Tuesday, January 22, 2013

Ke Kuala Langat

Kalau disebut Kuala Langat orang mungkin kurang tahu di mana lokasinya. Tapi bila bila disebut Banting cepat saja orang tahu kerana ada beberapa lokasi yang menyebabkan daerah ini dikenali. Hujung minggu lalu saya bersama cik wife dan anak telah meronda daerah ini melalui lebuhraya baru iaitu Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE). Bagi mereka yang tinggal di bahagian selatan Lembah Klang, lebuhraya ini dapat memendekkan perjalanan untuk ke daerah Kuala Langat kerana tidak perlu menempuh kesesakan bandar Klang dan pekan Teluk Panglima Garang.

Kami mengambil jalan masuk ke SKVE masuk melalui plaza tol Bandar Saujana Putra. Tol dari sini ke persimpangan Jalan Banting cuma RM2.20 sahaja.

Tempat pertama yang kami tuju ialah Bukit Jugra. Banyak institusi pendidikan di sepanjang jalan menuju ke sana, antaranya Kolej Matrikulasi, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Belia Negara dan Kolej Komuniti. Walaupun jalan menuju ke puncak bukit agak sempit dan berliku tajam tapi tak sampai sepuluh minit dah boleh sampai di atas.

Macam mana agaknya sungai ini mendapat namanya

Di puncak bukit ini selain terdapat rumah api juga dijadikan salah satu tempat untuk melihat anak bulan Ramadan  bagi menentukan permulaan puasa.


Kawasan Bukit Jugra ini agak popular bagi penggemar sukan paragliding.

Pemandangan dari puncak Bukit Jugra

Sekejap saja kami di sini kerana tak ada apa-apa yang menarik untuk berlama-lama di sini. Cuaca pun agak berjerebu. Lokasi seterusnya ialah Pantai Morib yang agak tersohor walaupun pantainya tidaklah begitu cantik. 

Walaupun pantainya tidak begitu cantik tapi banyak kemudahan yang disediakan di sini untuk kemudahan pengunjung.


Pantai untuk tempat berehat, kalau untuk mandi kena fikir sendiri.

Sempat pekena tahu bakar di sini. Tapi kurang ummph kerana kuahnya agak kurang sesuai.

Kalau bercuti di sini, tak perlu ke pantai lagi kerana ada taman tema airnya sendiri.

Rumah peninggalan Haji Sidek yang melahirkan ramai jaguh badminton bertaraf dunia di Kampung Kancung Darat di pinggir bandar Banting.

Sunday, December 16, 2012

Taman Rekreasi Gunung Lambak

Awal bulan lalu kami sekeluarga ke Kluang, Johor kerana ada undangan. Bertolak agak lewat petang dari rumah dan sampai di sana lebih kurang jam sembilan malam. Terus mencari hotel di dalam kawasan bandar, tapi rasa macam tak sesuai. Akhirnya kami memilih untuk menginap di Hotel Mega yang terletak di pinggir bandar dengan kemudahan tempat letak kereta percuma dan dekat dengan medan selera.

Esoknya sementara menunggu majlis pada tengah hari, kami sekeluarga pergi meronda sekitar Taman Rekreasi Gunung Lambak, berhampiran bandar Kluang. Jalan masuk ke tempat ini ialah melalui jalan utama Kluang ke Kota Tinggi. Antara kemudahan yang disediakan di sini ialah chalet, jambatan gantung, mini water park, trek jogging dan restoran. Sayang sekali kerana kami tidak memakai pakaian yang sesuai. Kalau tak mungkin boleh sampai atas puncak gunung tu. Ketinggiannya pun cuma 1400m dan laluannya agak mudah.








Monday, November 26, 2012

Hanoi - Sedikit catatan

Menonton puppet teater show ialah aktiviti terakhir kami di Hanoi. Sebelah petang membawa ke malam kami meronda sekitar kedai cenderamata mencari apa-apa buah tangan yang boleh dibawa pulang. Penerbangan pulang esoknya agak awal jadi kami perlu bersiap mengemaskan barang pada malamnya. Teksi kami tempah dari hotel dengan harga USD15. Macam murah kan. Kami check out hotel pada jam 6.30 pagi. Macam biasalah, komunikasi memang jadi masalah. Jadi sepanjang perjalanan sepatah perkataan pun tak keluar dari mulut pemandu. Tapi sebaik saja sampai di airport, pemandu menunjukkan sekeping kertas yang siap dilaminasikan kepada kami menyatakan yang penumpang perlu menampung harga tol bagi perjalanan pergi balik. Nasib baik kami masih ada baki wang Dong. Bayaran tolnya VND70K sehala. Jadi kalau ke sana jangan lupa simpan baki duit untuk perkara yang tidak dijangkakan.
 
Plaza tol sebelum lapangan terbang Noi Bai.

Ok sebelum catatan ke Hanoi ini selesai, dicatatkan serba sedikit beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan panduan bagi mereka yang bercadang ke sana.

Penginapan

Kalau nak senang berjalan-jalan cari saja hotel penginapan yang berhampiran dengan Tasik Hoan Kiem terutama di bahagian utaranya. Kawasan ini terletak di Old Quarter, Hanoi. Kebanyakan hotel yang tinggi sehingga lima tingkat tidak menyediakan lift. Jadi masa menempah kena beritahu untuk dapatkan bilik di tingkat yang lebih rendah. Bagi hotel yang besar mungkin tiada masalah. Pilih saja mana yang sesuai mengikut   kemampuan poket sendiri. Kami menginap di Madam Moon Guesthouse di Jalan Hang Hanh yang menyediakan sekali sarapan pagi. Sarapan di sediakan di bahagian tingkat atas di hotel induk bersebelahannya. Sarapannya juga agak berat dan mengenyangkan.

 Buah-buahan dan yoghurt disediakan untuk setiap meja. Cuma perlu buat pesanan untuk bahagian makanan dan minuman saja.

Membeli-belah

Untuk membeli-belah terutamanya yang suka ke pasar malam ianya hanya dibuka pada hari Jumaat hingga Ahad sahaja. Boleh juga ke pasar Dong Xuan pada hari-hari biasa.  Tapi keadaan nya tidak begitu selesa kerana terlalu sesak. Kedai-kedai cenderamata pula kebanyakkannya terletak berhampiran tasik Hoan Kiem kerana di situ merupakan tempat tumpuan pelancung. Jika membeli barangan cenderamata pastikan kita menawar harga barangan sehingga kurang lima puluh peratus. Jika bernasib baik memang boleh dapat.

Kedai cenderamata di kawasan Old Quarter

Kedai Shop & Go ialah kedai 24 jam seperti seven eleven di tempat kita tapi barangannya tidak begitu banyak. Di kedai ini kita boleh beli biskut yang diimport dari Malaysia dan Indonesia. Minuman juga lebih baik beli di kedai ini kerana harganya standard berbanding di gerai yang harganya lebih tinggi. Tapi kedai ini tidak banyak terdapat di sekitar Old Quarter. Secara kebetulan hotel yang kami duduki tidak jauh dari kedai ini, jadi mudah sikit untuk mengulang.


Makanan

Makanan halal memang agak susah untuk didapati di Hanoi. Satu-satunya Restoran yang boleh dipercayai seratus peratus halal ialah Restoran Nisa. Tapi kalau nak makan di situ sepanjang masa, pastikan dompet kita tebal sebab harganya memang agak tinggi. Jika pergi secara individu memang boleh layan, tapi kalau berkeluarga boleh kopak dibuatnya. Tentang makanan halal yang susah didapati, janganlah jadi alasan untuk tidak ke sana. Kalau fikir susah lebih baik duduk rumah saja. Sebenarnya kita juga boleh membawa bekalan sampingan sebagai persediaan. Sekarang ni dah ada bermacam jenis nasi segera dan lauk yang siap di pek.


Makanan yang dibeli di Restoran Nisa di samping lauk yang dibawa.

Berfoto

Jangan sesuka hati mengambil foto terutama aktiviti penduduk tempatan. Kalau nak ambil juga, ambillah secara curi-curi. Kalau kita berurusan dengan mereka atau membeli barangan mereka tiada masalah untuk berfoto. Juga jangan sampai terperangkap seperti aksi di bawah. Mula-mula penjual tu mendekati kami dan memberikan pengandarnya  untuk dipikul bagi tujuan berfoto. Lepas tu dia suruh kita beli buah yang dijualnya. Ada ke logik buah nanas yang seciput tu berharga hampir sepuluh ringgit sebiji. Kami tak belipun nanas tu sebab mahal sangat dan terus belah. Tapi penjual tu menunjukkan reaksi yang seakan marah.


Kenderaan Awam

Jika menggunakan kenderaan awan seperti teksi atau cyclo, pastikan kita menetapkan harga terlebih dulu. Dari pengalaman saya, penggunaan meter teksi tidak boleh diharapkan sangat. Juga mereka boleh menipu laluan untuk mendapat bayaran yang lebih tinggi.

Thursday, November 22, 2012

Hanoi - Water Puppet Show

Selepas bertekak dengan pemandu teksi dan sampai di hotel kami berehat sebentar. Malamnya kami bercadang untuk menonton water puppet show. Tapi tiket untuk malam itu kehabisan dan kami hanya dapat tiket untuk keesokan harinya.

Bangunan panggung water puppet theatre show yang terletak di tepi Tasik Hoan Kiem, tidak jauh dari hotel penginapan.
 
 
Terdapat lima atau enam show bagi setiap hari. Kebanyakan tiket untuk waktu malam habis dijual sebab sudah diborong oleh agen-agen pelancongan. Kami dapat tiket untuk jam 2.15 petang yang ditempah awal sehari. Harga tiket ialah VND100K seorang. Caj dikenakan VND20K untuk kamera kompak dan VND40K untuk DSLR.
 
Persembahan teater ini dijalankan di dalam kolam air separas pinggang. Sebatang rod digunakan untuk meletakkan patung-patung di atasnya dan digerakkan oleh petugas yang berlindung di sebalik tirai. Jadi patung nampak seakan bergerak di atas air. Persembahan teater ini diiringi oleh orkestra tradisi Vietnam sebagai muzik latarbelakang.
 
Penerangan diberikan sebelum pertunjukan dimulakan dalam bahasa Vietnam dengan terjemahannya disediakan di monitor di kiri dan kanan panggung.
 
Diakhir pertunjukan, semua yang menjayakan teater akan keluar dari belakang tabir.
 
Pertunjukan selesai dalam tempoh hampir sejam. Boleh dikatakan tiada penduduk tempatan yang menonton teater ini.

Monday, November 19, 2012

Hanoi - Temple of Literature

Dari Ba Dinh Square kami meneruskan perjalanan ke satu lagi kawasan tarikan di Hanoi ini. Tempat ini dikenali sebagai Temple of Literature yang terletak di Jalan Van Mieu kira-kira satu kilometer jaraknya dari sini. Kawasan dalaman temple ini dibahagikan kepada beberapa bahagian. Temple ini juga merupakan universiti yang pertama bagi Vietnam. Bayaran masuknya ialah VND40K.

Pintu masuk utama
 

Halaman pertama
 
Halaman kedua
 
Halaman ketiga
 
Halaman keempat
 
Halaman kelima
 

 Laluan keluar
 
Dari sini kami balik ke hotel dengan teksi. Dengan konfidennya kami terus naik sebuah teksi yang memang sedia menunggu di hadapan pintu keluar sebab teksi tu menggunakan meter. Apa yang mengejutkan, meter teksi tu bergerak sepanjang masa. Dalam hati berkata tak apalah sebab duit Dong ni nilainya memang kecil. Anak saya yang duduk di hadapan cakap, macam mana ni ayah, dah hampir sejuta Dong, sebaik kami menghampiri kawasan hotel. Saya terus minta pemandu teksi tu berhenti di situ juga. Apabila kami mempertikaikan tambangnya, dia mula meninggikan suara dengan bahasa yang kami tak faham. Akhirnya kami bayar saja dua ratus ribu Dong dan terus belah, dan terpaksa menapak lagi untuk sampai ke hotel. Kalau difikir balik, lebih balik kita tawar menawar dulu untuk menetapkan tambang sebelum setuju untuk ambil teksi di kota Hanoi ini.