Friday, December 30, 2011

Johor Premium Outlets

Dalam perjalanan balik ke Shah Alam sempat singgah sebentar di pusat membeli-belah yang baru di buka iaitu Johor Premium Outlets. Terletak berhampiran lebuhraya Utara Selatan di susur keluar tol Senai. Jika melalui jalan lama dari Ayer Hitam ke Johor Bahru, boleh ambil susur ke Taman Indahpura selepas bandar Kulaijaya untuk sampai ke sini. Kedudukannya agak terpencil dan masih dikelilingi ladang kelapa sawit.


Johor Premium Outlets di Kulaijaya ini merupakan satu-satunya yang terdapat di Asia Tenggara. Ia merupakan franchise Premium Outlets dari USA. Malaysia adalah negara ketiga di Asia selepas Jepun dan Korea yang mempunyai outlet ini.

Sampai di sini pada jam sebelas pagi, tetapi kawasan parkir sudah hampir dipenuhi. Banyak juga kenderaan dari Singapura. Kebanyakannya tidaklah membeli-belah sangat, mungkin cuma teruja untuk melihat  konsep baru perniagaan dijalankan.


Pusat membeli-belah ini mengamalkan konsep terbuka dari tempat parkir sampai kepada kedai-kedainya. Ia mengambil konsep yang sama seperti di tempat asal ia bermula iaitu di USA.


Kawasan legar di tengah-tengah juga tidak berbumbung. Kawasan berbumbung hanya ada di laluan yang menghubungkan antara kedai-kedai. Bayangkanlah kalau cuaca panas atau hujan.


Terdapat lebih dari lapan puluh  kedai yang menjual barangan berjenama. Tapi masih ada beberapa kedai yang belum memulakan operasi. Sesetengah kedai menyediakan tanda harga dalam ringgit Malaysia dan dollar Singapura.


Ada beberapa kekurangan yang terdapat di sini. Antaranya ialah kurangnya mesin untuk membayar caj parkir. Akibatnya terpaksa berbaris hingga keluar bangunan. Pelik sungguh, hanya terdapat satu mesin saja di lobi utama. Ramai orang yang naik angin apabila pada suatu ketika mesin penerima caj bayaran pula rosak. Nasib baiklah setiap orang di caj dengan kadar rata RM3 saja, dan tidak mengikut tempoh seperti biasanya.

Tandas yang disediakan juga tidak mencukupi. Setiap tandas lelaki dan wanita hanya mempunyai satu unit tandas berpintu saja.

Hanya sempat membeli satu item saja kerana tidak berkeperluan sangat.


Bagi sesetengah outlet yang popular ada yang sanggup berbaris menunggu giliran untuk masuk sebab ada kedai yang mengehadkan bilangan pelanggan pada satu-satu masa untuk mengelakkan kesesakan.


Kami tak lama di sini kerana keadaan yang kurang selesa. Lagipun kami cuba nak mengelakkan kesesakan di lebuhraya kerana ramai yang mula pulang ke Lembah Klang setelah habis bercuti. Seperti dijangkakan kesesakan sudah bermula di kawasan Senawang. Nasib baik kami boleh keluar di persimpangan ke KLIA untuk ke Shah Alam dan sampai ke rumah sebelum malam.  

Wednesday, December 28, 2011

Hutan Bandar Johor Bahru

Sempena cuti Hari Krismas yang agak panjang, saya sekeluarga mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Johor Bahru sambil memenuhi undangan yang diterima. Selesai majlis kami check in di hotel dan pada sebelah petangnya singgah sebentar di Bangunan Sultan Ibrahim yang terletak megah di atas Bukit Timbalan, Johor Bahru. Bangunan ini pada asalnya menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor. Kini pusat pentadbirannya telah berpindah ke Nusajaya.


Pada sebelah malamnya kami singgah di Hutan Bandar. Di sini saya bukan hendak  menceritakan tentang Hutan Bandar tapi lebih kepada tempat untuk makan-makan. Kawasan Hutan Bandar ini terletak di Jalan Tasek Utara, kira-kira 1.5 km dari bandaraya Johor Bahru.


Di sini terdapat sebuah medan selera khususnya western food yang agak murah. Kalau kurang percaya sila lihat senarai harga di bawah.


Sangat murah kan! Saya pun kurang tahu tempat ini. Ianya dicadangkan oleh kenalan saya yang tinggal di sini.  Medan seleranya hanya beroperasi pada waktu malam. Servisnya pun agak cepat walaupun terdapat ramai pelanggan. Janggel , Onggon dan Azmnor yang selalu jalan-jalan ke JB dan Singapore, bolehlah singgah di sini untuk mencuba.

Kalau hujung minggu, orang agak ramai dan biasanya datang hampir serentak jadi masa menunggu mungkin agak lama sedikit. Tapi bagi kita yang datang dari jauh tentu tiada masalah untuk datang lebih awal.

Siap dengan coleslaw, salad, fries dan kepingan ayam untuk harga RM5 sahaja. Untuk chicken chop yang di grill pula harganya cuma RM6.50 (seperempat bahagian ayam)

Ada juga disediakan otak-otak sebagai makanan sampingan sementara menunggu pesanan sampai. Sate juga boleh didapati di sini.

Tuesday, December 13, 2011

Colmar Tropicale

Kedudukan pusat peranginan ini agak dekat dengan ibukota. Tetapi ini lah kali pertama saya sekeluarga menjejakkan kaki ke sini. Tempat tu bukan jauh sangat bila-bila masa pun boleh pergi, itulah alasan yang selalu diberi.

Pusat peranginan ini terletak di Berjaya Hills, Bukit Tinggi, Pahang. Tarikan utama di sini ialah Colmar Tropicale, iaitu sebuah resorts yang bertemakan bandar Colmar di Perancis yang terletak bersempadan dengan negara Jerman. Tarikan lain di sini ialah Japanese Village yang terletak 3500 kaki dari aras laut.


Kebetulan pada hari itu semua anak-anak ada di rumah. Ada yang baru habis periksa dan ada juga yang balik dari hostel. Cuaca agak kurang baik, tetapi kami tetap pergi juga. Perjalanan agak lancar dan kami sampai di sana sejam setengah kemudiannya. Waktu itu masih belum ramai orang yang sampai.  Tiket masuk ke kawasan ini ialah RM12 bagi setiap pengunjung dewasa.

Pemandangan resorts dari aras tiga tempat meletak kenderaan

Cuaca pagi itu agak mendung dan hujan renyai-renyai

French bakery, kolam ikan koi serta badut jalanan antara tarikan di sini.

Pemandangan di dalam kawasan resorts.


Setelah selesai ronda-ronda di Colmar Tropicale, kami bergerak untuk ke Japanese Village yang terletak tidak jauh dari sini. Bagi mereka yang tidak mahu membawa kenderaan sendiri, boleh mendapatkan perkhidmatan pengangkutan yang bergerak mengikut jadual. Perjalanan untuk ke Japanese Village agak lebih curam berbanding jalan naik sebelumnya. Kawasan meletak kenderaan juga agak terhad. Dari sini kita perlu berjalan kira-kira setengah kilometer lagi untuk sampai di Japanese Village.


Kawasan Japanese Village ini agak luas dan kita perlu berjalan di kawasan berbukit melalui trek batu yang disusun untuk sampai kesatu-satu destinasi. Kebanyakan tarikan yang ada di sini sudah kelihatan agak usang.

Dalam kawasan Japanese Village

Antara tumbuhan yang terdapat di sekitar kawasan ini.

Di hujung jalan ini terdapat satu kawasan untuk melihat burung-burung penghijrah, apabila musim sejuk melanda utara hemisfera. Menurut seorang peminat yang sedang memerhati dan mengambil foto di situ, burung yang datang ada yang sejauh dari Siberia.

Uncle ini memang peminat fanatik burung penghijrah. Kelengkapan kameranya bernilai lebih tiga puluh ribu ringgit. Berdesup-desup macam orang menembak bila dia mengambil gambar.

Tak lama masa yang diambil untuk melawat semua kawasan di sini. Tambahan pula hujan semakin lebat. Kami ambil keputusan untuk keluar dari situ dan singgah sebentar di kawasan taman haiwan dan seterusnya keluar dari kawasan Berjaya Hill.


Jam sudah menunjukkan hampir dua petang dan perut pula minta diisi. Kami singgah makan tengahari di kawasan rehat dan rawat Genting Sempah sebelum meneruskan perjalanan pulang.

Thursday, December 1, 2011

Shenzhen, Hong Kong dan Macau Pt 8

Dongmen Market

Kami keluar dari WOW pada jam lima petang untuk balik ke hotel. Kali ini kami ambil metro Shenzhen untuk ke stesyen paling hampir dengan hotel iaitu di Lao Jie. Jika di Hong Kong menggunakan sistem kad elektronik untuk sistem metronya, di sini menggunakan cip plastik. Agak susah untuk mendapatkan teksi di di luar stesyen ini kerana bersaing dengan penduduk tempatan yang baru balik kerja.

Berhampiran stesyen ini jugalah terletak kawasan membeli-belah Dongmen Street. Kami tak singgah dan perlu balik ke hotel dulu untuk menunaikan kewajipan dan keluar semula pada sebelah malam. 


Setelah selesai urusan, kami makan di restoran China di tingkat bawah hotel. Kali ini kami mencuba untuk makan mee sup. Apa yang istimewa, mee tersebut akan diuli dan dibuat jika ada pesanan. Tak perlukan mesin, cukup dengan menarik-nariknya berulang kali dan hasilnya mee yang cukup sempurna.

Kami keluar semula malam itu untuk ke sebuah pusat membeli-belah yang terletak di stesyen Luo Hu. Pusat beli-belah ini konsepnya seakan kompleks Mangga Dua di Jakarta. Peniaga di sini suka mendesak dan suasananya juga kurang selesa. Kami ambil keputusan keluar dan menuju ke Dongmen Street dengan metro.


Untuk keluar ke Dongmen Street dari stesyen sila ikut pintu E. Stesyen bawah tanah di sini mempunyai banyak laluan keluarnya jadi perlu berhati-hati supaya tidak tersalah pintu. Barang-barang yang dijual di sini, terutama pakaian jauh lebih murah jika dibandingkan dengan di Hong Kong. Kami terserempak dengan rombongan Kak Bedah dari Indonesia di sini. Borong sakan mereka nampaknya.

Berlepas pulang

Malam itu kami pulang agak lewat. Nasib dah makan sebelum keluar. Flight pulang keesokan harinya ialah pada jam 11.15 pagi dan tak bercadang kemana-mana lagi. Jadi dapatlah sambung tidur selepas kewajipan dibereskan.

Waktu ke airport kami memilih untuk naik bas seperti waktu datang kerana bas berhenti betul-betul di hadapan tempat berlepas. Jika naik metro terpaksa menapak sikit. Airport Shenzhen ni agak besar dan panjang di mana kawasan berlepas dan ketibaan domestiknya adalah lebih besar berbanding kawasan antarabangsanya.


Pemeriksaan keselamatan di sini agak ketat. Sebelum masuk ke kawasan kaunter check in pun sudah diperiksa. Terdapat dua penerbangan harian dari Shenzhen ke Kuala Lumpur dan satu ke Kota Kinabalu. Di airport ini, bagi penerbangan tambang murah juga tidak disediakan aerobridge seperti di LCCT. Tapi tak perlu menapak sebab ada perkhidmatan bas yang besar gedabak disediakan. Cuaca agak baik pada hari itu dan kami sampai di LCCT empat jam kemudiannya.

Sekian....