Friday, May 23, 2025

Terengganu : Besut dan Setiu

Trip yang tidak dirancang. Seorang anak yang tinggal bersama di rumah ada beritahu  yang dia akan menyertai Company trip ke Yunnan. Seminggu sebelum dia berlepas, anak yang tua pula beritahu yang dia nak ke Merang, Terengganu pada tarikh yang sama. Jadi kami mengendenglah nak join sama. Dia OK saja, cuma chalet yang di tempah dah penuh untuk tempoh tersebut. Nasib baik ada ada lagi chalet lain yang masih kosong. Tak ada masalah pun sebab tak jauh mana dari chalet dia. Yang penting dapat jalan-jalan.

Berlepas jam empat pagi dari rumah. Sampai di sana masih awal, jadi kitaorang terus menuju ke Besut untuk ke Masjid Lapan Kubah.

Masjid Lapan Kubah

Binaan yang sangat unik.

Masjid ini dibina dengan lapan lapan kubah mengambil nama sempena kampung ini iaitu Kampung Lapan Kotak. Ia juga digelar sebagai masjid Rusia kerana senibinanya seakan-akan satu bangunan yang terdapat di Moscow, Rusia. Lokasi masjid ini dikelilingi sawah padi.

Alamat Masjid ini. Senang nak cari.

Bahagian sisi kanan.

Pandangan hadapan.

Masjid ini jadi tumpuan pelawat dari luar kawasan. Ada sebuah bas rombongan masa tu.

Pentas untuk sudut bergambar disediakan.

Ada disediakan minuman percuma di hadapan pintu masuk untuk pelawat.

Bukit Keluang

Seterusnya kami ke Bukit Keluang yang terletak tidak jauh dari masjid ini. Masih lagi di daerah Besut. Bukitnya tak berapa tinggi, rasanya mampu untuk sampai ke atas jika ada masa. Yang bagusnya bukit ini menghadap ke laut. Nampak banyak juga kenderaan yang diparkir di bahagian bawah. Lagipun hari hujung minggu.

Oleh kerana tak berniat mendaki, kami seterusnya ke bahagian hujung jalan ini. Wah ada pantai yang cantik rupanya.

Kawasan permulaan untuk mendaki Bukit Keluang.

Inilah bukitnya. Tak besar dan tinggi mana pun.

Bahagian sisi bukit.

Ada terdapat gua-gua kecil di bahagian bawahnya. Ada kedengaran suara bunyi kelawar. Eh.. tapi kenapa namanya Bukit Keluang.

Pantai yang agak cantik. Bersih dan landai. Ini masa air surut.

Banyak pulau-pulau di perairan Terengganu. Cuma sebahagian saja yang ada kemudahan chalet dan hotel.

Bukit lain di seberang sana.

Balik dari meronda sempat singgah di Pantai Penarik. Di sini agak banyak restoran ICT. Sempat singgah salah satu daripadanya. Pantai Penarik terletak di Daerah Setiu.

Pulau Redang

Tujuan utama diaorang ke Terengganu ialah nak ke Pulau Redang. Pakej day trip boleh ditempah melalui chalet yang kita sewa. Tempat berlepasnya ialah dari Jeti Merang, Setiu. Harga pakej RM100 untuk dewasa dan RM75 untuk kanak-kanak empat tahun ke atas. Makanan tengah hari siap dibungkuskan. 

Antara tempat persinggahan ialah Marine Park, Teluk Dalam. Di sini terdapat banyak penyu yang jinak. Selain itu singgah juga di Pantai Maldives, sebuah beting pasir di laut yang sangat cantik dan beberapa tempat lain lagi.

Kaunter jualan tiket. Kalau tak tempah melalui chalet, boleh terus beli di kaunter.

Tempat letak kenderaan berbumbung. Cajnya RM15 ringgit sehari. Tempat letak kenderaan terbuka RM5 saja sehari.

Jeti perlepasan Azahari Boat Services. Ada banyak jeti persendirian di sepanjang sungai ini. 

Kedai jualan barang-barang keperluan ada di sini. Antara kasut pantai, topi, paket kalis air untuk hand phone dan lain-lain.

Antara bot yang digunakan. Kami dapat bot yang lebih besar yang boleh membawa lebih 20 orang penumpang.

Teluk Dalam, di dalam kawasan Marin Park.

Selesai di sini terus ke bahagian pantainya untuk makan tengah hari.

Banyak ikan di sini selain penyu.

Pantainya pun cantik.

Orang semua makan, dia pulak nak berendam. Layankan saja.

Pondok tempat makan. Banyak gerai menjual makanan di sini yang dijual oleh penduduk kampung yang terletak di sebalik bukit.

Pantai Maldives, sejalur beting pasir.

Tempat persinggahan terakhir. Kat sinilah baru dapat membasahkan badan. Tempat-tempat lain untuk snorkeling memang memerap je kat atas bot, Tak larat nak turun naik tangga. Faktor usia sangat.

Panas berdenting kat sini.

Tak dapat singgah semua tempat kerana sebelah petang air surut. Pemandu bot takut tak dapat masuk ke jeti kerana muara sungainya agak cetek, takut tersangkut di beting pasir. Sebenarnya ada banyak tempat lagi yang disinggahi tapi keadaannya. hampir serupa. Jam tiga petang dah sampai di jeti semula.

2 comments:

  1. Replies
    1. Kadang² kita kena buat sesuatu di luar kotak untuk menarik perhatian orang..

      Delete

En/Cik Anonymous... sila tinggalkan nama...