Showing posts with label Hotel/Resort/Penginapan. Show all posts
Showing posts with label Hotel/Resort/Penginapan. Show all posts

Monday, February 28, 2011

Legend Water Chalet Port Dickson

Bergegas pulang awal pagi ke Shah Alam daripada rumah adik di Kulai, Johor kerana menghadiri satu majlis di sana pada sebelah malamnya. Ini disebabkan sudah berjanji dengan rakan sepejabat untuk ke Legend Water Chalet , Port Dickson.



Sampai di LWC pada jam 2.00 petang dan berjumpa dengan rakan En Zack yang menguruskan chalet persendirian di situ. Senang berurusan dengannya kerana orangnya yang agak sempoi. Tepat jam 2.30 petang  kami pun check in. Datang ke sini dengan rakan sepejabat dahulu, mungkin lain kali dengan keluarga pula. Lagipun datang ke sini nak mencuba-cuba memancing, kalau dengan keluarga risau pula mereka bosan. Survey dulu...



Kami menempah dua buah chalet di mana salah satunya menghadap laut sepenuhnya, sementara yang satu lagi berhadapan dengan barisan chalet yang lain di mana caj yang dikenakan adalah berlainan. Chalet ini terbahagi kepada dua kategori iaitu sama ada yang di atas air atau di blok bangunan utama di daratan. Tempat letak kenderaan bertingkat juga disediakan.



Kelebihan chalet yang menghadap laut sepenuhnya ialah dapat menikmati pandangan cantik waktu matahari hampir terbenam. Kalau nak memancing pun boleh baling umpan jauh-jauh. Tetapi misi untuk memancing ikan di sini nampaknya gagal. Seekor ikan pun tak dapat. Tak tahulah sama ada kami menggunakan umpan yang sesuai dengan ikan yang hendak dipancing atau tidak. Ikan memang banyak di sini tapi kami tak tahu apa spesisnya. Ikan jenis ini suka makan dipermukaan air dan ekornya berwarna kuning. Ada yang besar dan dianggarkan mencapai setengah kilogram.


Selain memancing kita juga boleh memerangkap ketam dari balkoni chalet ini. Kami menyewa tiga perangkap ketam dengan kos RM50. Dapat juga memerangkap beberapa ekor ketam untuk mengubat kekecewaan memancing ikan. Ketam biasanya masuk perangkap pada masa air surut atau baru nak pasang. Jika air dalam, kemungkinan untuk mendapat ketam adalah kurang. Umpan yang sesuai sekali adalah udang berbanding sotong. Umpan sebaiknya dibungkus dengan plastik yang dilubangkan supaya tidak mudah gugur bagi mengelakkan kerap mengganti umpan. Terdapat juga ketam batu yang masuk perangkap tetapi dapat dibezakan dengan fizikal kulitnya yang agak keras dan susah nak mati bila di daratan. Jika ke sini lebih baik bawa sendiri perangkap ketam kerana ianya boleh digunakan berulang kali dan harganya lebih kurang RM10 sahaja seunit yang boleh dibeli di kedai peralatan memancing.



Tempat ini sesuai dijadikan tempat percutian keluarga, cuma bawalah bekalan makanan secukupnya kerana jika kita duduk di kawasan menghadap laut ianya agak jauh dari daratan.

Monday, January 17, 2011

Dari New York ke Paris

Biasanya apabila menghantar anak pulang ke UTM, tempat penginapan kami ialah di bandar Johor Bahru. Hotel yang paling kerap dikunjungi ialah Hotel New York. Bukan tiada rumah saudara mara di sekitar JB, tapi kami tak mahu menyusahkan mereka.

Harga yang sederhana, tempat meletak kenderaan yang luas dan berhampiran dengan banyak tempat makan antara faktor yang menyebabkan kami  memilih hotel tersebut. Hotel ini juga terletak di jalan yang tidak sebuk. Tetapi kedudukannya agak jauh dari Skudai. Jadi, kami  cuba mencari alternatif lain yang lebih berdekatan dengan UTM iaitu di kawasan Skudai atau Tampoi. Kami cuba meronda di sekitar Taman Bukit Indah kerana di situ khabarnya ada banyak tempat shopping. Kebetulan pula di situ ada sebuah hotel yang agak bagus.

Jadi untuk mengubah angin kami sekeluarga telah memilih untuk menginap di Hotel Pariss yang terletak di situ. Hotel ini dikelilingi oleh kawasan perumahan dan pusat membeli-belah seperti Kompleks AEON Jusco, Giant dan Tesco yang terletak berdekatan di antara satu sama lain. Boleh dikatakan kawasan yang agak meriah. Tempat untuk menjamu selera juga banyak terutama di medan selera yang terdapat dalam kompleks beli-belah tersebut.

Jadi jika anda ke Johor Bahru singgah-singgahlah di sini kerana semuanya ada. Cara ke sini dari utara ialah dengan mengambil susur persimpangan Taman Perling. Lepas membayar tol, kira-kira setengah kilometer, ambil susur keluar di sebelah kiri. Hotel Pariss terletak di sebelah pasar raya besar Giant.

Foto Pasar Raya Besar TESCO Bukit Indah dari tingkat sembilan Pariss Hotel