Thursday, April 7, 2011

Pekanbaru Riau

Selamat sampai  di Pekanbaru pada jam dua petang setelah menempuh perjalanan selama lebih kurang lima jam dari Bukittinggi. Terus ke lapangan terbang untuk menghantar salah seorang dari ahli rombongan kami yang akan balik sehari lebih awal kerana urusan kerja.

Kedudukan bandar Padang, Sumatra Barat dan Pekanbaru, Riau

Kami tidak menempah hotel  secara online sebaliknya cari apabila sampai di sana. Kami menyewa di sebuah hotel berhampiran kawasan membeli-belah Jalan Jendral Sudirman tidak jauh dari Mal Pekanbaru, Plaza Senapelan dan Gedung Ramayana.



Tidak sempat untuk keluar bersiar-siar pada sebelah petangnya kerana hujan lebat.  Hanya dapat ke Mal Pekanbaru untuk mengisi perut yang berkeroncong. Kami memesan bakso dan es teler sahaja kerana hari sudah agak lewat. Lagipun pada malamnya kami akan keluar makan. Mungkin ada yang belum pernah merasa minuman es teler ini. Ianya seakan-akan air batu campur di tempat kita. Airbatunya tidak diparut sebaliknya menggunakan air batu halus. Bahan-bahannya pula ialah buah nangka, avokado (di sini disebut buah alpukat) dan isi kelapa muda yang di campur dengan susu dan air kelapa. Boleh tahan sedapnya. Harga bagi semangkuk bakso ialah RP16,300 dan es teler pula RP12,700.

Bakso dan Es Teler

Kami berpeluang bersiar-siar pada keesokan harinya kerana penerbangan pulang agak lewat iaitu pada jam 4.15 petang waktu Indonesia Bahagian Barat. Pekanbaru adalah merupakan ibukota  yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran bagi Provinsi Riau. Pekanbaru juga merupakan bandar yang ketiga besarnya di Sumatra selepas Medan dan Palembang. Pak Bobi sudah pulang ke Bukittinggi pada hari yang sama. Jadi kami menggunakan teksi untuk bergerak ke sesuatu lokasi.

Di antara lokasi yang sempat kami singgahi ialah Masjid Agung An Nur iaitu masjid yang terbesar di Riau. Masjid in terletak di Jalan Hang Tuah. Terletak bertentangan dengan Masjid ini pula ialah bangunan Fakulti Perubatan Universitas Riau.




Tempat yang sesuai untuk membeli cenderamata dan buah tangan untuk di bawa pulang ialah di Pasar Bawah yang terletak di Utara Kota Pekanbaru berhampiran pelabuhan Sungai Siak. Pasar ini tidak menjual barang-barang basah. Di bahagian bawah adalah kedai jualan untuk ikan yang dikeringkan sama ada ikan masin atau ikan salai. Sementara di bahagian lain di atasnya pula adalah kedai untuk kain-kain, perkakas dapur, beg, kasut, cenderamata dan lain-lain.


Jika di Provinsi Sumatra Barat, senibina Minangkabau yang seakan tanduk kerbau mendominasi bangunannya di Pekanbaru pula mempunyai ciri-ciri khas senibina budaya Melayu Riau terutama di bahagian bumbungnya yang banyak diterapkan pada kebanyakan bangunan.

Pasar Bawah

Dewan Perwakilan Rakyat Provinsi Riau

Bangunan pejabat

Fakulti Perubatan Universiti Riau

Bangunan Konsulat Malaysia di Pekanbaru

Kenderaan pengangkutan beroda tiga masih lagi digunakan di Pekanbaru selain daripada angkot vang memang menjadi kenderaan pengangkutan wajib yang ada di semua bandar besar di Indonesia. Di sini juga terdapat perkhidmatan Busway seperti yang terdapat di Jakarta, cuma ianya tiada lorong khusus. Bas ini mempunyai pintu yang besar dan tinggi dari paras jalan. Untuk menaikinya platform khas terpaksa digunakan.


Kami check out daripada hotel pada jam 12.00 tengah hari. Sebelum ke lapangan terbang perut perlu diisi dahulu. Kebetulan di sebelah hotel yang kami duduki terdapat sebuah restoran yang sesuai dengan citarasa kami.  Hampir jam dua petang kami bertolak ke lapangan terbang. Jarak tidak begitu jauh dan caj teksi yang dikenakan cuma RP35,000 sahaja.

Friday, April 1, 2011

Percutian ke Bukittinggi Pt 4

Sekitar Bukittinggi

Dari Padang kami  sampai di Bukittinggi pada jam lima petang. Kesempatan ini digunakan untuk bersiar-siar di sekitar Menara jam Gadang dan membeli sedikit barangan cenderahati untuk sendiri dan kawan-kawan. Kawasan membeli-belah di kawasan ini dipanggil Pasar Atas.

Di hadapan hotel penginapan

Kenderaan seperti di atas masih digunakan sebagai salah satu tarikan pelancong.


Objek yang paling terkenal di Bukittinggi ialah Menara Jam Gadang. Menara ini dibina pada tahun 1926 dan tingginya ialah 26 meter. Jam Gadang yang terletak dipuncaknya, bergerak secara mekanikal dan terdiri dari empat buah jam (empat muka jam) yang menghadap ke empat arah penjuru mata angin dengan setiap muka jam berdiameter 80 cm. Menara jam ini telah mengalami beberapa kali perubahan bentuk pada bahagian puncaknya. Pada awalnya puncak menara jam ini berbentuk bulat dan di atasnya berdiri patung ayam jantan. Semasa menjajah Indonesia, pemerintah Jepun telah mengubah bahagian puncak menara menjadi berbentuk seperti tokong. Selepas kemerdekaan, bentuknya diubah lagi menjadi seperti rumah adat Minangkabau seperti yang ada sekarang.



Keesokan harinya, masa yang ada pada sebelah pagi sebelum bertolak ke Pekanbaru kami gunakan untuk melawat satu kawasan seperti Grand Canyon di USA iaitu Ngarai Sianok. Ia terletak tidak jauh dari pusat bandar Bukittinggi. Satu kawasan yang dinamakan Taman Panorama dibina khas untuk menikmati pemandangan ngarai ini dari atas. Sedikit bayaran dikenakan untuk masuk ke kawasan ini. Ngarai merupakan satu lembah yang mempunyai tebing berkecuraman hampir 90 darjah. Kelihatan seperti tembok menegak yang ketinggiannya hampir seratus meter dan lebarnya dua ratus meter. Di bahagian bawah ngarai ini terdpat sungai yang boleh digunakan untuk aktiviti berkayak. Di dalam Taman Panorama juga terdapat gua bekas persembunyian tentara Jepun sewaktu Perang Dunia II yang disebut sebagai Lubang Jepang Bukittinggi.

Pintu masuk untuk melihat panorama Ngarai Sianok

Pemandangan ngarai dari atas.



Bahagian bawah ngarai dengan sungai mengalir didasarnya.

Ada bahagian tertentu ngarai ini yang boleh dituruni dengan menggunakan kenderaan. Sempat juga kami sampai ke bawah ngarai dan di sini dapat kita rasakan yang diri kita begitu kecil berbanding keluasan ngarai tersebut.

Jambatan Limpapeh

Sebelum keluar dari kawasan Bukittinggi kami melalui satu jambatan yang dipanggil Jambatan Limpapeh. Jambatan ini ialah sebuah jambatan yang menghubungkan zoo Bukittinggi dengan Kota Fort de Kock yang melintasi Jalan A Yani yang merupakan salah satu jalan utama di sini.