan di Vietnam.

Sampai di jeti di bandar Ha Long setiap orang akan diberikan tiket untuk melawat ke gua batu kapur nanti. Tiket akan diperiksa sebanyak dua kali iaitu semasa nak melepasi jeti dan di gua. Jadi jangan hilangkan tiketnya. Masuk saja ke bot makan tengah hari terus dihidangkan.

Bot yang kami naiki.

Hidangan makan tengah hari sudah termasuk dalam pakej. Cuma bayar harga untuk minuman saja.

Waktu makan meja kami di sertai oleh dua orang wanita Jepun yang bertugas sebagai pramugari dengan syarikat penerbangan Singapura. Nasib baik masih boleh lagi ber'Nihongo'. Jadi bolehlah kami berbual sikit-sikit. Sambil makan bot akan bergerak menuju pulau di mana terletaknya gua batu kapur yang kami akan singgahi.

 Laluan masuk ke gua.

Perlu mendaki lebih seratus mata anak tangga sebelum sampai di pintu gua.

Mengikut pemandu pelancong kami Mr Bay, Gua Thien Cung yang kami lawati ini sebenarnya ditemui secara kebetulan oleh nelayan yang berlindung dari ribut. Dan ianya hanya baru ditemui pada tahun 1993. Kemudian dimajukan dan mula dibuka kepada pelancong mulai tahun 1997.





Dalam gua ini dipenuhi dengan stalaktait dan stalagmait dalam perbagai formasi. Dihias pula dengan lampu-lampu berwarna-warni yang menjadikannya cukup cantik. Jarak laluan di dalam gua ini lebih kurang seratus meter dari hujung ke hujung. Seeloknya pakai kasut bila ke sini kerana laluannya agak basah.

Bersama dua orang pramugari penerbangan Singapura berasal dari Jepun di pintu keluar gua.

Selesai lawatan di gua, kami dibawa pula ke satu pelantar terapung untuk acara berkayak atau menaiki sampan untuk melihat gua James Bond. Acara di sini adalah pilihan kerana caj dikenakan untuk aktiviti ini. Di sini juga kita boleh membeli minuman atau buah-buahan untuk membasahkan tekak.
  
Pelantar terapung tempat persinggahan seterusnya.

Pemandangan di sekitar kawasan pelantar terapung.

Sampan untuk ke gua James Bond. Caj VND150K seorang.

Gua James Bond mengambil nama sempena penggambaran filem JB di sini.

Antara bentuk-bentuk pulau batu kapur yang terdapat di sekitar Halong Bay.

Kami berada di sini lebih kurang sejam sebelum perjalanan diteruskan untuk pulang ke jeti. Bagi mereka yang mengambil pakej untuk menginap di sini akan di bawa dengan bot lain untuk menuju ke hotel di Pulau Cat Ba. Rugi rasanya tak menginap di sini kerana kami beranggapan akan menginap di dalam bot saja bila ke sini.

Bandar Halong dilihat dari bot.

Sampai di jeti bas telah sedia menunggu dan perjalanan selama empat jam lagi akan diteruskan. Kami sampai di hotel pada jam lapan malam dan tamatlah lawatan ke Halong Bay sehari suntuk untuk hari itu. 


Monday, November 5, 2012

Hanoi - Masjid Al-Noor dan Pasar Dong Xuan

Petangnya kami keluar lagi. Kali ini destinasinya ialah ke Masjid Al-Noor dan Cho Dong Xuan (pasar). Kedua-dua tempat ini terletak agak berdekatan.  Berjalan kaki saja kami ke sana, kerana jaraknya cuma lebih kurang satu kilometer dari hotel penginapan. Di sepanjang jalan menuju ke Pasar Dong Xuan pada malamnya pula ada pasar malam. Pasar malam ini cuma ada pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad saja. Kalau sesiapa datang pada hari lain memang tak jumpalah.

Tasik Hoan Kiem dan persekitarannya

Destinasi pertama kami ialah Masjid Al-Noor yang terletak di Jalan Hang Luoc. Masjid ini tidak begitu besar. Mungkin cuma boleh memuatkan hingga seratus orang jemaah pada satu-satu masa. Inilah satu-satunya masjid yang ada di kawasan Old Quarter, Hanoi. Sampai di masjid hampir masuk waktu solat Asar tapi tak nampak seorang pun di situ. Mungkin digunakan untuk solat Maghrib dan Isya' serta solat Jumaat kerana komuniti Islam di sini kebanyakannya orang luar yang masing-masing bekerja. Tertarik dengan peringatan tentang telefon bimbit di situ yang menunjukkan orang Malaysia memainkan peranan yang agak besar dalam menggerakkan masjid ini. Pintu utama masjid ini sentiasa dikunci, jadi kalau nak masuk boleh ikut pintu kecil di bahagian kirinya, Pada sesiapa yang datang ke Hanoi jangan lepaskan peluang ke sini. Selain boleh menghulurkan sedikit sumbangan kita juga dapat singgah ke salah satu 'Jejak Rasul'  yang ada disatu persekitaran yang sangat asing.


Masjid Al-Noor di Jalan Hang Luoc.

Bahagian dalam masjid dengan mimbarnya yang ringkas.

Redup di dalam kawasan Masjid ini kerana banyak pokok belimbing.

Selesai menziarahi Masjid Al-Noor kami bergerak pula ke pasar Dong Xuan yang terletak di jalan yang selari dengan Masjid. Kompleks pasar ini setinggi tiga tingkat dan tidak berhawa dingin. Agak panas seperti kompleks Padang Besar. Saiznya juga lebih besar. Peniaganya pula agak kurang friendly.

Jalan menuju ke Pasar Dong Xuan, sangat kelam kabut dengan motorsikal.

Suasana Pasar Dong Xuan siang.

Kereta elektrik yang siap menunggu penumpang untuk bersiar-siar sekitar kota Hanoi melalui jalan yang telah ditetapkan. Caj setiap penumpang ialah VND150K. Terdapat satu stesyen lagi iaitu berhampiran Tasik Hoan Kiem.

Suasana pada waktu malam
Suasana di dalam Pasar Dong Xuan seakan-akan kompleks Padang Besar, Perlis.
Kami berada di kawasan ini sehingga malam kerana nak melihat keadaan pasar malamnya sekali. Pasar malam dibuka mulai jam tujuh malam dan panjangnya hampir satu kilometer iaitu dari kawasan pasar sehingga menghampiri kawasan tasik. Kebanyakan barang yang dijual adalah pakaian dan baju. Agak susah untuk mencari souvenir di sini.