Perjalanan ke Chiang Rai dan seterusnya ke Golden Triangle mengambil masa lebih kurang empat jam. Ini telah diberitahu lebih awal oleh En Ahmad supaya kami memikirkan sama ada hendak pergi atau tidak. Kami ambil keputusan untuk pergi juga. Kami keluar agak awal pagi untuk mengejar masa. Nasib baik sarapan yang disediakan oleh pihak hotel bermula pada jam 6.30 pagi. Di sini jam 6.30 pagi keadaan sekeliling sudah pun terang.
Apa yang bagusnya di Chiang Mai ini ialah tiada traffic jam dan motorsikal pun tak sebanyak seperti di HCM City. Perjalanan kami agak lancar dan destinasi pertama persinggahan kami ialah di Hot Spring Chiang Rai yang terletak di tepi jalan utama. Sebenarnya banyak kolam air panas yang terdapat wilayah Chiang Rai, tetapi tempat ini yang paling mudah untuk dilawati.
Belum ramai pelawat yang sampai ke sini pada hari tersebut. Kebanyakan pelancong yang pergi ke Chiang Rai dan Golden Traingle akan bermalam di sana jadi tak perlulah terkejar-kejar seperti kami. Kolam air panas di sini memang cukup panas. Kita boleh merebus telur burung puyuh dalam tiga minit dan telur ayam pula lima minit sahaja. Kami mencuba untuk merebus telur puyuh dengan harga THB20 untuk sepuluh biji. Kami berada di sini lebih kurang setengah jam.
Perjalanan diteruskan dalam cuaca yang amat baik. Kami singgah di satu komplek wat Siam yang dipanggil White Temple atau wat Rong Khun. Kalau melihat bentuk bangunannya dan warna yang digunakannya, ia adalah lebih kepada untuk tarikan pelancong semata-mata, kerana ianya baru dibina pada tahun 1997. Bangunan berwarna keemasan di tengah-tengah komplek tersebut ialah tandas awam. Wat ini terletak kira-kira sepuluh minit perjalanan ke bandar Chiang Rai. Kami tak lama di sini kerana pada waktu itu jam sudah menunjukkan jam 12.00 tengahari, sedangkan perjalanan masih jauh lagi. Rasa macam tak berbaloi ke sini. Sepatutnya kami pilih untuk ke perkampungan masyarakat orang asli berleher panjang ataupun Karen long neck hilltribes village. Untuk ke sini masa lebih panjang diperlukan tapi memikirkan yang destinasi kami ialah Golden Triangle, kami skip tempat tersebut.
Perjalanan diteruskan dan saya meminta En Ahmad berhenti di restoran makanan Islam untuk makan tengah hari. Restoran ini terletak di pinggir bandar Chiang Rai. En Ahmad yang membuat pesanan makanan untuk kami kerana susahnya semasa saya cuba berkomunikasi dengan mereka. Pilihan lauk tidak banyak dan kami telah memilih untuk makan berlaukkan sup ekor, sup sayur dan ayam paprik. Tomyam tidak popular di Utara Thailand.
Selesai makan kami meneruskan perjalanan ke Golden Triangle yang mengambil masa sejam setengah. Golden Triangle adalah merupakan satu kawasan sempadan tiga buah negara iaitu Thailand, Myanmar dan Laos yang dipisahkan oleh sungai. Suatu ketika dulu di sini adalah merupakan satu pusat pengedaran dadah dari bunga poppy yang utama.
Arus sungai pada hari tersebut memang agak deras dengan lebarnya lebih dari seratus meter. Bot kosong yang bergerak menentang arus pun nampak macam semput, apa lagi kalau berpenumpang. Kami buat keputusan tak mahu ambil risiko walaupun bayarannya cuma THB1000 sekeluarga untuk tempoh hampir dua jam perjalanan dan berhenti sebentar di Laos. Lagipun dalam masa kami di situ tak ada pun pelancong yang mencubanya. Sebenarnya tak banyak bezanya pekan-pekan di sempadan yang biasanya wujud untuk menarik pelancong sebab saya dah tengok keadaannya di blog mereka yang pernah ke sana.
Diantara ketiga-tiga negara, Thailand dianggap lebih maju dan kaya berbanding Myanmar dan Laos. Untuk menarik pelancong dari Thailand, pemerintah Myanmar dan Laos telah membina kasino berhampiran sungai di sempadan negara masing-masing. Tapi yang datang ke kasino di sini, bukan saja rakyat Thailand. Menurut En Ahmad dia pernah terpaksa bermalam di tebing selama dua hari kerana menunggu pelanggannya dari Malaysia berjudi di sana.
Foto diatas ialah kasino di Laos dan di bawah pula ialah di Myanmar
Destinasi terakhir kami di sini ialah melawat muzium dadah yang di panggi Hall of Opium. Bayaran masuk THB200 seorang untuk warga asing. Penggunaan kamera adalah dilarang sama sekali di dalam kawasan muzium. Sebelum sampai ke bangunan pameran kita terpaksa melalui satu terowong yang agak panjang dengan cahaya suram.
Kami beredar keluar dari kawasan Golden Triangle pada jam 3.30 petang menuju ke bandar Chiang Rai untuk mencari masjid.
Bersambung...








