Showing posts with label Tempat Rekreasi. Show all posts
Showing posts with label Tempat Rekreasi. Show all posts

Monday, June 20, 2011

Taman Bukit Jalil

Kali terakhir ke sini kira-kira dua tahun yang lalu walaupun kedudukannya tidak begitu jauh dari rumah. Taman ini terletak di tepi jalan utama dari Puchong ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Mungkin ramai  diantara kita yang pernah ke sini.

Terdapat dua kawasan meletak kenderaan untuk kemudahan pelawat. Yang pertama berhampiran batu tanda Taman bukit Jalil dan yang kedua berhampiran Kelab Golf.  Saya cadangkan kepada sesiapa yang nak ke sana, letakkan kenderaan di kawasan yang pertama kerana kawasannya lebih luas dan berturap sepenuhnya.

Kawasan taman ini agak luas dan terdapat beberapa tasik buatan serta trek untuk berjogging. Oleh kerana kawasannya agak berbukit, jadi tempat ini memang sesuai sekali untuk menguji stamina. Bagi mereka yang hanya mahu bersiar-siar laluan bertangga disediakan untuk jalan pintas ke satu-satu tasik.

Keadaan taman yang dijaga dengan baik menjadikan kawasan ini sangat sesuai untuk aktiviti riadah bersama keluarga.

Jika ada yang suka melayan ikan-ikan di sini, bawalah roti sendiri. Antara ikan yang mendiami tasik ini ialah ikan keli Afrika dan ikan tilapia.

Laluan bertangga dan jambatan yang dibina merentasi taman ini bagi kemudahan mereka yang hanya mahu bersiar-siar saja. 

Disediakan juga trek jogging yang luas dan panjang mengelilingi taman ini.

Sunday, February 6, 2011

Hutan Lipur Kuala Woh


Hutan Lipur Kuala Woh terletak di kilometer 13 jalan utama dari Tapah ke Cameron Highlands. Kawasan perkelahannya terletak kira-kira satu kilometer dari simpang jalan utama. Kami sekeluarga singgah di sini untuk berehat dalam perjalanan ke Cameron Highlands. Oleh kerana kami ke sini pada hari Selasa, pengunjung tidaklah begitu ramai. Ini disebabkan bukan semua sekolah mendapat cuti selama seminggu sempena cuti Tahun Baru Cina. Sekolah yang mendapat cuti seminggu biasanya sudah menggantikannya pada hari sabtu pada minggu-minggu sebelumnya.





Antara tarikan di sini ialah jambatan gantung yang merentasi sungai untuk ke pusat informasi, kolam air panas (sedang diperbaiki) serta sungai yang jernih dan arusnya yang tidak begitu deras.





Di kawasan hutan lipur ini terdapat banyak rama-rama dari spesis Rajah Brooke (Trogonoptera brookiana). Jika bernasib baik (seperti saya) kita dapat melihatnya dalam satu kelompok besar. Rama-rama jenis ini lebih tertarik kepada air dan tanah berlumpur berbanding bunga seperti rama-rama lain. Ianya tidak akan terbang walaupun kita berada pada jarak yang dekat. Cara terbangnya juga tidak begitu agresif. Rama-rama jenis ini adalah spesis yang dilindungi.