Thursday, September 23, 2010

Di luar Kawasan Universal Studios

Jika ada kesempatan ambillah peluang untuk pergi menjelajah Pulau Sentosa. Di pulau ini ada di sediakan monorel yang bertolak dari Vivo City menuju ke stesyen Waterfront (Universal Studios), Imbiah dan Siloso Beach. Jika kita bertolak dari Vivo City bayaran adalah SGD3 iaitu perjalanan kemana-mana stesyen dalam Pulau Sentosa. Bayaran dikenakan dari stesyen itu sahaja. Oleh kerana Universal Studios terletak di stesyen Waterfront, jadi pergerakan ke stesyen yang lain dalam Pulau Sentosa adalah percuma. Gunakan kesempatan ini untuk melihat tempat-tempat menarik.


 Merlion

 Cable Car

 Menara berputar.

 Pantai Siloso.

Orang terbang.

Kapal-kapal dagang berhampiran pelabuhan.

Saturday, September 18, 2010

Universal Studios Singapore

Sudah lebih dua puluh tahun tidak menjejakkan kaki ke Singapura, setelah bermustautin di Lembah Klang. Keinginan untuk ke sana adalah kerana tarikan taman tema yang baru memulakan operasinya pada tahun ini, iaitu Universal Studios yang terletak di Pulau Sentosa. Saya sekeluarga mengambil kesempatan ke sana sempena cuti Hari Raya yang agak panjang.

Kami ke sana pada hari raya kelima iaitu setelah menghabiskan beberapa hari bertandang ke rumah saudara mara terdekat. Ada beberapa cara yang boleh diikuti untuk ke sana melalui jalan darat. Bagi mereka yang jarang atau tidak pernah ke sana dicadangkan untuk mengambil pakej perjalanan menggunakan van yang meliputi tambang pergi balik dan tiket untuk masuk ke Universal Studios. Pakej ini boleh didapati jika kita menginap di Tune Hotel, Danga Bay, Johor Bahru. Perjalanaan dengan van adalah lebih cepat kerana bilangan penumpang yang tidak ramai terutama untuk melepasi kawasan imigresen berbanding dengan bas.

Bas juga boleh didapati di sini dengan kadar tambang yang lebih murah. Hotel ini juga menyediakan kawasan letak kenderaan yang agak banyak secara percuma. Sebaiknya tempah sekali tiket masuk kerana tiket-tiket masuk untuk sesuatu hari boleh sold out lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Ini pernah terjadi kepada kawan yang main redah saja untuk ke sana. Cara lain ialah dengan mengambil bas awam yang bertolak terus ke Universal Studios dari Stesyen Kotaraya di bandar Johor Bahru.

Pintu gerbang di hadapan pintu masuk utama.
Lokasi wajib untuk bergambar

Dengan tiket masuk berharga SGD66 (MYR155) untuk setiap orang boleh dianggap berbaloi kerana taman tema ini menyediakan pelbagai tarikan untuk pengunjung-pengunjungnya. Diantaranya ialah Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World, Far Far Away dan Madagascar. Pengunjung-pengunjung boleh mencuba atau merasai sendiri semua kemudahan yang disediakan. Setengah kemudahan memerlukan had ketinggian minima untuk menggunakannya.

Tarikan bagi setiap tema :

* Hollywood - Pantages Hollywood Theatre
* New York - Lights, Camera, Action dan Stage 28
* Sci-Fi city - Battlestar Galactica CYCLON, HUMAN dan Accelerator
* Ancient Egypt - Revenge of The Mummy dan Treasure Hunters
*The Lost World - Jurassic Park Rapids Adventure, Canopy Flyer, Dino-Soarin, Amber Rock Climb dan Waterworld
* Far Far Away - Shrek 4-D Adventure, Donkey Live, Enchanted Airways dan Magic Potion Spin
* Madagascar - A Crate Adventure dan King Julien's Beach Party-Go-Round





Objek dan Karakter Jalanan

Terdapat beberapa objek asal yang diletakkan di tepi jalan untuk menggambarkan suasana  di tempat tersebut.




Terdapat juga beberapa karakter jalanan yang berlegar di dalam kawasan Universal Studios yang muncul mengikut masa. Jika bernasib baik dapatlah snap foto. Jika mahu bergambar secara pribadi terpaksalah berbaris panjang. Jadi ambil gambar secara curi adalah lebih mudah. Antara karakter tersebut ialah Marilyn Monroe, Charlie Chaplin, Frankenstein dan Panda Bear.

                     

                     

Bangunan ini terletak di dalam kawasan tema Far Far Away. Di dalam bangunan ini juga diadakan pertunjukan wayang 4D The Shrek. Bersedialah untuk mengalami adventure di kerusi-kerusi mekanikal mengikut jalan cerita yang ditayangkan. Jangan lupa untuk membawa tisu atau saputangan kerana Shrek dan kawan-kawannya selalu bersin ke muka kita!

Penonton hampir memenuhi tempat duduk pertunjukan Water World dalam kawasan tema The Lost World. Pertunjukan di sini diadakan mengikut masa tertentu kerana ia menyediakan lakonan secara langsung.

 Salah satu tarikan yang popular di Lost City iaitu Rapids Adventure. 

 Objek-objek besar melatari suasana di Madagascar.

Nama beberapa bintang terkenal diabadikan di jalanan.

Makan dan Solat di Universal Studio.

Walaupun berjalan dan makan angin, tentang halal haram mesti dijaga dan kewajipan mesti ditunaikan. Untuk pengetahuan, taman tema Universal Studios ada menyediakan banyak pilihan restoran halal bagi kemudahan pengunjung beragama Islam. Pilihlah salah satu yang ada dalam senarai brosur mengikut selera sendiri. Kami sekeluarga memilih untuk makan di Restoran Goldilocks yang terletak dalam kawasan Far Far Away. Restoran ini menyediakan makanan berasaskan burger dan kentang. Harga agak sederhana iaitu lebih kurang RM20 seorang. Ruang untuk pelanggan menjamu selera juga agak luas.


Dalam kawasan Universal Studios ini memang tiada disediakan surau untuk bersolat. Tetapi dalam kawasan ini terdapat banyak kawasan tersembunyi dan terlindung yang boleh dijadikan tempat untuk bersolat. Yang penting bawa penunjuk arah kiblat untuk kemudahan. Memang tidak sempat untuk bersolat di hotel penginapan kerana lawatan dalam kawasan ini mengambil masa sehari suntuk jika kita menyertai semua tarikan yang disediakan. Waktu menunggu untuk sampai giliran bagi tarikan yang popular boleh mencapai setengah jam.