Wednesday, February 13, 2013

JJCM

Cuti panjang TBC tahun  ini memang tak ada cadangan nak kemana-mana. Trip seterusnya pun agak lama lagi iaitu pada minggu terakhir bulan Mac nanti. Sebab banyak masa yang terluang jadi kami sekeluarga buat projek JJCM selama tiga malam berturut-turut.

Destinasi JJCM pertama kami ialah restoran makanan Barat iaitu Restoran Big Plate yang terletak di Subang Permai. Lokasinya : 27 Jalan Alfa F U6/F, Subang Permai, 40150 Shah Alam.

Sampai di sini pada jam 8.30 malam. Orang sudah agak ramai.

Antara makanan yang kami pesan... Cheezy Chicken, Grilled Chicken, Chicken Chop Subang, Chicken Salad berserta aiskrim, banana split dan minuman.

Nampak macam berselera tapi sebenarnya budak-budak ni tak berapa nak masuk bila bab sayuran.

Destinasi kedua kami ialah Restoran Saba yang terletak di Cyberjaya. Restoran ini menyediakan masakan dari Timur Tengah. Lokasinya : Blok A1, CBD Perdana, Cyberjaya.

Walaupun restoran ini tidak terletak di kawasan kediaman, tapi sentiasa ramai pengunjungnya.

Antara makanan yang dipesan ialah Baklava,  Mandi Chicken Rice, Hanith Chicken Rice dan Chicken Kebab Sandwich. Pertama kali makan baklava, sedap tapi agak manis.

Agak banyak sepinggan nasi yang disediakan dengan satu perempat ayam. Mungkin disesuaikan dengan saiz makanan orang Arab. Pastikan datang dengan perut kosong untuk menghabiskan semuanya. Bila dicampur dengan segelas minuman memang agak sendat perut jadinya.

Singgah sebentar di Putrajaya sebelum pulang. Sesak tempat ni, payah sungguh nak cari tempat parkir.

Destinasi ketiga kami ialah Restoran Mukmin iaitu restoran makanan China Muslim. Lokasinya ialah di No 20 Jalan Nelayan B 19/B, Seksyen 19, Shah Alam.

Restoran ini antara yang paling dekat dengan rumah.

Lauk yang kami pesan bersama nasi putih untuk lima orang ialah kailan ikan masin, ayam Ying Yong, ayam masam manis, sotong goreng tepung dan sup tofu cendawan.

Diantara ketiga-tiga restoran yang kami pergi, ahli keluarga memilih Restoran Mukmin sebagai pilihan utama mereka diikuti Restoran Saba dan Restoran Big Plate. Harganya sederhana, sedap dan servisnya agak cepat. Saya pula lebih suka Restoran Saba.