Friday, May 31, 2013

Annyeonghaseyo Korea Pt 2 - Aiins World dan Namdaemun Market

Hari ini destinasi kami ialah ke Aiins World yang terletak di Bucheon iaitu satu bandar  di antara Seoul dan Incheon. Stesyen terdekat untuk sampai ke sini ialah stesyen Songnae yang terletak di laluan 1. Jika mengambil laluan ini perlu berhati-hati kerana laluan ini berpecah dua di stesyen Guro. Pastikan kita mengambil laluan yang betul iaitu laluan yang berakhir di Incheon. Contoh di tempat kita macam di stesyen Chan Sow Lin. Jika dari KL kena tentukan sama ada nak ke Ampang atau Bukit Jalil.

Kawasan berhampiran tempat penginapan di Hyehwa.

Bertukar kereta api di stesyen Guro.

Perjalanan dari tempat penginapan mengambil masa lebih satu jam. Dari stesyen Songnae, cara yang senang untuk ke Aiins World ialah dengan teksi. Tambang lebih kurang 3K won saja. Ada juga perkhidmatan bas ke sana, tapi bergerak mengikut masa.

Aiins World - miniature park di mana terdapat replika terkenal berbentuk mini dari seluruh dunia.

JOHOR, luaskan kuasamu! Sempat lagi tu..

SELANGOR The Red Giant.


Aiins World Guide, untuk memudahkan kita mengenalpasti sesuatu lokasi.

Kawasan Aiins World ini di bahagikan kepada beberapa zon iaitu England, Peranchis, Eropah, Russia, Afrika, Asia Barat, Amerika Selatan, Amerika Utara, Oceania, Asia dan Korea. Tiket masuk ialah 10K won dan dibuka mulai jam 10 pagi. Temanya sama seperti di Window of the World di Shenzhen, China tapi dengan skala yang lebih kecil.



Petronas Twin Tower juga ada di sini.

 Antara tarikan lain yang ada di sini.

 Tak sampai dua jam kita boleh habis melawat seluruh kawasan ini.

Selepas berehat sebentar, kami meneruskan misi. Kali ini destinasinya ialah Namdaemun market yang terletak berhampiran stesyen subway Hoehyeon di laluan 4. Kat sinilah tempat paling sesuai sekali untuk mencari barangan cenderamata. Harga barangan di sini agak murah dan boleh ditawar.

Kawasan Namdaemun market yang sentiasa sesak lebih-lebih lagi pada hari Sabtu. Tempat ini ditutup pada hari Ahad.

Banyak pilihan T Shirt kat sini.

Mamat Korea dua orang ni pandai cakap Melayu. Tak taulah sama ada betul-betul faham atau cuma menghafal macam burung kakak tua. Tapi dengan kelentongnya terbeli juga gula tarik tu.

Sempat membeli kebab semasa berjalan keluar untuk ke stesyen subway. Kami memilih royal kebab iaitu campuran chicken kebab dengan cheese kebab. Cuma tambah 500 won saja.

Penjual kebab berasal dari Iraq.

Dari sini kami pulang dulu ke hostel sebelum meneruskan rondaan pada petangnya.  Hujan sudah mulai turun pada waktu ini dan keadaan persekitaran juga menjadi semakin sejuk. Ingatkan bulan Mei ni dah tak perlu sweater bagai, rupanya tersilap lebih-lebih lagi masa tu berangin pulak. Tapi misi sebelah petangnya tetap akan diteruskan.

Monday, May 27, 2013

Annyeonghaseyo Korea Pt I

Annyeonghaseyo (안녕하세요 한국)

Akhirnya giliran saya pula sampai ke bumi Korea. Ya lah, baru ada rezeki nak sampai ke sini. Cuaca yang tidak menentu di Seoul menyebabkan itinerari terpaksa diubah-ubah. Hujan berpanjangan kekadang boleh mencapai sehari suntuk. Walaupun hujannya tidak begitu lebat, tapi pergerakan jadi lambat dan terhad. Nasib baik hujan cuma dua hari saja sepanjang tempoh percutian kami di sana.

Berlepas dari LCCT pada jam 9.00 pagi dan sampai di Incheon pada jam 4.30 petang. Oleh kerana kami akan menempuh waktu makan tengah hari dalam kapal terbang, jadi tempahan sudah pun di buat secara online dan harganya memang berpatutan. Tapi yang mengejutkan harga makanan yang sama bagi perjalanan dari Incheon ke LCCT berharga hampir RM30 setiap set. Jadi kalau dilihat, memang tak ramai yang memesan makanan semasa penerbangan pulang.

Trip kali ini disertai oleh cik wife dan dua orang bodyguard.

Sampai di Incheon Airport mengikut waktunya. Lega dan bersemangat rasanya walaupun cuma disambut dengan skrin monitor di pintu memasuki ketibaan.

Kami memilih untuk mengambil Airport Railroad untuk ke tempat penginapan kerana tambangnya tidak sampai separuh berbanding tambang menaiki bas. Airport Railroad ini terletak di aras B1.

Sebelum itu kenalah beli T-Money Card  di kedai 7 Eleven untuk memudahkan perjalanan. Deposit untuk setiap kad ialah 2500 Won. Top up untuk setiap kad pula sebanyak 30K Won, tapi masih tak cukup.

Walaupun tidak menaiki bas macam Orga dan Zila yang baru saja balik dari sana, ternampak juga kincir angin gergasi ini di tepi lebuhraya.

Kereta api berhenti di setiap stesyen disepanjang perjalanan sejauh 54 km. Boleh juga ambil kereta api ekspres, tapi tambangnya adalah  tiga kali ganda.

Akhirnya sampai di stesyen keretapi Seoul. Dari sini kami mengambil laluan 4 untuk ke tempat penginapan berhampiran stesyen subway Hyehwa.

Tempat penginapan selama di Seoul, Korea Central Backpackers. Lokasinya cuma lebih kurang 300m dari stesyen Hyehwa.

Mengapa kami memilih tempat penginapan ini? Pertamanya kerana lokasinya yang berhampiran dengan stesyen subway. Keduanya kerana inilah bilik termurah yang kami dapat untuk menempatkan empat orang sebilik.

Kami sampai di tempat penginapan hampir jam tujuh malam dan suasana masih lagi cerah. Setelah berehat sebentar untuk makan bekalan yang dibawa dan menunaikan kewajipan, malam itu kami keluar ke Myeongdong iaitu satu kawasan membeli-belah yang mesti dikunjungi bagi mereka yang bercuti di Seoul.





Kawasan Myeongdong ini merupakan kawasan membeli-belah yang agak high class sedikit. Banyak barangan berjenama serta butik antarabangsa terdapat di sini. Kami hanya meronda-ronda saja di sini dan tidak menyinggah lagi ke sini untuk hari-hari seterusnya. Lagipun tidak banyak barangan cenderamata yang boleh didapati di sini.

Semasa berjalan-jalan tu ternampak satu gerai pasangan ahjumma dan ahjussi menjual makanan yang pernah keluar di blog fatt iaitu tteokbokki. Nampak macam sedap dan menyelerakan. Semangkok yang lebih kurang sepuluh hirisan berharga 3000 won.

Cedokan terakhir tteokbokki untuk kami.

Inilah rupa tteokbokki tu. Rasanya seakan kuetiau tapi agak kenyal dan pedas.

Akibat kepedasan terpaksalah pekena aiskrim pulak. Aiskrim vanila coklat ini agak keras dan tidak mudah cair sebab tu boleh tinggi jambulnya.


Dan tak lupa minuman susu pisang yang sudah jadi glamer dikalangan orang yang berkunjung ke sana.

Juga minuman buah stroberi kisar yang pekat serta original.

N Seoul Tower yang seakan melambai kami untuk ke sana dapat dilihat dari sini.
Kami berada  di sini  lebih  kurang  dua  jam  saja. Tak ada  apa  pun  yang dibeli kecuali cik wife yang sempat menyambar sedikit barangan personalnya di butik Nature Republic.
Keesokan  harinya  kami  bercadang  untuk ke salah satu taman tema yang ada di Seoul ini  tapi bukan Lotte World, Everland atau Seoul Land kerana taman tema tersebut banyak mengambil masa sedangkan tempoh percutian kami agak singkat.

Monday, May 6, 2013

Trip to Shanghai Pt 8 - Restoran Xinjiang, Masjid Taipingfang, Suzhou dan pulang

Masa di dalam teksi, kami ada menunjukkan gambar masjid berserta alamatnya dalam bahasa Mandarin kepada pemandu teksi. Dia kata  tahu tempat tu, tapi akhirnya kami diberhentikan di sebuah restoran makanan halal Xinjiang. Bila ditunjukkan semula gambar masjid tu dia kata tak tahu. Tak apa lah yang penting kami kena makan dulu.

Restoran makanan etnik Xinjiang di Suzhou. Ada juga gerai sate kambing di hadapannya.
Alamat : Xinjiang Pamer Muslim Restaurant, No 25, Shi Road, Suzhou

Antara makanan yang kami pesan. Sate kambing di sini agak besar saiznya.

Selesai makan kami menumpang bersolat di restoran ini yang terletak di tingkat atas. Sebenarnya bukan bilik khas untuk solat tetapi salah satu bilik makan  yang kebetulan masa itu tiada orang di dalamnya. Misi seterusnya ialan mencari masjid Taipingfang yang terletak tidak jauh dari sini mengikut kata tuanpunya restoran. 

Masjid Taipingfang, Suzhou

Kedudukan masjid ini agak tersorok di satu lorong. Nasib baik kami sudah menunaikan kewajipan, kerana masjid ini sedang dalam proses pengubahsuaian bahagian dalamnya dan tidak dibenarkan untuk masuk. Menurut info yang kami dapati, ada terdapat kafe di bahagian bawah masjid ini. Terdapat juga kedai menjual daging halal yang terletak di sebelah masjid dan dibuka seperti biasa. Di simpang berhampiran masjid ini kami terjumpa dengan kumpulan rombongan dari Johor Bahru yang baru sampai dari Beijing dengan bullet train dan meneruskan perjalanan ke Shanghai dengan bas.

Beca masih lagi digunakan di bandar Suzhou.


Tak lama kami di sini, dan seterusnya mencari teksi untuk balik ke stesyen. Di sini pun agak susah untuk mendapatkan teksi. Tetapi tiba-tiba ada pula sebuah kereta persendirian yang menawarkan untuk menghantar kami ke stesyen. Ini kira sudah cukup baik walaupun tambangnya agak lebih mahal.

Stesyen kereta api bandar Suzhou

Orang sentiasa ramai tak kira masa di semua stesyen kereta api di Shanghai, Hangzhou dan Suzhou.


Di stesyen ini tempat menjual tiket hanya terletak di luar kawasan berlepas tidak seperti stesyen Shanghai Hongqiao. Jadi kena pastikan kita beli tiket sebelum masuk. Tiket yang kami dapat ialah pada jam 4.30 petang, walaupun sebenarnya kami mahu tiket yang lebih awal. Tapi tiket yang kami dapat untuk trip kali ini hampir dua kali ganda harganya dari tiket semasa datang ke sini. Tapi kerana masalah komunikasi kami tak mampu bertanyakannya.


Kereta api sampai tepat pada masanya. Tapi koc kami ialah koc ke 16 iaitu di bahagian belakang sekali. Rasa macam hampir setengah km panjangnya. Setelah masuk baru kami sedar, patutlah harganya berganda. Rupanya koc yang kami dapat ialah koc eksekutif. Tapi rasa macam tak berbaloi kerana perjalanan tak sampai pun setengah jam.


Sampai di stesyen, kami tidak terus ke hotel untuk mengambil beg. Kebetulan di sini terdapat dua laluan subway yang menuju Shanghai. Salah satunya terus menghubungkan Yuyuan Garden tanpa perlu menukar subway.  Jadi kami fikir ada baiknya kami terus ke sana dan singgah di Masjid Fuyou untuk selesaikan kewajipan sebelum mengambil beg untuk ke airport. Lagipun hari sudah mulai gelap.

Flight delay hampir sejam.

Masuk waktu subuh, tapi tak tahu di mana lokasi ini.

Perairan Port Dickson.

Kami jangkakan akan sampai di LCCT sebelum waktu subuh tapi terlambat sikit disebabkan flight delay di Shanghai. Orang yang menunggu kami di airport pun sudah merungut.

Sekian coretan perjalanan kami ke Shanghai, Hangzhou dan Suzhou. Sehingga trip berikutnya pada pertengahan Mei nanti. Insya Allah...