Monday, February 28, 2011

Legend Water Chalet Port Dickson

Bergegas pulang awal pagi ke Shah Alam daripada rumah adik di Kulai, Johor kerana menghadiri satu majlis di sana pada sebelah malamnya. Ini disebabkan sudah berjanji dengan rakan sepejabat untuk ke Legend Water Chalet , Port Dickson.



Sampai di LWC pada jam 2.00 petang dan berjumpa dengan rakan En Zack yang menguruskan chalet persendirian di situ. Senang berurusan dengannya kerana orangnya yang agak sempoi. Tepat jam 2.30 petang  kami pun check in. Datang ke sini dengan rakan sepejabat dahulu, mungkin lain kali dengan keluarga pula. Lagipun datang ke sini nak mencuba-cuba memancing, kalau dengan keluarga risau pula mereka bosan. Survey dulu...



Kami menempah dua buah chalet di mana salah satunya menghadap laut sepenuhnya, sementara yang satu lagi berhadapan dengan barisan chalet yang lain di mana caj yang dikenakan adalah berlainan. Chalet ini terbahagi kepada dua kategori iaitu sama ada yang di atas air atau di blok bangunan utama di daratan. Tempat letak kenderaan bertingkat juga disediakan.



Kelebihan chalet yang menghadap laut sepenuhnya ialah dapat menikmati pandangan cantik waktu matahari hampir terbenam. Kalau nak memancing pun boleh baling umpan jauh-jauh. Tetapi misi untuk memancing ikan di sini nampaknya gagal. Seekor ikan pun tak dapat. Tak tahulah sama ada kami menggunakan umpan yang sesuai dengan ikan yang hendak dipancing atau tidak. Ikan memang banyak di sini tapi kami tak tahu apa spesisnya. Ikan jenis ini suka makan dipermukaan air dan ekornya berwarna kuning. Ada yang besar dan dianggarkan mencapai setengah kilogram.


Selain memancing kita juga boleh memerangkap ketam dari balkoni chalet ini. Kami menyewa tiga perangkap ketam dengan kos RM50. Dapat juga memerangkap beberapa ekor ketam untuk mengubat kekecewaan memancing ikan. Ketam biasanya masuk perangkap pada masa air surut atau baru nak pasang. Jika air dalam, kemungkinan untuk mendapat ketam adalah kurang. Umpan yang sesuai sekali adalah udang berbanding sotong. Umpan sebaiknya dibungkus dengan plastik yang dilubangkan supaya tidak mudah gugur bagi mengelakkan kerap mengganti umpan. Terdapat juga ketam batu yang masuk perangkap tetapi dapat dibezakan dengan fizikal kulitnya yang agak keras dan susah nak mati bila di daratan. Jika ke sini lebih baik bawa sendiri perangkap ketam kerana ianya boleh digunakan berulang kali dan harganya lebih kurang RM10 sahaja seunit yang boleh dibeli di kedai peralatan memancing.



Tempat ini sesuai dijadikan tempat percutian keluarga, cuma bawalah bekalan makanan secukupnya kerana jika kita duduk di kawasan menghadap laut ianya agak jauh dari daratan.

Sunday, February 13, 2011

Ronda-ronda di Cameron Highlands

Saban tahun kami sekeluarga ke sini untuk berehat kerana suka cuacanya yang nyaman. Kalau pada masa itu (cuti Tahun Baru Cina) negeri-negeri di selatan tanah air dilanda banjir dan hujan setiap hari,  di Cameron Highlands keadaan adalah sebaliknya. Panas dan terang sepanjang hari kecuali pada sebelah petang agak mendung. Tak tahu ke mana nak pergi lagi, jadi meronda sajalah. Untuk ke CH saya lebih suka mengambil jalan lama iaitu dari Tapah berbanding dari Simpang Pulai. Pekan atau petempatan penduduk di CH bermula dari Ringlet, Habu, Tanah Rata, Brinchang, Tringkap, Kuala Terla dan terakhir sekali Kampung Raja sebelum sampai ke simpang jalan utama untuk  ke Perak dan Kelantan.
 


Menginap di sini selama empat hari. Kemudahan internet wifi disediakan. Sebenarnya kami lebih banyak  melepak dari berjalan-jalan kerana tempoh cuti yang agak panjang. Bersebelahan dengan rumah penginapan ini terdapat ladang strawberry dan bunga. Untuk mendapatkan strawberry yang segar sebelum pulang beli saja di sini kerana ianya dibuka agak awal pagi.



Cara makan strawberry yang paling sedap sekali ialah dengan membelahnya kemudian campur sedikit gula dan tambah dengan krim. Marvellous... Gula perlu dicampur kerana strawberry di CH agak masam. Kalau ada krim coklat lagi sedap.

 
 
Tarikan terbaru di MARDI Tanah Rata  ialah menara jam yang menunjukkan suhu harian dan waktu serta kilang teh yang baru dibuka. Suhu pada jam 9.57 pagi pada waktu itu ialah 19 darjah Centigrade.



Rumah flat moden yang terdapat di Kampung Raja yang diambil fotonya dari Masjid yang terletak di atas bukit dengan pemandangan yang cantik. Tidak terdapat hotel di sini kerana ianya lebih merupakan kawasan petempatan penduduk seperti Tringkap dan Kuala Terla.

 
Kawasan pasar di sepanjang jalan di Kea Farm (di antara Brinchang dan Tringkap) adalah yang paling popular sekali dikalangan pelancong. Harga yang lebih murah berbanding tempat lain mungkin menjadi tarikan utama. Selain buah-buahan dan sayur-sayuran juga terdapat pokok-pokok untuk dijual seperti strawberry, bunga dan kaktus. Di sini juga terletaknya hotel pada kedudukan tertinggi di CH iaitu Hotel Equatorial.


 
Jalan menuju ke Kea Farm sentiasa sibuk terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah. Untuk mendapatkan tempat parkir amat susah sekali, lebih-lebih lagi kalau kita terlewat ke sini. Kadang-kadang terpaksa menapak agak jauh. Gambar di atas diambil pada dua hari yang berlainan.


   
Kawasan ladang teh Bharat di Tringkap lebih kecil saiznya berbanding yang ada di kawasan antara Habu dan Tanah Rata. Tetapi ladang tehnya terletak betul-betul di sebelah tempat letak kereta, jadi agak mudah bagi semua orang untuk memasukinya. Di sini juga terdapat kedai menjual produk dari teh dan kedai cenderamata.

Sunday, February 6, 2011

Hutan Lipur Kuala Woh


Hutan Lipur Kuala Woh terletak di kilometer 13 jalan utama dari Tapah ke Cameron Highlands. Kawasan perkelahannya terletak kira-kira satu kilometer dari simpang jalan utama. Kami sekeluarga singgah di sini untuk berehat dalam perjalanan ke Cameron Highlands. Oleh kerana kami ke sini pada hari Selasa, pengunjung tidaklah begitu ramai. Ini disebabkan bukan semua sekolah mendapat cuti selama seminggu sempena cuti Tahun Baru Cina. Sekolah yang mendapat cuti seminggu biasanya sudah menggantikannya pada hari sabtu pada minggu-minggu sebelumnya.





Antara tarikan di sini ialah jambatan gantung yang merentasi sungai untuk ke pusat informasi, kolam air panas (sedang diperbaiki) serta sungai yang jernih dan arusnya yang tidak begitu deras.





Di kawasan hutan lipur ini terdapat banyak rama-rama dari spesis Rajah Brooke (Trogonoptera brookiana). Jika bernasib baik (seperti saya) kita dapat melihatnya dalam satu kelompok besar. Rama-rama jenis ini lebih tertarik kepada air dan tanah berlumpur berbanding bunga seperti rama-rama lain. Ianya tidak akan terbang walaupun kita berada pada jarak yang dekat. Cara terbangnya juga tidak begitu agresif. Rama-rama jenis ini adalah spesis yang dilindungi.


Monday, January 17, 2011

Dari New York ke Paris

Biasanya apabila menghantar anak pulang ke UTM, tempat penginapan kami ialah di bandar Johor Bahru. Hotel yang paling kerap dikunjungi ialah Hotel New York. Bukan tiada rumah saudara mara di sekitar JB, tapi kami tak mahu menyusahkan mereka.

Harga yang sederhana, tempat meletak kenderaan yang luas dan berhampiran dengan banyak tempat makan antara faktor yang menyebabkan kami  memilih hotel tersebut. Hotel ini juga terletak di jalan yang tidak sebuk. Tetapi kedudukannya agak jauh dari Skudai. Jadi, kami  cuba mencari alternatif lain yang lebih berdekatan dengan UTM iaitu di kawasan Skudai atau Tampoi. Kami cuba meronda di sekitar Taman Bukit Indah kerana di situ khabarnya ada banyak tempat shopping. Kebetulan pula di situ ada sebuah hotel yang agak bagus.

Jadi untuk mengubah angin kami sekeluarga telah memilih untuk menginap di Hotel Pariss yang terletak di situ. Hotel ini dikelilingi oleh kawasan perumahan dan pusat membeli-belah seperti Kompleks AEON Jusco, Giant dan Tesco yang terletak berdekatan di antara satu sama lain. Boleh dikatakan kawasan yang agak meriah. Tempat untuk menjamu selera juga banyak terutama di medan selera yang terdapat dalam kompleks beli-belah tersebut.

Jadi jika anda ke Johor Bahru singgah-singgahlah di sini kerana semuanya ada. Cara ke sini dari utara ialah dengan mengambil susur persimpangan Taman Perling. Lepas membayar tol, kira-kira setengah kilometer, ambil susur keluar di sebelah kiri. Hotel Pariss terletak di sebelah pasar raya besar Giant.

Foto Pasar Raya Besar TESCO Bukit Indah dari tingkat sembilan Pariss Hotel

Saturday, January 1, 2011

Kilim Geoforest Park

Terdapat dua jeti berlepas untuk ke Kilim Geoforest Park. Jeti pertama terletak berhampiran muara sungai di Pantai Tanjung Rhu dan jeti kedua terletak di Kampung Kilim. Kami memilih untuk berlepas dari Pantai Tanjung Rhu kerana dapat melalui perjalanan yang lebih panjang.

Pantai Tanjung Rhu

Jeti berlepas Tanjung Rhu

Terdapat pelbagai set pakej perjalanan yang disediakan untuk jangka masa yang berlainan iaitu dari satu jam hingga empat jam. Disepanjang perjalanan kita akan disinggahkan atau berhenti di beberapa tempat tarikan di sepanjang sungai. Diantara tempat tersebut ialah kesan kilang pembuatan arang dari kayu bakau, melihat helang menyambar makanan, gua buaya, gua kelawar, tempat ternakan ikan dalam sangkar dan akhir sekali keluar melalui kawasan pulau-pulau di laut terbuka.


Aktiviti pertama ialah melihat helang menyambar makanan di satu kawasan khas. Dari helang inilah Langkawi mendapat namanya. Helang ini adalah binatang yang dilindungi kerana bilangannya yang semakin berkurangan. Makanan yang diberikan ialah kulit ayam kerana ianya boleh terapung untuk memudahkan helang menyambar. Namun tabiat pemakanan inilah sebenarnya yang menyumbangkan kepada bilangan yang semakin berkurangan kerana makanannya mempunyai kadar kolesterol yang tinggi. Kaedah lain sedang dicari untuk mengubah diet pemakanannya. Lagipun helang yang sudah terbiasa dengan cara pemakanan seperti ini tidak dapat mengaplikasikan cara kehidupan semulajadi.


   

Gua Buaya ialah sebuah gua yang terdapat di laluan sungai dan bot boleh masuk melauinya jika air tidak pasang tinggi. Jika pasang tinggi terpaksa melalui jalan lain dan terlepaslah peluang untuk melihat keadaan dalamnya. Panjang laluan ini kira-kira 30 hingga 40 meter. Menurut pemandu bot, memang terdapat buaya di kawasan ini. Kita juga akan disinggahkan di Gua Kelawar yang terletak di tepi sungai. Penumpang terpaksa turun untuk melihat keunikan yang terdapat di dalam gua tersebut. Lampu suluh akan dibekal untuk setiap kumpulan kerana ada kawasan yang agak gelap. Laluan memang tidak disediakan lampu kerana terdapat  spesis kelawar yang mendiami gua ini.


Diantara aktiviti lain ialah memberi makan ikan di sangkar-sangkar yang banyak dibina di sepanjang sungai. Kami memilih untuk memberi makan ikan pari (stingray). Ikan pari ialah ikan yang tidak mempunyai gigi dan makan dengan cara menyedut, jadi tak perlu takut untuk digigitnya. Cara untuknya datang kepada kita ialah dengan mengocakkan air dengan berbekalkan umpan sotong atau ikan.


Di sinilah berakhirnya lawatan ke Kilim Geoforest Park Mangrove Tour berhampiran laut terbuka. Jika keadaan laut tidak berangin dan cuaca baik pemandu bot akan menggunakan laluan laut terbuka untuk kembali ke jeti, jika keadaan sebaliknya terpaksa berpatah balik melalui laluan yang sama.