Tuesday, March 22, 2011

Percutian ke Bukittinggi Pt 1

Hari Pertama - Pekanbaru ke Bukittinggi

Biasanya kalau hendak ke Bukittinggi orang akan memilih untuk mendarat di Padang, Sumatra Barat kerana ianya lebih hampir. Rombongan kami pula memilih untuk mendarat di Pekanbaru, iaitu di dalam wilayah Riau. Pergi bersama keluarga adik ipar, rombongan kami adalah seramai 9 orang. Berlepas dari LCCT pada jam 4.00 petang dan sampai di Lapangan Sultan Syarif Kasim II Pekanbaru pada jam 3.50 petang waktu Indonesia (perbezaan waktu adalah satu jam).

Melalui autogate imigresen LCCT KLIA dengan lancar.

Lapangan terbang ini sedang dalam proses pembesaran dan pengubahsuaian jadi keadaannya agak kurang teratur. Balai ketibaan antarabangsa yang ada sekarang terlalu sempit dan hanya boleh memproses satu ketibaan sahaja pada satu-satu masa. Itupun terpaksa bersesak-sesak. Melepasi kawasan imigresen ialah ruang kastam dan tempat pengambilan bagasi yang juga sangat kecil.


Sebaik keluar dari lapangan terbang, kenderaan yang ditempah sudah menunggu iaitu sebuah van  yang boleh menempatkan seramai 10 orang penumpang yang akan membawa kami terus ke Bukittinggi. Perjalanan dari lapangan terbang ke Bukittinggi mengambil masa lebih kurang 5 hingga 6 jam bergantung kepada keadaan cuaca. Perhubungan dari Padang ke Bukittinggi adalah melalui jalan yang melintasi kawasan pergunungan. Kemungkinan untuk membina lebuhraya adalah agak mustahil. Jalannya pula agak sempit dan berliku. Kebanyakan rumah-rumah di sepanjang jalan ini dibina begitu hampir dengan jalanraya kerana tidak terdapat kawasan landai yang lebar untuk membina rumah kecuali kawasan yang menghampiri pekan atau bandar.


Oleh kerana perjalanan yang agak jauh, rombongan kami berhenti rehat makan di satu kawasan yang dinamakan Kelok Indah iaitu satu kawasan selepas menempuhi banyak selekoh (di sini dipanggil kelok) di sempadan antara Wilayah Riau dan Wilayah Sumatra Barat. Kelok Indah masih terletak di Wilayah Riau.

Kerana kelaparan habis licin semua lauk-pauk yang dihidangkan. Makan bersama pemandu kami iaitu Pak Bobi yang di sebelah kiri.

Perjalanan diteruskan melalui jalan yang lebih mencabar iaitu melewati kawasan yang dinamakan kelok sembilan.  Di sini kenderaan terpaksa menuruni kawasan bukit hingga ke bawah dan kemudian naik semula ke bahagian yang satu lagi dengan selekoh-selekoh yang tajam. Itulah satu-satunya jalan yang ada untuk ke Bukittinggi melalui Pekanbaru.  Walaubagaimanapun satu laluan pintas kawasan ini sedang dalam pembinaan yang akan memudahkan perjalanan pada masa hadapan.



Foto diambil dalam perjalanan pulang dari Bukittinggi ke Pekanbaru kerana pada waktu pergi keadaan sudah gelap.

Rombongan kami selamat sampai di Bukittinggi pada jam sebelas malam dalam keadaan hujan. Hotel penginapan ialah Hotel Ambunsuri yang terletak tidak jauh dari Menara Jam Gadang. Satu rombongan dari Malaysia yang mengadakan persembahan kebudayaan Minang juga menginap di sini.


Suhu di sini tidaklah sesejuk seperti di Cameron Highlands dan hotel-hotel di sini masih terpaksa menggunakan penghawa dingin untuk menyejukkan bilik-biliknya. Jadi sesiapa yang bertujuan datang ke sini tak payahlah memenuhkan beg dengan baju-baju sejuk.