DAY 2
Hari ini keluar dari hotel awal sikit sebab nak pergi ke airport untuk mengambil kereta yang telah di tempah secara online. Harga yang ditawarkan adalah yang termurah berbanding beberapa syarikat lain. Untuk kereta Hyundai Matrix 1.6 auto harga yang dikenakan ialah RM115 untuk sehari.
Sampai di airport sebelum jam lapan dan pejabat Hertz masih belum dibuka lagi. Tak lama kemudian En Hafiezal sampai. Layanannya sungguh baik dengan beberapa penerangan diberikan. Jika kita bertujuan hendak pergi ke Brunei, pastikan kita beritahu lebih awal jadi pihak syarikat boleh menyediakan apa-apa yang patut. Antara keperluannya ialah salinan geran kereta yang mengandungi butir-butir yang perlu diisikan semasa di pusat pemeriksaan kastam Brunei. Begitu juga dengan borang untuk menyeberang sempadan, mintalah di sini supaya kita dapat mengisinya lebih awal.
Masa kita menerima kereta, tangki minyak sudah siap diisi penuh. Jadi pastikan semasa memulangkannya siap diisi penuh juga. Sedikit deposit dikenakan semasa kita mengambil kereta. Deposit akan ditolak sekiranya tangki tidak diisi penuh. Cajnya lebih tinggi berbanding kita mengisinya sendiri.
Destinasi pertama kami hari ini ialah Pantai Esplanade yang terletak di Luak Bay. Pantai ini terletak kira-kira 11 kilometer ke Selatan bandar Miri. Agak mudah mencari jalan masuknya kerana kedudukannya di penghujung jalan dua lorong sehala. Pada mulanya terlajak jugalah, sampai nampak sign board di bawah ini walaupun sungainya kecil je.
 |
Hari Sabtu dan masih pagi lagi, tak ada seorang manusia pun kat sini |
 |
Sesuai untuk aktiviti mandi-manda kerana pantainya agak landai |
Kami tak lama di sini kerana belum breakfast lagi dan bercadang untuk datang lagi pada sebelah petangnya untuk melihat sunset. Dalam perjalanan menuju ke bandar, sempat kami singgah di Miri Marina Park di mana letaknya Seahorse lighthouse. Cuaca hari ini sangatlah baik dengan langit yang membiru, tak seperti semasa kami sampai di Miri.
Kedudukan tempat ini agak tersorok dan jauh ke dalam. Rasanya macam tak ada sign board, jadi ikut rasa je bila nak masuk ke simpangnya kerana dah search kat google earth sebelum ke sini. Di sini pun lengang juga. Tempat-tempat macam ni biasanya orang datang pada waktu petang bukan awal pagi. Lainlah kami pelancong... kononnya.
Matahari dah mula meninggi dan keadaan agak panas. Kami keluar dari tempat ini dan terus ke bandar untuk mencari tempat sarapan yang sebenarnya sudah agak lewat. Seterusnya kami singgah di Miri Handicraft Center di Jalan Merbau untuk mencari sedikit souvenir. T shirt, FM, keychain semua ada kat sini selain barang-barang kraftangan.
Selesai membeli serba sedikit souvenir, kami bergerak ke sebuah taman yang agak besar terletak di tengah-tengah bandar Miri yang di panggil Miri City Fan Park. Taman ini berbentuk seakan-an kipas dan dari situ ia mendapat namanya.
 |
Miri City Fan Park dan Menara Unity di bulatan berhampiran. |
Sesi jalan-jalan sebelah pagi kami akhiri di Masjid Miri yang terletak berhampiran dengan taman ini untuk berehat sebentar dan menunaikan kewajipan. Malas nak balik ke hotel walaupun jaraknya tidaklah begitu jauh.
Jam tiga petang kami keluar semula ke satu lagi kawasan tarikan yang wajib dikunjungi jika Miri iaitu Canada Hill di mana terletaknya The Grand Old Lady. The Grand Old Lady ialah gelaran kepada telaga minyak yang terawal ditemui di Miri.
 |
Sebahagian bandaraya Miri yang dapat dilihat dari atas bukit ini. |
Di atas bukit ini juga terdapat sebuah Muzium Sains Petroleum yang menyediakan pelbagai bahan pameran yang berkaitan dengan industri minyak.
Dari sini kami menuju ke kawasan Seberkas untuk membeli sedikit makanan di pasar malam. Pasar malam di sini mula dibuka seawal jam lima petang dan dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja. Kalau nak beli kek lapis Sarawak yang terkenal tu, bolelah beli di sini kerana harga lebih murah berbanding membelinya di kedai khasnya. Cuma designnya tak begitu menarik, tapi rasanya sama saja. Ikan terubuk masin dan bakar juga banyak dijual di sini.
Destinasi terakhir pada hari ini ialah mengulang semula ke Pantai Esplanade untuk melihat matahari terbenam. Agak ramai orang bersantai di sini bersama keluarga.
Pada sebelah malamnya kami tak kemana-mana kerana sudah membeli banyak makanan di pasar malam Seberkas pada sebelah petangnya. Lagipun agak letih kerana seharian berjalan dan sebelumnya sempat juga meronda di kompleks beli-belah Bintang Mega Mall.